Bersama PemimpinSemasaWanita TD

56 Tahun Mendewasakan Warga Wanita Dalam TD – PTD

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyatakan bahawa tempoh masa 56 tahun telah mendewasakan warga wanita dalam Tentera Darat (TD) sehingga mereka dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakan seperjuangan berlainan jantina.

Meskipun penglibatan wanita dalam bidang ketenteraan bermula dengan angka yang amat kecil iaitu seramai 40 orang namun angka tersebut kini meningkat sehingga mencapai 6.3 peratus daripada keseluruhan warga TD.

“Peningkatan angka menunjukkan tahap kepercayaan tinggi yang diberikan kepada pegawai dan anggota wanita untuk sama-sama menabur bakti kepada nusa dan bangsa,” kata PTD ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hari Wanita Tentera Darat Ke-56 di Auditorium Kementerian Pertahanan pada 30 Mac 2021.

Tambah PTD lagi, beliau berkehendakkan agar Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Wanita dilantik menganggotai jawatankuasa ini sebagai penghubung membawa permasalahan anggota wanita ke peringkat yang lebih tinggi.

“Perkara ini perlu dilaksanakan segera bagi meamstikan kebajikan anggota wanita sentiasa terpelihara sebagaimana digariskan dalam tonggak ketiga perintah ulung saya.

“Seiring dengan tema sambutan Hari Wanita Tentera Darat pada tahun ini, Wanita Waja: Wanita Bangkit Mendepani Cabaran, saudari sekalian haruslah berani untuk mencuba sesuatu yang baru dan bersedia meningkatkan keupayaan diri agar menjadi lebih terampil dan cemerlang pada masa akan datang,” ujar PTD.

Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Tentera Darat (JKHEWTD), Lt Kol Maslina Abu Said bersama barisan Ahli Jawatankuasa.

Majlis diserikan lagi dengan dua orang srikandi Wanita TD yang mengharumkan nama TD khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan yang menerima Pisau TD atas pencapaian cemerlang serta luar biasa dalam perkhidmatan.

Penerima pertama, Mej Noorsyahiddawati Abdullah Sani pegawai wanita Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) yang merupakan bekas pesilat negara dan diikhtiraf sebagai Pegawai Wanita Pertama menerima Anugerah Sukan Tentera Malaysia (MSAT) pada tahun 2019 dengan penganugerahan Pingat Perak.

Beliau berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat emas di dalam Pertandingan Pencak Silat Asia Pasific Masters Games Tahun 2019 dalam Kategori Ganda Putri.

Manakala penerima kedua adalah Kpl Nurul Farhanah Johari anggota wanita Kor Perkhidmatan Am (Bahagian Kerani) merupakan ahli Tim Angkat Berat Wanita ATM yang berjaya memenangi tiga pingat emas dan turut memecahkan rekod kebangsaan ketika bertanding di dalam Kejohanan Sukan Asian Championship Kazakhstan pada tahun 2019.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Muhammad Ab Rahman, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo dan AKS Cawangan Sumber Manusia merangkap Penasihat Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita Tentera Darat (JKHEWTD), Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

Gambar: LKpl Mohammad Shahrun Nizam Mohamad Radzuan

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button