JOHOR: Pemangku Sultan Johor, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Mej Jen Tunku Mahkota Ismail sebagai wakil rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Sultan Ibrahim yang juga Kol Komandan Rejimen Gerak Khas (RGK) bertitah mengingatkan seluruh pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat (TD) agar sentiasa membuat kajian terhadap teknologi baharu bagi memastikan RGK sentiasa berada di tahap kesiagaan yang tinggi kerana RGK adalah merupakan ‘tip of the spear’ yang akan ‘operate behind the enemy lines’.
“Kita perlu sama-sama ingat apabila sesuatu ancaman oleh musuh dengan menggunakan teknologi baharu maka secara langsung ia akan menimbulkan ancaman terhadap keamanan dan keselamatan negara.
“Perkara ini perlu menjadi keutamaan sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terjamin,” tegas baginda ketika bertitah dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) RGK Ke-59 bertempat di Padang Kawad Markas 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) pada 19 Ogos 2024.
Baginda juga bertitah kepada seluruh warga RGK agar sentiasa memelihara disiplin yang tinggi serta berpegang teguh terhadap sumpah perajurit komando.
Perbarisan HUT ini terdiri daripada lima detasmen berkekuatan seramai 18 pegawai dan 174 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dari pasukan RGK yang diketuai oleh Kol Mohd Mursyadi Abdul Mutalib.
Sejurus ketibaan Pemangku Sultan Johor, baginda menerima tabik hormat dari kontinjen perbarisan dan lagu Gerak Khas dinyanyikan disusuli dengan acara Pemeriksaan Perbarisan.
Majlis diteruskan dengan acara Penganugerahan Lencana Lambang Penuh kepada lapan anggota RGK antaranya Sjn Mohamad Shahrul Akimi Mahadi, Sjn Mohd Shukri Md Kadir, Sjn Helmi Suhairi Harom dan Kpl Muhamad Abdul Mutalib Mohd Arifan yang mewakili Sukan Seni Mempertahankan Diri manakala bagi kategori Sukan Tinju adalah Kpl Mohd Firdaus Aziz dan Kpl Frederick Japri serta Kpl Yusof Abdul Manan dan LKpl Lokman Hakim Razali yang dicalonkan bagi kategori Sukan Lasak.
Kesinambungan dengan anugerah tersebut setelah membuat penilaian secara menyeluruh Anugerah Jaguh Sukan RGK 2024 telah dinobatkan kepada Kpl Yusof Abdul Manan dari Rejimen 22 Komando bagi Sukan Lasak diatas pencapaian yang amat memuaskan dan membawa nama RGK mendapat tempat pertama dalam Asia Cup Triathlon Putrajaya, Tempat Pertama Tioman Ultra Asia Trail Master dan Tempat kedua dalam Adventure Race Asia Championship Philippines.
Turut berangkat sama, Tunku Panglima Johor, Yang Amat Mulia Tunku Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husien dan Pbt Tuan Farizal Tuan Dir