Pusat Latihan Muzik Tentera Darat (PUZIDA) mula ditubuhkan secara ad hoc pada tahun 1984 dan dikenali sebagai Sekolah Muzik Angkatan Tentera. Ketika itu ianya berfungsi sebagai sebuah pusat latihan kepada semua anggota pancaragam pusat dan kumpulan Tambor Serunai di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pada tahun 1993 nama Sekolah Muzik Angkatan Tentera ditukarkan kepada Sekolah Muzik Tentera Darat (SMTD) kerana secara keseluruhannya penglibatan banyak tertumpu kepada anggota muzik Tentera Darat (TD).
Pada 1 Ogos 1994, sekali lagi lakaran sejarah telah tercatat apabila PUZIDA dengan rasminya ditubuhkan seiring dengan perkembangan TD pada ketika itu melalui waren perjawatan yang dimulai seramai empat pegawai dan 16 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP).
Walaubagaimanapun, PUZIDA telah disusun semula bagi memantapkan lagi organisasi pasukan dalam menstruktur semula jawatan jurulatih dan staf menjadikan perjawatan baharu melalui waren perjawatan FED (M) 3178/1/94 (PIND 1/2010) dengan kekuatan seramai enam pegawai dan 44 LLP pada 18 Jan 2010.
Penubuhan PUZIDA adalah untuk melatih dan mengajar anggota tentera agar mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang muzik khususnya pancaragam. PUZIDA juga memberi bantuan khidmat nasihat dan kepakaran di dalam bidang muzik serta perbarisan yang melibatkan pancaragam-pancaragam ATM, Kumpulan Brassband dan Kumpulan Tambor Serunai kepada pasukan-pasukan di dalam ATM.
Selain itu, dalam penganjuran kursus sedia ada, PUZIDA mengenal pasti anggota berbakat yang sesuai serta layak untuk menghadiri kursus-kursus lanjutan di dalam dan luar negara seperti di United Kingdom, Australia dan Pakistan yang meliputi kursus Bandmaster, Drum Major, Pipe Major dan lain-lain yang ditawarkan oleh Markas Tentera Darat (MK TD) – Bahagian Operasi dan Latihan (OPLAT).
Bagi pegawai atau anggota yang ingin berkhidmat sebagai jurulatih di PUZIDA, terdapat beberapa syarat kelayakan khusus yang diperlukan seperti berkemahiran tinggi dalam mengendalikan alat muzik dari semua aspek sama ada dalam bentuk teori mahupun amali serta lulus cemerlang dalam semua kursus muzik yang telah dihadiri. Selain itu disiplin, keterampilan serta sifat dedikasi yang tinggi turut diambil kira untuk dijadikan tauladan kepada para penuntut dengan harapan PUZIDA berupaya melahirkan anggota pemain muzik yang mampu berdaya saing di peringkat yang lebih tinggi.
PUZIDA bukan sahaja sinonim dalam kalangan anggota tentera tetapi ianya merupakan salah sebuah organisasi penting dalam membantu kerajaan ketika mengendalikan majlis-majlis keraian rasmi melibatkan organisasi dalam dan luar negara. Contohnya pada tahun 2007 dan 2014 ketika Malaysia dilantik sebagai penganjur Sukan SEA, PUZIDA diberi penghormatan sebagai organisasi tunjang yang bertanggungjawab dalam mengkordinasikan kumpulan-kumpulan muzik yang terlibat bagi mengiringi acara pembukaan dan penutup temasya sukan berprestij di Asia Tenggara berkenaan.
Selain itu PUZIDA turut mendapat pengiktirafan daripada Negara Timor Leste apabila mereka menghantar tentera untuk dilatih dalam bidang muzik yang dikendalikan oleh PUZIDA pada tahun 2016. Hal ini dilihat sangat membanggakan ATM khasnya dan Malaysia amnya kerana dapat membimbing dan berkongsi ilmu pengetahuan serta kepakaran dengan negara lain bagi mengukuhkan lagi persepakatan dalam angkatan bersenjata selain sekaligus menambah pengalaman para jurulatih PUZIDA.
Dalam memastikan PUZIDA kekal sebagai sebuah pasukan yang utuh dan berkemahiran tinggi selari dengan perkembangan semasa, pasukan terus mengorak langkah dan mengambil beberapa inisiatif serta perancangan di masa hadapan seperti menambah bilangan jurulatih kerana penambahan anggota berkursus meningkat dan mendapat sambutan yang memberangsangkan dari setiap kor dan rejimen.
Besarlah harapan agar para barisan jurulatih dan penuntut yang mengikuti kursus muzik di PUZIDA mampu bekerjasama dengan badan professional, pemain industri orkestra atau pancaragam muzik awam agar kolaborasi kepakaran dalan bidang ini dapat dipertingkatkan dan sentiasa mempunyai daya saing yang tinggi.