JOHOR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang diiringi Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat sempena sambutan Mini Karnival Tentera Darat (TD) yang berlangsung di Persiaran Dato’ Hj Ismail Hassan, Kluang pada 20 Sep 2024.
Karnival yang dilaksanakan mulai 20 hingga 21 Sep 2024 menjadi medan utama untuk mempamerkan kredibiliti dan kekuatan TD kepada orang ramai serta sebagai platform promosi kerjaya bagi menarik minat golongan muda.
MENHAN serta delegasi telah meluangkan masa ke booth pameran dan promosi kerjaya TD disamping dapat melihat dengan lebih dekat peranan yang dimainkan oleh anggota TD dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Para pengunjung turut didedahkan kepada maklumat terperinci mengenai pelbagai peluang kerjaya yang tersedia dari segi ketenteraan hingga ke operasi logistik dan teknikal.
Persembahan ketenteraan dimulai dengan flypast Agusta yang mempamerkan kehebatan helikopter TD sebelum disusuli demonstrasi udara MD530G yang memukau para hadirin dengan kecekapan operasi pesawat tersebut.
Tidak kurang hebatnya, demonstrasi anjing perang menarik minat ramai pengunjung dengan menunjukkan kepintaran mereka dalam melaksanakan tugas-tugas khas seperti pengesanan dan penyerangan.
Acara semakin rancak apabila persembahan Drumliner memecah suasana dengan alunan rentak yang penuh semangat diiringi dengan demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) oleh anggota TD yang mempamerkan ketangkasan mereka dalam seni pertahanan diri.
Kemuncak acara diakhiri dengan nyanyian patriotik ‘Darah Satria’ yang menggetarkan semangat cinta kepada tanah air dalam kalangan semua yang hadir.
Mini Karnival TD bukan sahaja berjaya mempamerkan kekuatan pertahanan negara tetapi juga memberi peluang kepada orang ramai untuk lebih mengenali dan memahami peranan besar TD dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.
Selain itu, program ini juga dapat merapatkan lagi hubungan antara rakyat bersama warga tentera dalam mencerminkan usaha TD untuk terus berkhidmat serta berbakti kepada masyarakat.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhamad Amir Hamzah