Bersama PemimpinSemasa

71 RSDPMB Terima Panji-Panji Baharu

KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang di-Pertuan (YDP) Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir selaku Kol Yang Dipertua Rejimen Semboyan Diraja (RSD) berkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji 71 Rejimen Semboyan Diraja Pemerintahan Medan Barat (71 RSDPMB) di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 7 Jul 2024.

Matlamat penganugerahan panji-panji adalah sebagai pengurniaan tertinggi Institusi Raja-Raja bagi menghargai perkhidmatan dan kesetiaan yang dipamerkan oleh pasukan kepada raja dan negara.

Baginda bertitah bahawa pertukaran panji-panji ini akan menjadi denyut nadi kepada seluruh warga rejimen untuk terus mencurahkan kesetiaan dan perkhidmatan bakti dengan lebih cemerlang dan terbilang.

“Beta menyeru agar semua warga pasukan perlu sentiasa bersatu padu mengambil langkah untuk menghormati kesucian panji-panji ini di samping memantapkan keupayaan tempur bagi mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara.

“Selain itu, setiap warga pasukan perlu mempertahankan asas profesionalisme ketenteraan melalui amalan nilai-nilai rejimental seperti yang dipamerkan pada pagi ini,” ujar baginda.

Perbarisan penuh istiadat ini terdiri daripada empat kompeni melibatkan seramai 23 pegawai dan 361 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai Pegawai Memerintah 71 RSDPMB, Kol Jaafar Hj Ibrahim dengan diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja (KAD) dan Brass Band Wanita RSD.

Acara perbarisan dimulakan dengan istiadat mengarak keluar panji-panji lama diiringi dengan deklamasi sajak.

Seterusnya, Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen disempurnakan oleh Kol Yang Dipertua RSD dengan diiringi Pengerusi RSD, Brig Jen Dato’ Ts. T. Azharan T. Putra menerusi acara tepung tawar panji-panji sebagai simbolik pentauliahan panji-panji baharu diikuti lafaz ikrar oleh Ketua Perbarisan sebelum diakhiri dengan persembahan Watikah Ikrar kepada Kol Yang Dipertua RSD.

Panji-panji Rejimen yang baharu kemudiannya dibawa berarak sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mengenali panji-panji keagungan mereka.

Perbarisan istiadat diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali sebelum diteruskan dengan Majlis Santapan Makan Tengahari di Wisma Perwira Tentera Darat dan disusuli penyampaian cendera kenangan kepada DYMM Kol YDP RSD oleh Pengerusi RSD.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhamad Fauzi Tengku Ibrahim dan Pegawai-pegawai Kanan.

Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Nanatasha Ngadan

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online