Keganasan

Kemunculan Kumpulan Neo-JI Dan Potensi Ancaman Keselamatan Di Rantau Asia Tenggara

Pendahuluan 

Tangkapan terhadap pemimpin kumpulan Neo-Jemaah Islamiyah (Neo-JI) pada tahun 2019 di beberapa wilayah Indonesia telah mendedahkan kewujudan sebuah jaringan pengganas baharu yang jarang mendapat liputan media tetapi berupaya memberi kesan keselamatan jangka panjang terhadap Indonesia serta negara-negara jirannya khususnya Malaysia. Istilah ‘Neo’ membawa maksud ‘baru’. Kumpulan baru ini adalah kumpulan serpihan yang muncul akibat perpecahan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) asal yang dipimpin oleh Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Ba’asyir pada era 1991 – 2002 dahulu. Pada 29 Jun 19, pemimpin Neo-JI iaitu Para Wijayanto telah ditangkap di Bekasi, Jawa Barat kerana mempunyai kaitan dengan latihan militan di Selatan Filipina pada tahun 2000, terlibat dalam penghantaran rakyat Indonesia ke Syria dan memberi sokongan kepada rangkaian kumpulan militan di Poso, Sulawesi. Sebelum ini, Para Wijayanto yang merupakan anggota asal JI juga berperanan dalam pembuatan bahan letupan untuk serangan bom Bali 2002 dan serangan bom ke atas pejabat kedutaan Australia di Jakarta tahun 2004. Secara tidak langsung, situasi ini telah mengesahkan kewujudan Neo-JI sebagai sebuah jaringan serpihan pengganas JI yang telah diberi nafas baharu untuk menyambung perjuangan JI. 

Latar Belakang Kumpulan Neo-JI 

Jaringan Neo-JI telah ditubuhkan sekitar tahun 2008 di bawah pemimpin pertamanya iaitu Abu Husna @ Abdul Rohim. Namun, pada tahun 2008, Abu Husna telah ditangkap di Malaysia dan diusir pulang ke Indonesia. Abu Husna juga adalah merupakan pengganti kepada Amir JI iaitu Zarkasih yang telah ditangkap pada tahun 2007. Kemudiannya, kepimpinan Neo-JI diteruskan oleh Para Wijayanto, individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Indonesia sejak tahun 2008. Tangkapan ke atas Para Wijayanto dan anggota kanannya, Budi Trikaryanto masih belum mendedahkan pemimpin baharu Neo-JI pada ketika ini. 

Penubuhan Neo-JI adalah bermatlamatkan untuk meneruskan perjuangan asal JI untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah di Indonesia. Pendekatan Neo-JI menyerupai JI yang asal di era 1990an sebelum berlakunya perpecahan JI bermula pada tahun 2000. Neo-JI berpegang kepada ideologi Salafi Wahabi. Sepertimana JI, Neo-JI turut menyokong kumpul a n Al-Qaeda dal am konteks menentang ‘far enemy’ berbanding ‘near enemy’. 

Dari segi organisasi, Neo-JI masih dibayangi organisasi lama JI yang mana mendapat sokongan daripada anggota-anggota lama JI. Neo-JI beroperasi di Solo di Jawa Tengah, Lampung di Sumatera, Ambon di Utara Maluku dan Poso di Sulawesi. Dari segi kekuatan, keanggotaan Neo-JI adalah beranggaran sekitar 1,000 ke 3,000 anggota pengikut di Indonesia. Neo-JI hanya memiliki satu wilayah yang beroperasi berbanding jaringan induk JI yang sebelum ini memiliki empat wilayah ataupun Mantiqi. Neo-JI memiliki rangkaian tersendiri yang digelar sebagai Asykari terdiri daripada 10 hingga 20 orang ahli di setiap daerah. Hal ini memperlihatkan bahawa Neo-JI beroperasi secara domestik ataupun ‘Bithonah’. Sepertimana JI yang asal, Neo-JI juga adalah merupakan organisasi rahsia ataupun ‘Tandzim Sirri’. 

Dari segi sumber ekonomi, Neo-JI memperoleh sumber kewangan daripada para pengikut Neo-JI, hasil perusahaan minyak kelapa sawit di Sumatera dan Kalimantan serta perusahaan koko di Selatan Sulawesi. Neo-JI juga terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan melalui Hilal Ahmar Society Indonesia (HASI). Sumber dana ini juga turut didermakan kepada kumpulan pengganas luar negara iaitu Jabhat Al-Nusra dan Ahrar Al-Syam. HASI telahpun disenaraihitamkan ekoran aktiviti ini dan ia diteruskan menerusi organisasi lain yang sekarang dikenali sebagai Lembaga Kemanusiaan One Care. 

