PUTRAJAYA: Seramai 25 pegawai dan 503 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) di Dataran Pahlawan Negara pada 14 Sep 2024.
Ketibaan baginda disambut oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman, kemudian menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan diiringi alunan lagu Negaraku oleh Pancaragam Gabungan Pusat ATM sebelum disusuli dengan 21 das tembakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (41 Bti RAD) sebagai tanda penghormatan tertinggi.
Serentak dengan itu, lima buah helikopter ATM melakukan terbang lintas hormat di ruang udara Dataran Pahlawan Negara dengan membawa bendera Jalur Gemilang, ATM, Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Baginda yang berkenan mencemar duli berangkat ke istiadat perbarisan tersebut dipersembahkan dengan perarakan lima Panji-Panji terdiri daripada Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), TLDM dan TUDM.
Terdahulu, istiadat dimulai dengan persembahan daripada Pancaragam Gabungan Pusat ATM di bawah pimpinan Mej Muhamad Nor Azizan Yahya sebagai pembuka medan dan diikuti perbarisan oleh detasmen RAMD, KAD, RRD, TLDM dan TUDM.
Seterusnya, baginda memeriksa kontinjen perbarisan sebelum mengambil tempat untuk menyaksikan acara Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat serta laungan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali oleh perbarisan kawalan kehormatan pada penghujung istiadat.
Istiadat ini merupakan manifestasi sembah ikrar taat setia seluruh warga ATM kepada baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM sebagai satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat serta ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi ATM terhadap raja dan negara.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan pegawai-pegawai kanan ATM.