MELAKA: Bersempena Tahun Melawat Melaka, Rejimen Gerak Khas (RGK) mengadakan Sambutan Jubli Intan Ke-60 Fasa 2 bertemakan ”Jubli Intan Gerak Khas : Warisan Legasi Keberanian, Legasi Kegagahan” bertempat di Encore Pantai Klebang mulai 27 hingga 31 Dis 2025.
Acara ini disemarakkan dengan pelbagai segmen menarik berkenaan aspek ketenteraan, Demonstrasi Kepakaran 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Hari Keluarga Gabungan dan Himpunan Veteren.
Antara acara yang paling mencuri tumpuan para pengunjung adalah Pameran Statik Aset Ketenteraan, Demonstrasi Kombat GGK melibatkan 20 anggota Lain- Lain Pangkat (LLP) dari 21 GGK, pertunjukan aksi bermotorsikal Army Red Warior yang disertai oleh dua pegawai dan 43 anggota LLP dari Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) serta Demonstrasi Anjing Perang dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA).
Sambutan pada kali ini diadakan secara terbuka yang turut menganjurkan lapan acara sukan dan cabaran bagi membuka peluang kepada masyarakat untuk merasai pengalaman unik sebagai seorang Pasukan Khas Tentera Darat dalam keadaan terkawal dan selamat.
Objektif utama acara ini adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat berkenaan peranan, keupayaan serta tahap profesionalisme disamping Meningkatkan Hubungan Antara Tentera Darat dan Awam selaras dengan aspirasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam membina jalinan strategik bersama komuniti.
Kerajaan Negeri Melaka turut menjadikan sambutan ini sebagai platform berskala besar yang bukan sahaja menonjolkan aspek ketenteraan malah turut merangkumi aspek pelancongan, kemasyarakatan dan pendidikan awam secara holistik.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan serta rasa bangga kepada seluruh warga RGK yang sanggup bergadai nyawa serta berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan negara.
Jelasnya lagi, Kerajaan Melaka akan terus berdiri teguh bersama warga RGK khususnya ATM amnya dalam usaha menyokong memperkukuhkan kebajikan anggota serta keluarga disamping mengeratkan hubungan dengan masyarakat melalui pelaksanaan program berteraskan perpaduan dan semangat patriotisme.
Turut hadir, Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Hj Mohd Ali Mohd Rustam, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Ketua Staf 21 GGK, Brig Jen Mohd Mursyadi Abdul Mutalib.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil bin Akirul, LKpl Syfiqrullah Mazlan, Siti Noor Ainzulaikha Che Rahim dan Tamim Ansari Abd Kadir


