2 DivBersama PemimpinLawatanSemasa

Forum Perdana Ehwal Islam Sempena HTD Ke-89

PULAU PINANG: Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (MK 2 Div) dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1 menganjurkan Program Bual Bicara Forum Perdana Ehwal Islam bersempena Hari Tentera Darat Ke-89 (HTD Ke-89) yang disiarkan secara langsung dari Wisma Perwira MK 2 Div, Kem Tun Razak pada 11 Ogos 2022.

Program ini merupakan Program Tahunan Tentera Darat (TD) bertujuan memberi pendedahan kepada anggota TD melalui diskusi ilmu-ilmu tentang kerohanian dalam membina kekuatan fizikal atau spiritual combat power kepada setiap anggota tentera.

Tajuk forum pada kali ini ialah Derap Pertiwi yang dihoskan oleh Ustaz Muhammad Hariri Mohd Daud dan penceramah jemputan iaitu Ketua Sel Dakwah, Jabatan Arah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Lt Kol Hj Mohd Jihadi Hj Ahmad serta Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, Dato’ Hj Badli Shah Alauddin.

Forum Perdana Ehwal Islam kali ini, memberi kupasan mengenai kisah pahlawan Islam tersohor iaitu Khalid Ibn Al-Walid serta sejarah ketenteraan Islam terdahulu yang boleh dijadikan panduan bagi warga TD mempertingkatkan iman dan taqwa agar dapat menuruti jejak kepahlawanan Islam zaman dahulu.

Dalam mengekalkan kesatuan dan keamanan sesebuah negara, aspek ketenteraan sangat ditekankan oleh Rasulullah SAW, bahkan dalam peristiwa hijrah, kebajikan serta pengorbanan keluarga amat dititikberatkan bagi mengekalkan keharmonian negara Islam Madinah ketika itu.

Selain itu, penceramah turut menekankan bahawa pengorbanan anggota tentera perlu mendapat pengiktirafan sewajarnya kerana mempertahankan kedaulatan negara adalah amanah berat yang perlu dipikul dan ia merupakan suatu tugas yang mulia serta disanjung di sisi agama.

Di penghujung forum, penceramah mengakhiri kupasan dengan mengajak seluruh warga TD supaya terus bertungkus lumus menabur khidmat bakti kepada ibu pertiwi demi menunaikan amanah sebagai seorang pahlawan negara.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, S.S. Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd dan Pengarah Perbankan Pengguna Bank Islam Malaysia Berhad, En Zamri Muhamad.

Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online