Bersama Pemimpin

Hari Pahlawan 2024 Simbolik Penghormatan Wira Negara

PUTRAJAYA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVII, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2024 di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Jul 2024.

Istiadat dimulakan dengan perbarisan berkonsepkan statik terdiri daripada empat detasmen melibatkan seramai 17 pegawai dan 638 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran ATM serta Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang diketuai oleh Lt Kol Abang Raduan Abang Madihi TUDM.

Seterusnya, upacara perarakan masuk Panji-panji SPB YDP Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) oleh Kawalan Kehormatan Utama.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda disambut oleh Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara (KPN), Insp Jen Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid lalu menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan diiringi alunan lagu Negaraku dari Pancaragam Pusat ATM dan Pancaragam Pusat PDRM sebelum disusuli 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (41 Bti RAD).

Acara diteruskan dengan Tiupan Paluan Akhir atau Last Post dengan menurunkan Jalur Gemilang dimana tiupan ini merupakan isyarat di medan perang supaya anggota pasukan sahabat mencari saki-baki anggota yang terkorban atau cedera untuk dibawa pulang.

Para hadirin turut diperdengarkan deklamasi sajak berjudul Jenalik Berdarah serta persembahan pantomim Operasi Subuh yang mengisahkan daripada peristiwa sebenar pertempuran yang berlaku di Bukit Jenalik, Sauk pada 24 tahun yang lalu.

Pada 2 Jul 2000, kumpulan Al-Ma’unah yang diketuai oleh Mohamed Amin telah menceroboh kem tentera dan melarikan 114 laras senjata api serta lebih 18,000 butir peluru ke Bukit Jenalik.

Keberanian pasukan keselamatan yang diketuai oleh Lt Jen Dato’ Seri Zaini Hj Mohd Said berjaya menggagalkan rancangan kumpulan ini, namun mengorbankan dua anggota pasukan keselamatan iaitu Kpl Sagadevan Rajoo dari Cawangan Khas (SB) PDRM dan Truper Matthew Medan dari Trup 21 Komando.

Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan yang diraikan sejak tahun 1960, adalah manifestasi penghormatan kepada pegawai dan anggota ATM serta PDRM yang telah berkorban mempertahankan kedaulatan negara serta sebagai ketaatsetiaan, kemegahan dan semangat tidak berbelah bahagi kepada raja dan negara.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain dan Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat bersama pasangan masing-masing.

Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online