JOHOR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyaksikan Tembakan Persenjataan Artileri Pertahanan Udara dan Tembakan Pertahanan Udara Pasukan Tempur dari Aset-Aset Tempur Tentera Darat (TD) oleh Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) bersempena Eksesais Panah Jaguh (EPJ) Siri 2 bertempat di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok pada 24 Okt 2024.
Terdahulu, MENHAN diberikan taklimat berkenaan pelaksanaan eksesais oleh Panglima GAPU, Brig Jen Azhar Mustapha sebelum dimulakan dengan segmen simulasi serangan udara terhadap aset-aset tempur TD.
Segmen ini merupakan simulasi serangan udara terhadap aset-aset taktikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tindakan bagi menghindar serangan udara musuh dengan menggunakan aset TD.
Seramai 82 pegawai dan 780 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) pasukan bawah pemerintahan GAPU terlibat dalam latihan tembakan yang bermula pada 20 Okt 2024.
Selain itu, eksesais ini melibatkan beberapa aset TD antaranya seperti LML-NG Misil Starstreak yang mana direka khas untuk memusnahkan pelbagai jenis sasaran udara seperti kapal terbang, helikopter, Pesawat Tanpa Pemandu (PTP) dan Cruise Missle serta mampu melaksanakan tembakan di jarak maksimum sejauh tujuh kilometer.
Manakala Meriam 35 Milimeter Oerlikon adalah meriam pertahanan udara buatan Switzerland bertujuan untuk menangkis sasaran udara dan juga sasaran di laut dengan kadar tembakan sebanyak 1,100 butir seminit bagi kedua-dua laras.
Dalam masa yang sama, eksesais ini turut melibatkan Starstreak Rapid Ranger merupakan sistem persenjataan artileri pertahanan udara yang berkemampuan diaturgerakkan dengan lebih pantas berbanding sistem persenjataan LML-NG.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri