JOHOR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menghadiri acara Perasmian Program e-Perkasa SPM yang dianjurkan oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta penyerahan Chrome Book kepada anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung di Dewan Mahkota, Kluang pada 30 Ogos 2024.
Ketibaan MENHAN di perkarangan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Blok GC disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Puan Sri Datin Wira Hartiah Hamzah lalu diteruskan dengan taklimat mengenai Projek Tanaman Hidroponik sifar karbon yang dikendalikan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Projek ini menunjukkan usaha kementerian untuk melibatkan komuniti dalam program yang memberi manfaat seperti meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan pendapatan.
MENHAN menegaskan akan terus memberikan perhatian terhadap aspek-aspek penting seperti pendidikan, perumahan dan kesihatan bagi memastikan anggota ATM dan keluarga mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya.
Dalam acara ini menyaksikan seramai 35 pelajar menerima sumbangan Chrome Book daripada Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) yang mengharapkan dapat membantu pelajar mengikuti sesi pelajaran dengan lebih praktikal dan efisien.
Selain itu, MENHAN turut menyampaikan cendera kenangan kepada wakil UPSI, Professor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dan Ketua Pegawai Eksekutif BH Petrol, IR Azizul Azily Ahmad serta menyerahkan sumbangan berbentuk mock cheque berjumlah RM 119,000 kepada Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd), Brig Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad untuk tujuan penyelenggaraan Surau Al-Makmur di Kem Mahkota.
Lawatan seperti ini jelas menunjukkan komitmen Kementerian Pertahanan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan anggota ATM serta pendidikan anak-anak mereka terus menjadi agenda utama.
Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Indera Zahari Mohd Ariffin, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Norsham Md Tap, Ketua Eksekutif YLTAT, Dato’ Dr. Mohd Nizar Hj Sudin dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Amir Hamzah