KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM meninjau ke kawasan operasi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan oleh anggota ATM bersama PDRM di sekitar Lembah Klang pada 15 Okt 2020.
PAT dan PTD berkesempatan melihat sendiri keadaan dan kesiapsiagaan anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dilaksanakan.
Antara lokasi SJR yang dilawati PAT dan PTD adalah di AU2 Keramat dan Wangsa Melawati di bawah kelolaan Kawasan Tanggungjawab 12 Briged melibatkan pasukan dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD).
Pada masa sama PAT dan PTD turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Memerintah 1 RRD, Lt Kol Mazli Mohd Said di Mobile Op Room Batalion berkenaan.
Lawatan diteruskan ke lokasi SJR di Plaza Tol Gombak di bawah kelolaan Kawasan Tanggungjawab 11 Briged melibatkan anggota daripada Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (25 RAMD).
Turut hadir ke SJR tersebut, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Ya’cob Hj Samiran, Ketua Polis Selangor, Komisioner Polis Dato’ Noor Azam Jamaluddin, Panglima 11 Bgd, Brig Jen Norsham Md Tap dan Panglima 12 Bgd, Brig Jen Dato’ Marzuki Hj Mokhtar.
Gambar: Sjn Saiful Fazley dan Pbt Fadzil