KUALA LUMPUR: Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) mencipta sejarah setelah dinobatkan sebagai johan keseluruhan Anugerah Pengurusan dan Inovasi Tentera Darat (APITD) yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM 3,000.00, piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan bertempat di Wisma Perwira Tentera Darat (TD) pada 7 Okt 2024.
Majlis julung kali diadakan ini merupakan anjuran Bahagian Inspektorat Tentera Darat (BITD) yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada warga TD yang mempamerkan kecemerlangan dalam penghasilan inovasi produk berimpak tinggi selain percambahan kreativiti warga tentera dalam inovasi reka cipta.
Terdahulu, PTD telah menyempurnakan gimik pelancaran Buku Panduan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Tahun 2025 Hingga Tahun 2030 sebelum menyerahkan buku tersebut kepada Panglima-panglima Formasi.
Johan anugerah bagi kategori KIK Premier Melalui Inovasi Sosial (Penciptaan) disandang oleh Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) dengan projek Sosophon Sholder Support, manakala johan anugerah bagi kategori KIK Premier Melalui Inovasi Sosial (Penambahbaikan) dirangkul oleh Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) dengan projek Hydraulik Moving Dolly dan johan anugerah bagi kategori KIK Penyampaian Perkhidmatan (Penambahbaikan) disandang oleh Rejimen Ke-33 Artileri Diraja (33 RAD) dengan projek Electrical Fluid Transfer Pump.
Dalam kategori Pengurusan, Jabatan Arah Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) berjaya merangkul johan Anugerah Pengurusan Pengiktirafan, manakala Batalion Ke-73 Ordnans Divisyen (73 BOD) mendominasi kategori Pengurusan Logistik.
Anugerah Pengurusan Briged, Divisyen, dan Pemerintahan pula disandang oleh 10 Briged (Para), Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Div) dan PMBTD.
PTD mengucapkan syabas kepada para pemenang dan menekankan pentingnya TD untuk terus berinovasi agar kekal bersedia menghadapi perubahan teknologi dan cabaran masa hadapan.
Dalam majlis yang sama, PTD turut melancarkan Buku Panduan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Horizon Baharu Tahun 2025 hingga 2030 yang menggariskan panduan pembangunan inovasi dalam TD sepanjang lima tahun akan datang dan buku ini diserahkan secara simbolik kepada Panglima-panglima Formasi sebagai tanda komitmen TD untuk terus menggalakkan budaya inovasi dalam organisasi.
Majlis diakhiri dengan persembahan melibatkan empat projek KIK Tahun 2025 berkonsepkan robotik menggunakan Artificial Intelligent (AI) bagi memperkasakan TD.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: Pbt Nanatasha Ngadan