NEGERI SEMBILAN: Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-91 Tahun 2024 bertemakan ‘Angkatan Masa Hadapan: Benteng Pertahanan Negara’ yang menekankan betapa pentingnya setiap warga ATM untuk terus memperkasakan keupayaan dan kesiapsiagaan bagi menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran masa kini serta masa hadapan dengan efektif.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman menyatakan bahawa Pelaksanaan Gerak Tindak Reformasi Angkatan 30 sedang berjalan lancar dengan pencapaian utama setakat ini termasuk Penubuhan Sekretariat Angkatan Masa Hadapan, Pelancaran Jawatankuasa Pembangunan Angkatan Masa Hadapan serta Penstrukturan Semula ATM yang giat dilaksanakan.
“Berikutan pencapaian tersebut, fokus seterusnya adalah fasa Reka Bentuk Angkatan yang menumpukan kepada penyediaan gerak kerja Rancangan Malaysia Ke-13 dengan menekankan ciri-ciri yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan dan Strategi Ketenteraan Negara 2.0,” jelasnya dalam perutusan sempena Sambutan Hari ATM Ke-91 di Padang Kawad Kem Segenting, Port Dickson pada 5 Okt 2024.
Beliau juga menegaskan bahawa akan mengekalkan dan memperkemaskan empat Teras Falsafah Pemerintahan ATM.
“Angkatan 30 merupakan pelan transformasi berasaskan kepada Fundamental Capability Enabler merangkumi aspek kepimpinan, anggota, organisasi, doktrin, kewangan, peralatan dan latihan bagi memastikan ATM terus diperkasakan sehingga tahun 2055.
“Sinergi 3M iaitu Man, Machine and Method akan menjadi panduan untuk memperkukuhkan fasa reka bentuk Angkatan 30 menerusi diplomasi pertahanan, pengukuhan pertahanan berlapis, pemerkasaan kolaborasi ATM-awam, pemacuan industri pertahanan, pengemaskinian sistem perintah, transformasi operasi dan doktrin serta kesejahteraan keluarga ATM dan veteran,” ujar PAT.
Perbarisan Hari ATM Ke-91 pada tahun ini berkonsepkan tempur dan statik melibatkan seramai 39 pegawai dan 791 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada kontinjen Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Kontinjen Malaysian Battalion 850-12 diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen 21 Komando, Kol Razak Akob.
Keistimewaan sambutan pada tahun ini dimeriahkan dengan persembahan Demonstrasi Dinamik yang memperlihatkan keupayaan aset dan kompetensi ATM melalui tiga fasa iaitu operasi maritim, serangan amfibi dan peperangan konvensional melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
Perbarisan turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kesiagaan PAT melibatkan tiga kategori yang dimenangi oleh 21 GGK, Pusat Latihan Kapal Selam dan Pangkalan Udara Gong Kedak sekaligus menerima mockup check bernilai RM 5000 dan sijil pengiktirafan serta piala.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhamad Amir Hamzah Mohd Yusri