PUTRAJAYA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan telah dimasyhurkan sebagai Ahli Hall of Fame Ke-14 Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) dalam Majlis Pemasyhuran Hall of Fame yang disempurnakan oleh Komandan MPAT, Laksamana Pertama Hj Shahriman Hj Mahmud bertempat di Dewan Trisakti MPAT pada 18 Sep 2024.
Personaliti yang layak dimasyhurkan sebagai ahli Hall of Fame MPAT adalah terdiri daripada alumni maktab yang telah berjaya menjawat jawatan tertinggi di dalam perkhidmatan masing-masing.
Pemasyhuran ini secara langsung memberi pengiktirafan secara nyata dan merupakan penghormatan berprestij tertinggi MPAT kepada alumninya.
Sebagai tanda penghargaan, mereka yang dimasyhurkan dengan status kehormat ini akan menerima sijil peribadi dan momento Hall of Fame serta gambar potret penerima akan dipamerkan bersama penerima terdahulu di ruang yang dikhususkan.
Turut hadir, Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan alumni-alumni MPAT.