PERAK: Lapangan Terbang Tekah bergema dengan laungan semangat dan deruman aksi tempur oleh Penuntut Kursus Asas Komando Siri AK/1/2025 yang mempersembahkan demonstrasi penyelamatan tawanan perang sempena majlis penutup kursus yang berlangsung di Taiping pada 26 Apr 2025.
Pemilihan lokasi ini bukan sahaja membuka ruang kepada keluarga penuntut untuk turut serta meraikan kejayaan, malah memberi peluang kepada masyarakat awam menyaksikan secara langsung ketangkasan dan semangat juang pasukan elit negara.
Situasi tempur yang disimulasikan secara realistik itu melibatkan penggunaan bahan letupan, tembakan taktikal dan pertempuran jarak dekat sekali gus memukau penonton dengan kehebatan setiap gerakan pasukan.
Antara demonstrasi ketenteraan lain yang turut dipersembahkan termasuk operasi menyelamat, payung terjun dan aksi kombat Gerak Khas yang menzahirkan tahap keberanian dan profesionalisme tinggi dalam kalangan penuntut kursus.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian anugerah Penuntut Terbaik kepada Lt M Muhammad Syukran Shafie dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) di atas pencapaian cemerlang sepanjang kursus.
Upacara perbarisan diteruskan dengan lafaz ikrar 12 Sumpah Perajurit Komando oleh para peserta kursus dan penyerahan bendera kepada Ketua Cawangan Komando sebagai tanda berakhirnya kursus.
Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Ahmad Suhaimi Mat Wajab mengucapkan syabas dan tahniah kepada 38 penuntut daripada 208 orang keseluruhan yang berjaya menamatkan latihan serta dianugerahkan Beret Hijau dan Pisau Komando.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi sambil mengingatkan bahawa Beret Hijau adalah lambang maruah Gerak Khas yang mesti sentiasa dipelihara.
“Kejayaan ini hanyalah permulaan, lebih banyak kursus kepakaran menanti dalam usaha memperkasa keupayaan di darat, laut dan udara,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar semua anggota sentiasa berdisiplin, setia kepada pemimpin dan organisasi serta menjaga nama baik pasukan.
Mengakhiri ucapannya, beliau berkongsi rancangan pembangunan jangka panjang 21 GGK dari tahun 2025 hingga 2055, selaras dengan Strategi Ketenteraan Negara 2.0 bagi memastikan Gerak Khas terus relevan dalam menghadapi cabaran keselamatan global.
Turut hadir, Ketua Staf Am 21 GGK, Brig Jen Samsyawal Muhamad, Ketua Staf Perkhidmatan 21 GGK, Brig Jen Mohamad Musyadi Abdul Mutalib dan Komandan PULPAK, Kol Mohd Rizal Mohd Zambran.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan