KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) merangkap Pengerusi Lembaga Sukan Tentera Darat (LSTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyampaikan amanat kepada anggota Tentera Darat (TD) yang telah terpilih mewakili TD dalam Kejohanan Kriket Antara Perkhidmatan Tahun 2024 bermula pada 20 hingga 25 Okt 2024 bertempat di Oval Kriket Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi manakala Kejohanan Petanque Antara Perkhidmatan Tahun 2024 pula akan berlangsung mulai 21 hingga 24 Okt 2024 di Gelanggang Petanque, Pangkalan Udara Subang.
“Saudara dan saudari adalah pemain terbaik yang dimiliki oleh Tentera Darat pada masa kini dan seharusnya kalian berasa amat berbangga kerana telah terpilih.
“Buktikan bahawa saudara dan saudari sememangnya layak serta yang terbaik untuk menyarung jersi Tim Kriket dan Petanque Tentera Darat.
“Pikullah amanah dan harapan yang tinggi daripada semua warga Tentera Darat bagi menjuarai serta seterusnya menjulang trofi kejuaraan kejohanan kriket dan petanque bagi tahun ini,” ujar TPTD.
Tambahnya lagi, walaupun cabaran dan laluan agar sukar kerana tim yang bertanding sememangnya terkenal dengan kemantapan dan kehandalan mereka, namun ianya bukan halangan atau alasan untuk memberikan persembahan yang terbaik semasa pertandingan tersebut.
“Saya amat yakin, saudara saudari telah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal serta berada dalam semangat yang tinggi untuk menghadapi kejohanan ini”.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan acara Penyerahan Bendera TD Kepada Tim Kriket dan Tim Petanque bertempat di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 16 Okt 2024.
Dalam majlis ini, Bendera TD diserahkan kepada wakil Tim Kriket, Mej Afiq Shahrir Azemi dan wakil Tim Petanque, Mej Ummi Kalsom Mohd Lias yang akan mengetuai pasukan masing-masing dalam Kejohanan Sukan Antara Perkhidmatan ATM.
Turut hadir, Ketua Pengarah Operasi dan Latihan mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kerja LSTD, Brig Jen Isa Daud, Pengarah Urusan Gaji Angkatan Tentera merangkap Pengerusi Petanque TD, Brig Jen Zamzuri Harun dan Pengarah Farmasi MK ATM merangkap Pengerusi Kriket TD, Kol Mohd Adlan Adnan.
Gambar: Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri