Sejarah

OP DAULAT: Insiden Berdarah Lahad Datu

Pencerobohan ke atas persempadanan negara oleh sekumpulan pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Tentera Sultan Sulu’ bermula pada 9 Feb 2013 di Kampung Tanduo, Lahad Datu, ia merupakan ancaman keselamatan terhadap kedaulatan negara tahap tertinggi selepas Peristiwa Konfrantasi 1963. Walaupun peristiwa pencerobohan dan keganasan bersenjata di Lahad Datu tersebut telah berjaya diatasi melalui pendekatan penyelesaian ketenteraan oleh Pasukan Keselamatan (PK) Malaysia, namun secara implisitnya, kewaspadaan dan pengurusan kawalan terhadap pertahanan dan keselamatan negara memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh mencakupi aspek militer dan bukan militer. 

Dalam erti kata lain, aspek keselamatan kedaulatan negara tidak hanya boleh ditangani semata-mata berdasarkan kepada pendekatan militer. Suatu dimensi yang boleh kita katakan sebagai ‘rahmat’ di sebalik pencerobohan tersebut adalah kesedaran terhadap keperluan untuk melihat ancaman terhadap keselamatan kedaulatan negara dari aspek yang lebih luas melangkaui aspek dan batasan ketenteraan persempadanan Malaysia khususnya di Wilayah Timur. Tarikh 1 dan 2 Mac 2013 akan kekal dalam sejarah negara sebagai detik hitam yang menyaksikan kedaulatan negara dicabar dan serangan dibuat oleh penceroboh menyebabkan sepuluh wira tanah air gugur semasa mempertahankan negara. 

Krisis pencerobohan Lahad Datu 2013 bermula apabila sekumpulan pengikut Jamalul Kiram III yang mendakwa waris sah Kesultanan Sulu telah menceroboh dan mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 9 Feb 2013 bagi menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah Kesultanan Sulu. Kumpulan ini turut mendakwa bahawa sebelum Sabah diambil oleh British, ianya berada di bawah pemerintahan Kesultanan Sulu. Namun, pendekatan melalui toleransi Malaysia jelas tercabar kerana walaupun telah berunding dengan kumpulan itu pada 14 Feb 2013, mereka enggan berganjak sekalipun tempoh mereka diminta meninggalkan Malaysia berakhir pada 26 Feb 2013. 

Pada 1 Mac 2013, Lahad Datu digemparkan dengan tembakan senjata api sehingga mengorbankan dua anggota komando polis VAT 69 di Kampung Tanduo, Lahad Datu manakala enam anggota polis terkorban serta meragut nyawa 12 pengganas dalam serang hendap di perkampungan air Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013. Terpukul dengan keganasan yang dipamer oleh kumpulan pengganas ini, Op DAULAT dilancarkan di mana pasukan keselamatan negara menggempur kubu mereka dengan serangan udara dan darat pada 5 Mac 2013. Perdana Menteri (PM) semasa itu turut menegaskan agar pengganas meletak senjata tanpa syarat dan memberi amaran bahawa mereka sedang berhadapan dengan negara berdaulat. 

Atas dasar mempertahankan negara, PM telah mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebagai landasan perundangan kepada penubuhan ESSCOM. 

Op DAULAT turut menyaksikan penangkapan beberapa individu yang didapati bersekongkol dengan kumpulan pengganas terbabit selain anggota militan itu sendiri yang keluar daripada persembunyian selepas digempur. Pada 21 Mac 2013, lapan rakyat Filipina dihadapkan ke mahkamah dan berdepan hukuman mati serta penjara seumur hidup atas tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas. 

Seramai 443 orang turut dilapor ditahan kerana memasuki zon merah kawasan Op DAULAT dan pelbagai kesalahan manakala 173 ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Sebagai menghargai pengorbanan wira-wira yang gugur, PM mengumumkan kenaikan pangkat kepada mereka. Secara keseluruhannya, insiden berdarah itu juga meragut nyawa 68 anggota militan dalam pertempuran manakala PK melibatkan dua anggota ATM dan lapan anggota polis telah terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara. 

Dua anggota ATM yang terkorban iaitu Pbt Ahmad

Hurairah Ismail, 24, yang gugur semasa pertempuran dan Pbt Ahmad Farhan Ruslan, 21, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya semasa bertugas, masing-masing dinaikkan pangkat Kpl. Enam anggota polis pula ialah Supt Ibrahim Lebar (ACP), ASP Michael Anak Padel (DSP), Sjn Abdul Aziz Sarikon (SM), LKpl Mohd Azrul Tukiran (Kpl), Sjn Baharin Hamit (SM) dan Kpl Salam Tugiran (Sjn). 

PM menyifatkan pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu sebagai peristiwa yang bukan sahaja membuka mata kerajaan, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia, terutama di Sabah, tentang betapa pentingnya meningkatkan persiapan untuk menghadapi ancaman luar. Al- Fatihah untuk semua wira-wira negara yang terkorban. 

Kesimpulannya krisis pencerobohan ini jelas menunjukkan bahawa dalam konteks keselamatan nasional di Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan, ancaman yang ditimbulkan oleh pengganas Sulu ini merupakan elemen penting yang memainkan peranan dalam isu keselamatan di Malaysia. Insiden ini sekaligus memberikan gambaran bahawa pendekatan holistik adalah alternatif penting untuk memahami isu dan masalah persoalan keselamatan di negara ini. Sekaligus menunjukkan bahawa pendekatan ketenteraan semata-mata belum cukup untuk mengurangkan kadar ancaman yang ditimbulkan oleh pengganas seperti yang ditunjukkan dalam insiden Kampung Tanduo ini. 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button