Bersama PemimpinHUT

Perbarisan HUT KPA Ke-64

KUALA LUMPUR : Pengerusi Kor Perkhidmatan Am (KPA), Brig Jen Zamzuri Harun melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran atas sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) KPA Ke-64 setelah dua tahun tidak dapat dilaksanakan secara fizikal berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Sebagai anggota tentera, sesungguhnya kita amat terhutang budi kepada pejuang kor terdahulu yang telah banyak menabur khidmat bakti yang sanggup mengorbankan segala daya upaya mereka demi menjamin kecemerlangan kor keramat ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan sempena Perbarisan HUT KPA Ke-64 di Padang Kawad Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD), Kem Wardieburn pada 9 Sep 2022.

Terdahulu, Pengerusi KPA menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan melibatkan tiga detasmen berkekuatan seramai 12 pegawai dan 174 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diiringi Pancaragam 1 RRD.

Seterusnya, perbarisan diteruskan dengan penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) yang melibatkan seramai dua pegawai dan sembilan LLP.

Mengimbas sejarah penubuhan kor, KPA ditubuhkan pada 1 Jul 1958 dengan nama The Federation General Service Corps di mana ketika itu Pejabat-pejabat Rekod, Gaji, Perubatan, Pelajaran dan Perisikan secara rasminya ditubuhkan dengan nama Pasukan Perkhidmatan Am.

“KPA merupakan sebuah kor yang amat unik kerana mempunyai empat kompenan penting dibawah sebuah kor di mana mempunyai kepakaran tersendiri serta tanggungjawab yang spesifik dalam menyokong Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencapai matlamat yang tetap”,ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapan, Pengerusi KPA menyeru agar semua peringkat warga KPA terus bekerjasama tanpa mengira pangkat dan jawatan bagi memastikan matlamat dan misi dapat dicapai serta kekal relevan sebagai salah satu elemen bantuan khidmat di dalam TD.

Sambutan HUT KPA diserikan dengan upacara memotong pulut kuning dan jamuan makan di Dewan Dato’ Othman Harun, diiringi dengan persembahan dari UG band.

Turut hadir, Pengarah Tenaga Kerja, Brig Jen Roba’i Rahmat, Ketua Pengarah Belanjawan Cawangan Perancangan dan Pembangunan TD, Brig Jen Azaman Jaafar, Pengarah Rekod Pencen, Kol Fadzlie Rizal Ishak, Pengarah Pendidikan ATM, Kol Hj Mohd Shukri Hj Mohd Ghazali dan Pegawai-pegawai kanan TD.

Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul.

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button