Dari segi operasi, Neo-JI menggunakan kaedah soft approach melalui pendekatan dakwah dan usrah serta kempen pendidikan menerusi Majelis Dakwah Ulama Indonesia (MDUI). Pada tahun 2011, Neo-JI telah melakukan aktiviti dakwah di 65 buah lokasi di luar Jawa seperti di Papua, Maumere di Timur Nusa Tenggara dan Bontang di Timur Kalimantan. Pembaharuan modus operandi ini dilakukan bertujuan untuk merekrut anggota baharu dan menarik sokongan orang awam. 

Seterusnya, Neo-JI juga terlibat dalam aktiviti merekrut anggota baharu untuk latihan militan termasuk latihan mengendalikan senjata api. Terdapat laporan media mengatakan jaringan ini turut terlibat dalam aktiviti membuat bahan letupan. 

Pada ketika ini, Neo-JI berhadapan dengan kekangan mendapatkan senjata api. Latihan militan Neo-JI dilihat sebagai persediaan atau i’dad yang diteruskan secara domestik iaitu dengan menghantar anggota Neo-JI ke Syria untuk keperluan masa hadapan. Aktiviti ini berjalan secara aktif dalam tempoh 2013 hingga 2018 ketika di bawah pimpinan Para Wijayanto. 

Dari segi kerjasama dengan rangkaian pengganas luar, pemimpin Neo-JI pernah berhubung dan berkomunikasi dengan jaringan pengganas Filipina dan rangkaian Al-Qaeda di Pakistan, Afghanistan dan Syria (kumpulan Jabhat Al-Nusra dan kumpulan Hayat Tahrir Al-Sham- HTS). 

Potensi Ancaman Neo-JI 

Kumpulan Neo-JI merupakan sebuah jaringan pengganas yang berasal daripada kumpulan JI. Ia muncul selepas JI asal berpecah dan kehilangan pemimpin yang berkarisma. JI yang asal juga berhadapan dengan pelbagai tekanan daripada pihak berkuasa dan Kerajaan Indonesia. Kumpulan JI sebelum ini telah terlibat dalam serangan Bom Bali 2002, serangan bom di JW Marriot 2003, serangan bom kedutaan Australia 2004 dan serangan ke atas Hotel JW Marriot serta Ritz Carlton pada tahun 2009. Kempen memerangi keganasan di Indonesia pada ketika itu (tempoh bermula tahun 2002 hingga 2009) telah berjaya melumpuhkan organisasi JI dengan banyak tangkapan dan pembunuhan berlaku ke atas anggota-anggota kanannya. Antaranya seperti Imam Samudra, Amrozi Nurhisyam, Huda Abdul Haq, Dr Azahari, Noordin Mat Top dan Umar Patek. Pihak berkuasa Indonesia telah berjaya menahan seramai 466 pengikut JI sepanjang kempen tersebut. Situasi ini telah memberi inspirasi kepada kewujudan jaringan baharu JI akibat daripada perpecahan pimpinan tertinggi JI dan tekanan daripada pihak berkuasa Indonesia. 

Neo-JI dilihat berpotensi menandingi JI yang asal dan jaringan-jaringan pengganas lain di Indonesia termasuk Jamaah Anshorut Daulah (JAD), Mujahidin Indonesia Timur (MIT) dan sebagainya kerana keupayaan dalam aspek ekonominya. Neo-JI yang sebelum ini dipimpin oleh Para Wijayanto telah membawa jaringan ini ke tahap yang berkemampuan dalam aspek sumber dana dan kewangan kerana penglibatan jaringan ini dalam perusahaan pertanian khususnya kelapa sawit. Sekali gus, manfaat ini memberi kelebihan kepada Neo-JI untuk menampung kos aktiviti keganasan kelak. 

Sepertimana ancaman JI terhadap Indonesia dan serantau sebelum ini, Neo-JI berupaya memberi ancaman keselamatan setelah jaringan ini mempunyai persediaan yang rapi untuk melancarkan serangan sekiranya diperlukan. Pada ketika ini, ancaman Neo-JI masih di tahap moderate yang mana jaringan ini sedang mempertingkatkan kekuatan dari segi ekonomi, pengikut, merekrut anggota baharu dan organisasi serta menunggu masa untuk bertindak lebih agresif dan merbahaya. Setakat ini, ancaman utama keganasan di Indonesia masih didominasi oleh jaringan JAD dan MIT yang mana kedua-dua kumpulan ini adalah pro-Daesh. 

Penangkapan pemimpin Neo-JI iaitu Para Wijayanto dilihat tidak menjejaskan jaringan ini. Apa yang pasti, jaringan ini mempunyai pengganti pemimpin mereka yang juga kredibel untuk memimpin Neo-JI. Namun, pengganti Para Wijayanto masih tidak didedahkan. Pada ketika ini, Para Wijayanto sedang menjalani hukuman hampir 7 tahun penjara kerana penglibatannya dengan aktiviti keganasan sebelum ini. Sepertimana Aman Abdurrahman, pemimpin JAD yang turut dipenjara, Para Wijayanto masih boleh berhubung dengan orang luar termasuk pengikutnya kerana sistem penjara di Indonesia membenarkan pertemuan ini. 

