Tag: KRD

  • MMR Penghargaan KRD

    KUALA LUMPUR: Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Penghargaan Kor Risik Diraja (KRD) telah dilaksanakan bersempena meraikan Persaraan Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) di hotel terkemuka Kuala Lumpur pada 25 Sep 2018.

    Majlis diadakan bertujuan untuk meraikan Pegawai Kanan TD iaitu Lt Jen Datuk Abdul Hadi Hj Hussin dan Mej Jen Dato’ Sobri Paridaluddin Hj Ismail bersama isteri yang telah mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada perkhidmatan serta negara KRD amnya dan TD khasnya.

    Dalam ucapan Pengerusi Kor, beliau menyatakan bahawa pemergian para pegawai yang akan bersara kelak adalah satu pengertian bahawa KRD kehilangan satu kelompok kepimpinan yang berpengalaman serta telah banyak menyumbang kepada perkhidmatan dan ianya merupakan satu proses yang lumrah di mana terdapatnya peralihan dari satu generasi ke generasi dalam organisasi KRD.

    Turut hadir Ketua Unit Khas Jabatan Peguam Negara selaku Pengerusi Kor, Mej Jen Dato’ Ghazali Hj Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan, Mej Jen Dato’ Ismail Abetah, AKS Perisikan, Brig Jen Dato’ Rezil Shahidin, Pengarah Direktorat Peperangan Informasi (DPI), Brig Jen Dato’ Basri Kasban dan Pengarah KRD, Kol Hamzah Ali.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Hj Ismail

    PAHANG: Seramai 18 pegawai dan 216 anggota Lain-Lain Pangkat Kor Risik Diraja (KRD) dan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mantan Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (TKPP), Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Hj Ismail di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 19 Sep 2018.

    Terdahulu dari itu, Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Hj Ismail menerima tabik hormat terakhir dari kontijen perbarisan yang terdiri dari lima detasmen yang diketuai oleh Lt Kol Shahrizal Shahidan bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 38 tahun empat bulan enam hari berkhidmat di dalam ATM amnya serta TD khasnya.

    Dalam ucapannya, beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Mej Jen Dato’ Ismail Abetah dan Pengarah KRD, Kol Hamzah Mohd Ali yang mengaturkan dan merealisasikan perbarisan perpisahan ini.

    Karier Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Hj Ismail bermula pada tahun 1981 apabila ditauliahkan sebagai Lt M dalam Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) namun pada tahun 1987 beliau nekad mengambil keputusan bertukar kor dengan menyertai KRD semasa berpangkat Lt.

    “Sejak berhijrah menyertai KRD, kerjaya yang dilalui memberikan banyak pengalaman, pengetahuan dan kenangan tanpa menyedari saya sudah sampai ke penghujungnya.

    “Jangkamasa perkhidmatan saya banyak memberikan opportunity dan rahmat sehinggakan membentuk siapa diri saya sebagai seorang individu serta berpeluang melanjutkan pelajaran ke pendidikan tinggi dalam dan luar negara demi perkembangan kerjaya serta membolehkan saya memegang beberapa jawatan penting,” jelasnya.

    Tambahnya lagi, beliau dapat melihat perkembangan positif organisasi Perisikan Pertahanan dan KRD dalam konteks struktur organisasi, fasilitas, keanggotaan serta peningkatan terhadap hubungan perisikan serantau antarabangsa.

    Selain itu beliau mengingatkan agar setiap warga KRD melengkapkan diri dan dapat memainkan peranan dengan lebih efektif dan efisien serta memperlihatkan kemampuan supaya KRD terus kredibel serta mampu melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi.

    Jawatan TKPPP merupakan jawatan yang paling lama disandang oleh Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Hj Ismail iaitu selama enam tahun dan turut mendapat kepercayaan penuh dari Mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Abdul Hadi Hj Hussin dalam menentukan kelestarian BSPP.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Abd Rahman, Ketua Projek Khas Jabatan Peguam Negara, Mej Jen Dato’ Ghazali Hj Ismail, AKS Perisikan, Brig Jen Dato’ Rezil Shahidin.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • Berbuka Puasa KRD Zon Selatan

    MELAKA: Warga Kor Risik Diraja (KRD) dan veteran KRD Zon Selatan hadir dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Asisten Ketua Staf (AKS) Perisikan, Brig Jen Dato’ Rezil Shahidin yang dianjurkan oleh MK 3 Div di hotel terkemuka sekitar bandar Melaka pada 5 Jun 2018.

    Majlis ini bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim di antara anggota KRD yang masih berkhidmat dengan Pesara KRD dan juga Kelab Veteran Risik Malaysia (KVRM) bagi menghargai jasa bakti dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan tanah air tercinta semasa berkhidmat suatu ketika dahulu.

    “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para veteran kerana sudi menyahut jemputan bagi menghadirkan diri pada malam ini untuk berbuka puasa bersama-sama rakan seperjuangan terdahulu,” ujar AKS Perisikan.

    Turut hadir Ketua Pengarah Doktrin Markas Pemerintahan Latihan Doktrin Tentera Darat, Brig Jen Dato’ Othman Hj Jamal, Pegawai Staf 1 Risik Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Kol Idris Borhan dan AKS Bahagian Perisikan Bersama J2 Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kol Mohd Yazid Salim.

    Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali

  • Veteran dan Warga KRD Diraikan Dalam Majlis Berbuka Puasa Zon Utara

    KEDAH: Seramai 94 veteran Kor Risik Diraja (KRD) dan warga KRD dari Zon Utara hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Zon Utara bersama Asisten Ketua Staf Perisikan, Brig Jen Dato’ Rezil Shahidin yang dianjurkan oleh Batalion 165 Risik Tentera Darat (165 MIB) di sebuah hotel terkemuka sekitar Sungai Petani pada 1 Jun 2018.

    Majlis yang menjadi acara tahunan ini bertujuan untuk mengekalkan hubungan baik di antara anggota KRD yang masih berkhidmat dengan Pesara KRD dan juga Kelab Veteran Risik Malaysia (KVRM) serta mengambil berat akan kebajikan warga veteran KRD dalam menghargai jasa bakti dan pengorbanan mereka semasa berkhidmat suatu ketika dahulu.

    Dalam ucapan Pengarah KRD, Brig Jen Mahmud Ahmad beliau amat berbangga akan keutuhan hubungan silaturahim antara KRD dan KVRM  yang sentiasa memantau tentang kebajikan dan permasalahan yang dihadapi oleh Pesara KRD serta mereka yang masih berkhidmat agar kebajikan mereka ini sentiasa terjaga.

    “Saya mahukan hubungan yang baik ini haruslah diteruskan supaya pihak KRD dapat mengetahui akan permasalahan Pesara KRD dan saya berharap anda semua sebarkan kepada Pesara KRD yang lain supaya berdaftar dengan KVRM kerana dari situ kita dapat memantau akan kebajikan mereka ini,” katanya.

    Turut hadir Ketua Perisikan 165 MIB, Kol Mohd Fauzi Abdul Majid dan  Pengarah Direktorat Strategik, Kol Razali Alias.

     

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • Berbuka Puasa KRD Zon Tengah

    KUALA LUMPUR: Warga Kor Risik Diraja (KRD) dan veteran KRD Zon Tengah hadir dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Pengerusi KRD, Lt Jen Datuk Abdul Hadi Hj Hussin dan isteri Datin Salmah Mohamed Saleh yang dianjurkan oleh Jabatan Arah KRD di Jalan Bellamy pada 31 Mei 2018.

    Majlis yang diadakan pada setiap tahun ini merupakan satu kelaziman tradisi rejimental bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kekitaan terutama di kalangan warga KRD dan juga Kelab Veteran Risik Malaysia (KVRM) dan mengambil berat akan kebajikan warga veteran KRD dalam menghargai jasa bakti dan pengorbanan mereka semasa berkhidmat dahulu, selain dapat bertukar pendapat serta meraikan kemeriahan sambutan bulan ramadhan.

    Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaluddin Ismail, Asisten Ketua Staf Perisikan, Brig Jen Dato’ Rezil Shahidin.

     

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon

  • Pegawai Kanan TD Naik Pangkat

    KUALA LUMPUR: Seramai 18 pegawai kanan Tentera Darat (TD) telah dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Zulkiple Hj Kassim di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 24 Apr 2018.

    Mendahului senarai, Kol Zulkefale A.Rahman yang dinaikkan pangkat daripada Kol ke Brig Jen dan menjawat jawatan sebagai Panglima Briged Artileri Roket serta Kol Md Fuad Abd Jalil  dipakaikan pangkat yang sama dan menjawat jawatan Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Penilaian Tentera Darat (TD), MK TD.

    Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat kepada tiga pegawai kanan dinaikkan pangkat daripada Lt Kol ke Kol dahului oleh Lt Kol Ir. Mohd Hazani Hj Shafie yang menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah 21 Kump Logistik GGK, Lt Kol T. Azharan T. Putra dipakaikan pangkat yang sama dan menjawat jawatan sebagai Ketua Tim Projek Network Centric Operation ATM manakala Lt Kol Idris Borhan menjawat jawatan sebagai Ketua Zon Tengah, Kompeni Pertahanan Esscom.

    Manakala 13 pegawai lagi dinaikkan pangkat Mej ke Lt Kol dan tiga pegawai dianugerahkan Sayap Juruterbang Pasukan Udara TD iaitu Kapt Julian Banson, Kapt Mohd Izuan Idris dan Kapt Nur Azira Impian.

    Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pegawai yang dinaikkan pangkat dan berharap ini adalah pemangkin untuk terus berkhidmat dengan lebih komited dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

    “Saya percaya saudara-saudara akan terus meningkat dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi sehingga tempoh persaraan jika mempamerkan mutu kerja yang lebih cemerlang.

    Sebagai pegawai kanan yang memimpin anggota bawahan, saya berharap saudara-saudara dapat membezakan apa yang perlu untuk dilakukan yang mana tiada rujukan dalam mana-mana buku dalam menentukan tindakan apa yang sepatutnya kita lakukan, ujar PTD”

    Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Azizan Md Delin dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Ya’akob Koming.

    Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya

    [srizonfbalbum id=208]

  • Pegawai Kanan KRD Diraikan

    KUALA LUMPUR: Seramai 11 Pegawai Kanan Kor Risik Diraja (KRD) diraikan dalam satu Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) sempena Hari KRD Ke-48 yang dihadiri oleh  Pengerusi KRD, Lt Jen Datuk Abdul Hadi  Hj Hussin di hotel terkemuka sekitar Kuala Lumpur pada 12 Nov 2017.

    MMR tersebut merupakan salah satu aktiviti sempena Hari KRD tahun ini dan pada masa yang sama turut meraikan dan mengenang jasa pegawai-pegawai KRD yang akan bersara dari perkhidmatan disamping merupakan amalan rejimental dalam kor serta dapat mengeratkan hubungan sesama pegawai.

    Antara mereka yang diraikan ialah Mej Jen Dato’ Hj Khlir Hj Mohd Nor, Mej Jen Dato’ Mohd Zahar Hashim, Mej Jen Dato’ Mohd Noor Osman, Brig Jen Dato’ Tuan Roslan Tuan Ismail, Lt Kol Hj Md Razeef Md Jee, Lt Kol Syed Azhar Syed Abu Bakar, Lt Kol Amirolshah Hj Hussin, Lt Kol Hj Azman Kamis, Lt Kol Hj Abdul Kadir Jayalani Shahul Hameed, Mej Suhaimi Mohamad dan Mej Mohd Azwawi Md Isa.

    Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Hj Ismail,  Ketua Unit Khas Pejabat Peguam Negara, Mej Jen Dato’ Ghazali Hj Ismail dan Pengarah KRD, Kol Mahmud Ahmad.

     

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar Arikrishnan

  • KRD Sambut Ulang Tahun Ke-48

    PAHANG: Seramai 18 pegawai dan 201 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Risik Diraja (KRD) diketuai oleh Lt Kol Vigneswari Viswanathan terlibat dalam Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun KRD Ke-48 diiringi dengan Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja bertemakan Ilmu Memartabatkan KRD yang disempurnakan oleh Pengerusi KRD, Lt Jen Datuk Abdul Hadi  Hj Hussin  bertempat di Padang Kawad Kolej Perisikan ATM, Kem Mentakab  pada 7 Nov 2017.

    Dalam perutusan Pengerusi KRD, beliau berkata usaha ke arah pembangunan, keupayaan dan pemodenan organisasi perisikan sentiasa menjadi agenda utama pucuk pimpinan KRD dan sedang pesat dilaksanakan dimana rancangan pembangunan ini telah ditetapkan dengan mengambil kira beberapa faktor utama iaitu ancaman semasa yang dihadapi, kedudukan kewangan, perubahan teknologi semasa dan selaras mengikut hala tuju Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat (TD) yang dirangka bagi memastikan KRD dapat terus memenuhi tuntutan terhadap produk-produk perisikan ATM dan nasional serta memastikan kesiapsiagaan ATM yang tinggi pada sebilang masa bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

    “Lambakan sumber maklumat pada masa kini memerlukan kita membuat penilaian dan menyalurkan produk perisikan dalam masa yang lebih cepat dan mencapai mutu yang dikehendaki dalam bentuk yang dapat dimanfaatkan oleh pengguna dan bagi memenuhi tuntutan ini, satu sistem yang cekap dan berkesan telah dibangunkan iaitu Pusat Integrasi Perisikan (Intelligence Intergration Center) yang mana fokus utama pada masa ini adalah bagi membangunkan infrastruktur yang dijangka siap pada bulan November 2017 sekiranya segala perancangan berjalan dengan lancar, Pusat Integrasi Perisikan ini dijadualkan dapat beroperasi sepenuhnya pada bulan Jun 2018.

