PUTRAJAYA: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia mencemar duli sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 yang dibanjiri lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya membuktikan semangat patriotik kekal subur dalam jiwa rakyat Malaysia untuk turut sama-sama menyambut kemeriahan hari kemerdekaan pada 31 Ogos 2024.
Bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, Hari Kebangsaan 2024 disemarakkan dengan acara perbarisan dan perarakan oleh 17,262 orang peserta melibatkan komponen perarakan kumpulan pancaragam, pergendangan, aset hidup, aset kenderaan dan kontinjen Kenegaraan, Komuniti Malaysia MADANI, Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif dan Penyiaran, Sukan Negara, Kesejahteraan serta Keselamatan Negara.
Sebagai simbolik sambutan ke-67, sebanyak 67 buah kenderaan Kontinjen KMJG daripada pelbagai latar belakang kaum, umur dan profesion dalam usaha membawa imej kebersamaan dalam kepelbagaian, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Terdahulu, sejurus keberangkatan tiba SPB Agong menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) seterusnya diikuti acara menaikkan Jalur Gemilang dan diiringi nyanyian lagu Kebangsaan Negaraku.
Sementara itu di ruang udara pula lima pesawat helikopter membawa Jalur Gemilang melakukan lintas hormat disusuli 14 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (RAD) sebagai simbolik perpaduan 14 Negeri di Malaysia.
Sambutan pada tahun ini mendapat perhatian oleh segenap lapisan rakyat jelata dari pelbagai bangsa, agama dan latar belakang dapat membuktikan bahawa semangat perpaduan yang kuat dan sifat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia masih subur dan tetap utuh dalam sanubari masing-masing.
Dengan sifat keperwiraan dan kepahlawanan yang sejati semasa insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Kpl Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa (PDRM) telah diberikan penghormatan memimpin bacaan ikrar Rukun Negara bersama 66 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Selain itu, kekuatan aset pelbagai agensi antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) turut ditonjolkan bagi mencerminkan kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam menjaga kedaulatan negara.
Kontinjen Tentera Darat (TD) tidak melepaskan peluang dalam mengambil bahagian dengan menghantar pegawai dan anggota bagi menyertai perarakan kemerdekaan sebagai tanda memperingati serta menghargai jasa-jasa wira-wira negara terdahulu yang telah berkorban jiwa dan raga dalam memastikan kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran tanah air sentiasa terpelihara.
Keterujaan para pengunjung dihangatkan lagi apabila dipertontonkan dengan dentuman pertunjukan aset-aset udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya dibarisi lima pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM, pesawat F-18D Hornet dan Hawk MK 208.
Persembahan tarian bertajuk Cuci Rasuah menggunakan peralatan pembersihan iaitu penyapu dan tong sampah turut dipersembahkan sebagai manifestasi ketelusan tatakelola dan integriti sekali gus mengakhiri persembahan sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Turut hadir, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaleed Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan pegawai-pegawai kanan ATM.