Neo-JI menekankan aspek dakwah sebagai strategi utama jaringan ini untuk memperkembangkan pengaruh di Indonesia demi mencapai matlamatnya menubuhkan sebuah Khilafah dan cuba melaksanakannya tanpa unsur kekerasan serta keganasan. Namun, dengan adanya aktiviti merekrut dan penghantaran kader-kader ke Syria serta luar negara untuk latihan perang jelas tidak menggambarkan pendirian ‘dakwah’ Neo-JI ini. Modus operandi ini adalah sama seperti dipraktikkan oleh JI yang awal pada tahun 1980 apabila mereka menghantar kader-kader ke Afghanistan untuk mendapatkan latihan ketenteraan. 

Neo-JI masih meneruskan aktiviti merekrut anggota baharu untuk membina kekuatan mereka. Justeru, aktiviti merekrut dilakukan sama ada melalui aktiviti dakwah secara bersemuka atau menggunakan medium media sosial dan Internet. Selain itu, proses indoktrinasi di dalam penjara dalam kalangan tahanan pengganas dan jenayah juga merupakan salah satu cabaran yang dihadapi oleh Indonesia. Seramai 650 tahanan yang terlibat dengan aktiviti pengganas telah dibebaskan dari penjara Indonesia sejak tahun 2002.

Meskipun bebas, pihak berkuasa Indonesia masih memantau pergerakan sebahagian besar daripada mereka yang dikhuatiri terlibat semula dalam jaringan pengganas Indonesia. Dengan jumlah yang besar ini, adalah tidak mustahil sebilangan kecil daripada mereka boleh menyertai jaringan Neo-JI secara tidak langsung disebabkan tawaran dan insentif yang lumayan termasuk sumber dana dan faktor persaudaraan. Berbanding JI, Neo-JI memfokuskan kepada pengumpulan sumber dana untuk menampung aktivitinya. 

Setakat ini, Neo-JI tidak memberi ancaman secara langsung kepada Malaysia. Namun potensi ancaman Neo-JI ke atas keselamatan Malaysia tetap wujud di mana jangkaan pada masa hadapan adalah seperti berikut: 

• Malaysia berupaya menjadi pusat transit jaringan Neo-JI untuk aktiviti merekrut anggota baharu, penyaluran sumber dana, pusat transit ke negara ketiga, lokasi pertemuan anggota kanan dan aktiviti dakwah. 

• Objektif dan matlamat akhir Neo-JI boleh memberi inspirasi kepada gerakan ekstremis tempatan seperti Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) kerana kedua-dua organisasi ini menekankan aspek menubuhkan Khilafah melalui aktiviti dakwah dan pendidikan. Selain itu, kedua-dua gerakan ini mempunyai persamaan dari aspek mengukuhkan pendanaan dan ekonomi melalui perniagaan yang sah di s i s i undang-undang. 

• Aspirasi Neo-JI untuk menubuhkan sebuah Kh i lafah mampu mendorong gerakan ekstremis di Malaysia untuk menyertai kumpulan HTM berkenaan di atas dasar perjuangan dan jihad untuk menegakkan sebuah negara Islam. Senario ini menyerupai mengalaman Malaysia berhadapan dengan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) yang mempunyai hubungan dengan JI di Indonesia. 

Penutup 

Aktiviti kumpulan-kumpulan pengganas termasuk Neo-JI di Indonesia kini dilihat terbantut disebabkan pelaksanaan pindaan Undang-Undang Anti Keganasan Indonesia 2018. Undang-undang ini menyerupai perundangan Malaysia di dalam aspek menangani ancaman terorisme yang menekankan strategi preventif iaitu menahan suspek pengganas terlebih dahulu sebelum sesuatu serangan dilancarkan. Walaupun organisasi JI yang asal telah lumpuh, namun potensi untuk ia bangkit semula adalah tinggi menerusi jaringan Neo-JI disebabkan persamaan ideologi, matlamat, bekas anggota dan modus operandi. Kekuatan Neo-JI adalah pada sokongan pengikutnya yang berjaya dipengaruhi melalui aktiviti-aktiviti dakwah semenjak penubuhannya. 

Neo-JI masih belum bertapak di Malaysia. Namun, pihak berkuasa dan agensi-agensi keselamatan berkaitan di Malaysia harus berwaspada dan peka terhadap perkembangan Neo-JI di negara jiran Indonesia. Pendekatan kumpulan berkenaan melalui dakwah dan menggunakan aspek ekonomi yang tidak menyalahi undang-undang mampu mengaburi mata agensi keselamatan Malaysia dalam usaha mengembangkan pengaruhnya di negara ini. Aspek pemantauan juga perlu dilakukan khususnya ke atas rakyat Indonesia yang bekerja di sektor ketiga di negara ini untuk mengelak sebarang kaitan dan komunikasi dengan jaringan Neo-JI dan JI. 

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button