    “Selain daripada rancangan pembangunan yang telah disentuh tadi, kita juga memberi penekanan dalam aspek peningkatan modal insan menerusi latihan dengan mengadakan kerjasama strategik bersama agensi-agensi perisikan lain dalam bidang perkongsian teknologi, kepakaran serta kursus dimana usaha penyediaan doktrin dan penambahbaikan silibus bagi kursus-kursus perisikan di KP ATM sedang dan telah dilaksanakan namun segala usaha ini akan menjadi sia-sia tanpa perubahan di peringkat individu yang saya maksudkan adalah dari sudut pengetahuan, sikap dan kemahiran yang berkait rapat dengan cara kita berfikir, perubahan mindset dari sudut proses kita bekerja, skill dan trade craft yang digunakan,” tegas beliau.

    Selain itu, Pengerusi KRD turut menuntut warga KRD untuk mempunyai skill dan trade craft yang berorientasikan teknikal agar kita berupaya menginterpretasi segala perkembangan dengan cara yang lebih kritikal dan mendalam serta mampu mengaplikasikan sebaik mungkin segala teknologi yang ada dalam pegangan dan perubahan ini sukar dilaksanakan jika ada dalam kalangan kita yang bersikap negatif dan tidak mahu keluar dari kepompong comfort zone masing-masing untuk maju kehadapan dan beliau menyeru agar semua menjadi ejen perubahan dan jangan sekali-kali menjadi liabiliti kepada organisasi.

    Terdahulu, Pengerusi KRD menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS), Anugerah Khas Pengerusi KRD yang merupakan anugerah kali kedua diberikan kepada warga KRD yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang yang menaikkan imej KRD kepada dua anggota LLP, Anugerah Khas Kecemerlangan Akademik di Maktab Turus Angkatan Tentera yang merupakan anugerah julung kali diperkenalkan pada tahun ini kepada pegawai yang menunjukkan pencapaian cemerlang dalam kursus di Pusat Latihan Tertinggi ATM dan Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta,  Anugerah Kecemerlangan bagi kursus luar KP ATM, Anugerah Kecemerlangan kursus dalam KP ATM dan Anugerah Jurulatih Terbaik.

    Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Sobri Paridaludin Hj Ismail, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Dato’ Hj Khlir Hj Mohd Nor, Ketua Unit Khas Pejabat Peguam Negara, Mej Jen Dato’ Ghazali Hj Ismail, Pengarah KRD, Kol Mahmud Ahmad, mantan PAT, Jen Tan Sri Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Abdul Hamid, mantan KPPP, Lt Jen Dato’ Paduka Mohd Salleh Hj Ismail, pesara-pesara KRD serta pegawai dan anggota LLP KRD.

     

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar, LKpl Ainur Aisyah dan Saifun Hakimi

  • Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Mohd Zahar Hashim

    PAHANG: Seramai 18 pegawai dan 201 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Risik Diraja (KRD) terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Mohd Zahar Hashim di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 25 Okt 2017.

    Terdahulu dari itu, Mej Jen Dato’ Mohd Zahar Hashim menerima tabik hormat terakhir dari kontijen perbarisan yang terdiri dari lima detasmen yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Ghazi Hj Hassan bertujuan sebagai tanda penghormatan menghargai jasa yang telah dicurahkan oleh beliau selama 39 tahun 6 bulan 28 hari berkhidmat di dalam ATM amnya dan TD khasnya.

    Dalam ucapannya, beliau berasa terharu serta berbangga di atas persembahan perbarisan yang mantap dan segak serta mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Datuk Abdul Hadi Hj Hussin mewakili Panglima Tentera Darat (PTD) yang sudi hadir dalam perbarisan penghargaan tersebut.

    Selama lebih 39 tahun yang dilalui, saya berpeluang berkhidmat kepada dua kor dalam Tentera Darat (TD) iaitu sembilan tahun dalam infantri di Batalion Ke-22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD)  dan 30 tahun dalam KRD yang mana saya berpeluang berkhidmat dengan berbagai pasukan serta agensi di dalam dan luar ATM dan saya amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberi peluang ini dan meletakkan kepercayaan kepada saya.

    Sebelum bersara saya ingin memberi sedikit pesanan, selama 30 tahun saya menyaksikan perkembangan KRD yang terus meningkat menuju puncak menggapai kegemilangan dan melalui kepimpinan sekarang telah meletakkan KRD di tahap yang amat membanggakan dan dicemburui kawan serta lawan dan kepada semua warga KRD hargailah, sayangilah dan berusahalah memelihara kor ini dengan sebaik mungkin kerana saya amat terhutang budi kepada KRD yang telah membentuk siapa saya hari ini”

    Pada masa yang sama KPPP turut memberikan ucapan balas dengan mengatakan beliau berbangga dan berterima kasih kepada Mej Jen Dato’ Mohd Zahar Hashim bagi pihak TD diatas perkhidmatan serta jasa yang telah dicurahkan dengan penuh kesetiaan dan pergorbanan yang tanpa berbelah bahagi.

    Sebagai generasi tentera di era darurat, beliau telah mengharungi cabaran pahit manis disepanjang kerjaya ketenteraan dengan penuh tabah dan dedikasi dimana semangat, jasa serta pengorbanan yang ditunjukkan oleh Mej Jen Dato’ Mohd Zahar Hashim dan generasi terdahulu seperti inilah yang telah meletakkan TD di tahap yang boleh dibanggakan pada hari ini.  Disebalik kejayaan beliau, saya percaya Datin Zainani Samsuddin merupakan pemangkin yang sentiasa memberi sokongan dan tiupan semangat serta melakarkan langkahan perjuangan yang teguh kepada suaminya dalam meniti perjalanan kehidupan sebagai pegawai tentera dan dan saya juga amat yakin dengan sikap dan keperibadian dimilikinya banyak memberi sumbangan dan menabur bakti kepada organisasi BAKAT Darat mahupun BAKAT ATM dan dikesempatan ini, saya bagi pihak Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Darat dan seluruh ahli BAKAT Darat ingin melahirkan ucapan sekalung penghargaan dan terima kasih di atas usaha serta segala penat lelah secara sukarela yang telah dicurahkan beliau,” ujar KPPP.

    Menyentuh sedikit latar belakang Mej Jen Dato’ Mohd Zahar Hashim, beliau merupakan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka dilahirkan pada 07 Feb 1958 serta dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan hasil perkahwinan bersama Datin Zainani Samsuddin dimana telah ditauliahkan ke RAMD pada 23 Jun 1979 lalu ditempatkan di 22 RAMD dan atas minat yang amat mendalam dalam bidang perisikan beliau memohon untuk bertukar ke KRD dan pada tanggal 1 Jul 1988 hasrat beliau untuk bertukar kor telah diluluskan dengan jawatan Pegawai Staf 3 Risik di Pejabat Perisikan Tentera Pahang sebagai tugasan pertama dalam kor yang baharu.

    Turut hadir, Ketua Unit Khas Pejabat Peguam Negara, Mej Jen Dato’ Ghazali Hj Ismail, Pengarah KRD, Kol Mahmud Ahmad serta pegawai dan anggota LLP KRD.

    [srizonfbalbum id=37]

    Gambar: Sjn Saiful Fazley Rusli dan Saifun Hakimi Zainon

     

  • Pbt Ain Sumbang Emas Sukan SEA

    KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia berjaya menambah pingat emas Sukan Sea dalam acara Muay Thai yang dimenangi oleh Pbt Ain Kamarrudin di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 29 Ogos 2017.

    Kejayaan Pbt Ain Kamarrudin ini telah menaikkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya yang mana termatrinya satu lagi lakaran sejarah baharu buat ATM.

    Beliau yang merupakan anggota Kor Risik Diraja (KRD) berjaya menewaskan lawannya dari Thailand iaitu Thachtana Luangphon dalam kategori 57kg di pusingan akhir.

    Lebih manis lagi kejayaan beliau dikongsi bersama penyokong-penyokong TD yang hadir dan juga acara kalungan pingat disempurnakan oleh AKS Perisikan, Mej Jen Dato’ Hj Khlir Hj Mohd Nor.

     

    Gambar: SSjn Vijay Gaundar