NEGERI SEMBILAN: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan bahawa Kementerian Pertahanan akan memperkenalkan Program Pembelajaran Berasaskan Pekerjaan (WBL) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi memastikan anggota tentera memperoleh sekurang-kurangnya sijil diploma sebelum mereka menamatkan perkhidmatan.
“Kita mulakan dengan diploma kerana ramai yang masuk dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kita akan kaji bagaimana pengalaman mereka dalam ATM dapat diiktiraf untuk ijazah,” kata MENHAN ketika berucap semasa Jamuan Makan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 200/2024 di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 15 Sep 2024.
Beliau menegaskan bahawa ini adalah untuk memastikan anggota ATM yang bersara kebiasaannya berumur 41 hingga 45 tahun mempunyai kelayakan yang berguna untuk pasaran pekerjaan kelak.
Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menghargai dan memperkasa anggota ATM demi memastikan mereka bersedia untuk menghadapi cabaran dunia luar selepas tamat perkhidmatan.
Terdahulu, ketibaan MENHAN di Padang Kawad PUSASDA disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan lalu memeriksa perbarisan melibatkan seramai 1,144 PM yang berjaya menamatkan latihan diketuai oleh PM Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim.
Walaupun cuaca tidak mengizinkan, namun perbarisan tempur melibatkan dua kontinjen yang terdiri daripada 14 detasmen tetap dilaksanakan dengan penuh semangat diiringi sorakan penonton yang hadir.
Objektif pelaksanaan latihan PM ini bertujuan untuk melatih dan melengkapkan perajurit dengan pengetahuan asas ketenteraan serta kemahiran sebagai seorang anggota tentera sebelum diserapkan ke dalam pelbagai kor dan rejimen.
Penerima Anugerah PM Keseluruhan Terbaik dianugerahkan kepada PM Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim yang berasal dari Negeri Sembilan manakala PM Akademik Terbaik diberikan kepada PM Muhammad Fazreen Hashim berasal dari Johor dan PM Kecergasan Jasmani Terbaik jatuh kepada PM Esthen Alvin Yap dari Sarawak dimana ketiga-tiga penerima merupakan Kompeni Alpha.
Seterusnya PM Kawad Terbaik dinobatkan kepada PM Mohamad Syafiq Syahmi Mohd Khairul berasal dari Selangor (Kompeni Charlie) manakala PM Ketenteraan Terbaik disandang oleh PM Muhammad Rozairi Mohd Rafi dari Perak (Kompeni Hotel).
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri