NEGERI SEMBILAN: Mengekalkan tema sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) Ke-39 pada tahun ini sebagaimana tahun lepas iaitu ‘Wehdatul Fikri Wal Amal’ yang bermaksud kesatuan fikiran dan tindakan, Pengerusi Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi Bujai mengetengahkan empat sisi pandangan ulama’ berkenaan makna akhlak sebagai pedoman warga Kor.
“Sebagai pembawa bendera dakwah, sisi pandangan pertama dilihat dari segi percakapan yang sentiasa dinilai oleh mad’u (sasaran dakwah).
“Sisi kedua akhlak dipandang pada riak dan raut wajah, di mana warga KAGAT harus kelihatan tenang dan menyenangkan apabila dipandang oleh warga ATM dan masyarakat.
“Pandangan sisi ketiga terhadap akhlak melibatkan pakaian seorang Da’ie yang menjadi lambang keperibadian seorang Da’ie Askari manakala pandangan sisi keempat akhlak diperhati pada perbuatan dan tingkah laku,” jelas Pengerusi KAGAT.
Tambahnya lagi, beliau menyeru seluruh warga KAGAT agar memelihara tingkah laku, akhlak dan perbuatan agar selaras dengan nilai-nilai Islam serta menjadi teladan kepada seluruh warga ATM.
Pengerusi KAGAT berkata demikian semasa menyampaikan perutusan dalam Perbarisan HUT KAGAT Ke-39 di Padang Kawad, Institut Latihan dan Kefahaman Islam (ILMI) ATM pada 3 Mei 2024.
Terdahulu, beliau menerima tabik hormat serta memeriksa perbarisan berkekuatan seramai 12 pegawai dan 97 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Afif Farhan Hasbullah dengan diiringi pancaragam dari Brassband Rejimen Kedua Kor Amor Diraja (2 KAD).
Dalam perbarisan ini, Pengerusi KAGAT turut menyempurnakan penyampaian Anugerah Khas Pengerusi Kor kepada empat penerima dan penyampaian Sijil Kepujian Kor kepada 16 penerima.
Usai Perbarisan, acara diteruskan dengan Majlis Pemakaian Pangkat melibatkan tujuh pegawai dan 11 anggota LLP sebelum disusuli acara penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Penulisan Esei Sempena HUT KAGAT Ke-39.
Seterusnya, Pengerusi KAGAT menyempurnakan Penyerahan Buku Modul Perisai Akidah ATM Versi 2.0 dan Buku Manual Kaunseling/Runding Cara Keluarga Islam Al-Ghazali (MARKIA) kepada wakil-wakil markas perkhidmatan.
Bersempena dengan sambutan HUT ini turut diadakan gimik Pelancaran Buku Kor KAGAT: Meniti Kecemerlangan yang merupakan manifestasi sebuah perjuangan kepimpinan dan warga KAGAT yang terdahulu sehingga kini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Kor 2 KAGAT, Brig Jen Dato’ Abdul Jabar Mohamad Aris, Komandan ILMI ATM, Kol Ismail Wahab dan pegawai-pegawai kanan.
Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein