PUTRAJAYA: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajjah Haminah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2016 bertempat di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Jul 2016.
Istiadat Perbarisan melibatkan 28 pegawai dan 775 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri dari Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Persatuan Bekas Polis Diraja Malaysia diketuai oleh Ketua Perbarisan Lt Kol Mohd Radzi Othman.
Acara dimulakan dengan perarakan masuk Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Kawalan Kehormatan Utama Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan sejurus keberangkatan tiba pasangan diraja alunan lagu Negaraku dimainkan disusuli dengan Tembakan Kehormatan sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja.
Istiadat diteruskan dengan tiupan paluan akhir dengan Jalur Gemilang diturunkan sebagai simbolik untuk mengenang mereka yang terkorban dan hadirin kemudian diperdengarkan dengan deklamasi sajak bertajuk Pahlawan yang disampaikan oleh Kol Mohd Radzi Abdul Hamid dan persembahan pantomin mengenai pertempuran di jalan raya Timur-Barat,Grik Perak, Paluan Fajar dan diakhiri laungan Daulat Tuanku.
Sambutan Hari Pahlawan ini menjadi acara tahunan di peringkat kebangsaan khusus untuk memperingati serta mengenang jasa perwira-perwira yang berjuang menegakkan keamanan dan kebebasan negara daripada penjajahan, ancaman komunis serta pihak luar satu ketika dahulu hingga kini.
Turut hadir Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Timbalan PM, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj Zulkifeli Hj Mohd Zin, Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar, Panglima ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara serta Penasihat Pertahanan luar negara.
Gambar: PW II Mohd Shahril Mat Ali, Sjn Vijay Gaundar, LKpl Ainur Aishah Yahaya