KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mencemar duli hadir mengimarahkan Khutbah Khas serta Solat Jumaat yang diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 (HUT ATM KE-91) bertempat di Masjid Khalid Al-Walid pada 13 Sep 2024.
Khutbah Khas ini bertemakan Angkatan Masa Hadapan: Benteng Pertahanan negara yang disampaikan oleh Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi Bujai yang mana intipati khutbah menekankan tekad yang kuat dalam melaksanakan segala agenda transformasi ATM bertujuan untuk merealisasikan pembentukan Angkatan Masa Hadapan.
“Bagi merealisasikan hasrat tersebut ATM telah menggariskan enam ciri utama yang perlu ada kepada Angkatan Masa Hadapan iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, berorientasikan misi, keupayaan operasi serentak di dua wilayah dan dukungan logistik yang lengkap.
“Usaha ini bertujuan untuk merealisasikan Pembentukan Angkatan Masa Hadapan menjelang tahun 2030 melalui inisiatif Reformasi Angkatan 30 dan Pelaksanaan Strategi Rintang Berpadu”, jelas Mimbar.
Selain itu, mimbar turut menegaskan kewajipan dalam mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara bukan sahaja milik ATM bahkan ia milik dan kewajipan semua pihak bagi memastikan keamanan dan kemakmuran negara ini kekal sampai bila-bila.
Turut hadir, Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri