NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyatakan bahawa Latihan Kuasa Tembakan (LKT) ini bukan sekadar satu latihan biasa, ia adalah tunjang utama kepada kesiapsiagaan malah sebuah wadah di mana keberanian, kemahiran dan keteguhan jiwa kita ditempa menjadi satu kekuatan yang tidak dapat digugat.
“LKT ini menjadi laungan semangat kita semua, satu demonstrasi kuasa yang bersatu dan satu tanda tekad kita yang tidak pernah goyah dalam mempertahankan tanah air tercinta.
“Kepentingan latihan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ianya mengasah keupayaan kita untuk melaksanakan tindakan yang tegas, tepat dan luar biasa tatkala negara amat memerlukannya.
“Dalam dunia yang dipenuhi ancaman yang kian berkembang dan kompleks, latihan seperti inilah yang menjadi jaminan bahawa kita bukan sekadar bersedia tetapi mampu mengatasi apa jua cabaran dengan dominasi,” ujar PTD.
Latihan ini bukan satu pembaziran sumber kerana ia adalah satu pelaburan dalam keselamatan negara, satu komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan bahawa pasukan gabungan kita berdiri teguh sebagai perisai yang tidak dapat ditembusi daripada sebarang ancaman.
Namun seperti mana-mana aset bernilai tinggi, ia mesti dilatih, ditambah baik dan diselenggara pada tahap tertinggi dan kerana itulah kita berada disini untuk berlatih.
Nilainya tidak terletak pada kos tetapi pada keyakinan yang tidak tergugat dan ketenangan fikiran yang diberikannya iaitu jaminan bahawa kekuatan bersatu kita akan tetap menang, walau apa jua cabaran yang mendatang.
Demikian ucapan PTD ketika berucap dalam Latihan Kuasa Tembakan 2025, latihan kemuncak tahunan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan demonstrasi kuasa tempur bersepadu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggegar Lapang Sasar Gemas pada 12 Ogos 2025.
Latihan edisi ke-54 ini menghimpunkan kira-kira 2,500 anggota serta aset strategik dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Tuan Hj Adly Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaafar.
Latihan pada tahun ini yang menjadi platform pendedahan kepada penuntut Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT), mempamerkan beberapa segmen berimpak tinggi.
Antaranya, Penyertaan Bersejarah: Buat julung kalinya, Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) terlibat sama, melepaskan tembakan dalam segmen Direct Fire Support Base (DFSB), melambangkan pengukuhan konsep Pertahanan Menyeluruh negara.
Operasi Gabungan Darat-Udara: Keupayaan operasi bersama terbukti jitu apabila artileri 155mm G5 berjaya membuat penandaan sasaran untuk serangan udara (Air Strike) yang dilaksanakan dengan sempurna oleh jet pejuang TUDM, F/A-18D Hornet dan SU-30MKM.
Aplikasi Teknologi Moden: Aset Unmanned Aerial System (UAS) FLYEYE digerakkan bagi misi risikan dan Penilaian Kerosakan Tempur (Battle Damage Assessment) secara masa nyata, menunjukkan anjakan ATM ke arah peperangan berteraskan teknologi.
Keupayaan Pasukan Khas: Kecekapan elit ATM didemonstrasikan melalui penyusupan anggota 10 Bgd (Para) menggunakan teknik Fast Roping dan diekstraksi melalui SPIE-
Rigging dari helikopter EC725.
PTD menyifatkan latihan ini sebagai satu pelaburan strategik yang kritikal untuk negara dimana kesiapsiagaan yang dipamerkan hari ini adalah polisi insurans premium negara.
Ini bukan sekadar latihan, tetapi satu komitmen mutlak dan pelaburan strategik demi menjamin kedaulatan negara agar Malaysia dapat terus makmur dalam keadaan aman.
“Latihan ini diadakan bagi memastikan setiap lapisan warga ATM bersedia menjaga dan melindungi rakyat dengan segala daya upaya sehinggakan sanggup meninggalkan orang tersayang demi memastikan keamanan dan kemakmuran negara terjamin,” tegas PTD.
LKT 2025 sekali lagi membuktikan bahawa kesepaduan antara perkhidmatan dan aset-aset moden ATM berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi, sedia digerakkan bagi mempertahan kedaulatan dan kepentingan negara pada setiap masa.
Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris (TUDM), Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Mohd Suria Mohd Saad.