JOHOR: Tentera Darat (TD) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di daerah Muar menerusi pelbagai projek penambahbaikan kemudahan komuniti.
Projek yang dilaksanakan termasuk kerja penyenggaraan dan menceriakan Masjid Al-Hakim di Kampung Parit Keroma serta naik taraf balai raya dan kemudahan infrastruktur di Kampung Parit Jamil bagi manfaat penduduk setempat.
Kerja-kerja senggaraan dan pembinaan ini telah siap sepenuhnya dilaksanakan oleh pasukan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (8 Skn RAJD) dan Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD).
Dalam program tersebut, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman telah merasmikan kedua-dua projek dan diikuti dengan penyampaian sumbangan Bakul Rahmah kepada 10 penerima yang layak.
PTD menegaskan bahawa penglibatan TD dalam pembangunan masyarakat membuktikan komitmen berterusan pasukan untuk sentiasa bersama rakyat selari dengan aspirasi kerajaan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen TD dalam menyokong pembangunan sosial setempat selain mempererat semangat patriotik dan perpaduan dalam masyarakat.
Gambar: Kpl Kenny Roy Jellis, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Meor Danish Aniq Mohd Faizul

