JOHOR: Seramai 18 pegawai dan 178 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam perbarisan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen Gerak Khas Ke-60 bertempat di Markas 21 Grup Gerak Khas (21 GGK) pada 1 Ogos 2025.
“Perjalanan selama enam dekad bukanlah satu masa yang singkat bagi GGK tetapi ianya tempoh masa yang penuh dengan perjuangan, pengorbanan, cabaran serta kejayaan”, jelas Panglima 21 GGK, Mej Jen Ahmad Shuhaimi Wajab dalam perbarisan yang melibatkan lima detasmen diketuai oleh Pegawai Pemerintah Rejimen 22 Komando (Rej 22 Kdo), Kol Mohd Nizam Moladi.
“Bermula dari sebuah pasukan kecil yang menentang konfrontasi dan insurgensi sehingga menjadi satu ketumbukan moden yang canggih yang mampu beroperasi di semua domain iaitu Darat, Laut, Udara serta Ruang Siber.
“Legasi dan pencapaian gemilang generasi yang terdahulu telah membina tradisi kecemerlangan yang telah diwarisi hingga ke hari ini. Namun demikian kebergantungan kepada kejayaan-kejayaan silam akan membatasi kita daripada melakukan anjakan radikal.
“Perubahan minda dan keluar daripada kerangka pemikiran legasi bagi membina angkatan masa hadapan yang lebih unggul, ingatlah peribahasa, sekali air bah, sekali pantai berubah bahawa perubahan adalah satu kepastian yang tidak dapat dihalang. Beliau berkata demikian ketika menyaksikan perbarisan pada hari ini.
Turut Hadir, Ketua Staf Am Markas 21 GGK dan Brig Jen Samsyawal Muhamad, Ketua Staf Perkhidmatan, Brig Jen Mohd Musyadi Abdul Mutalib.
Gambar : LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein dan Pbt Raja Khairul Husaini Raja Roslan