JOHOR: Seramai 746 yang terdiri dari pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dan 5TH Singapore Infantry Regiment terlibat dalam Perbarisan Penutup Eksesais SEMANGAT BERSATU Siri 28/24 yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama Panglima Tentera Darat Singapura (PTDS), Mej Jen David Neo Chin Wee di Ladang Sungai Kluang pada 27 Ogos 2024.
Eksesais ini merupakan latihan bilateral di antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan Tentera Darat Singapura (TDS) yang dilaksanakan pada setiap tahun secara bergilir semenjak tahun 1990.
Konsep eksesais ini adalah menjurus kepada Operasi Ofensif dalam peperangan konvensional bagi meningkatkan kebolehoperasian ketumbukan kedua-dua buah negara serta memupuk persefahaman dan memperkukuh kerjasama bilateral dalam aspek ketenteraan.
Semasa penutup eksesais, senario serangan terhadap kubu pertahanan musuh dilaksanakan di dalam fasa ofensif bertujuan bagi menguji tahap kecekapan dan pengetahuan setiap peserta.
Ketika menyampaikan ucapan penutup, PTD mengucapkan tahniah dan syabas kepada para peserta yang telah mengambil bahagian selain beliau turut menzahirkan rasa bangga serta berpuas hati terhadap hasil yang diterjemahkan semasa serangan akhir oleh para peserta eksesais.
“Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan eksesais ini dapat mencapai objektif yang disasarkan”.
“Saya berharap kesemua pegawai dan anggota LLP yang terlibat menggunakan peluang ini untuk menimbah ilmu, berkongsi teknologi serta saling bertukar-tukar pengalaman dan kepakaran demi menyediakan diri untuk menghadapi sebarang ancaman keganasan”, tegas PTD.
Tambahnya lagi, beliau berharap jaringan kerjasama antara kedua-dua Tentera Darat serta ikatan persahabatan yang terjalin sepanjang eksesais ini akan diperkukuh pada masa hadapan.
Diakhir eksesais, PTDS telah diberi penghormatan dengan menyempurnakan acara penanggalan toha kemudian diikuti acara pertukaran cenderahati antara PTD dan PTDS sebelum diakhiri dengan acara bergambar.
Turut hadir, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Norsham Md Tap dan Panglima 7 Bgd, Brig Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husien, Pbt Tuan Mohamad Farizal Tuan Dir dan Pbt Muhammad Amir Hamzah mohd Yusri