Category: Rencana

  • ATM Terima UAV Dari Kerajaan Jepun

    ATM Terima UAV Dari Kerajaan Jepun

    KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sebanyak 14 unit pesawat tanpa pemandu atau lebih dikenali Unmanned Aerial Vehicle (UAV) daripada Kerajaan Jepun di bawah inisiatif Official Security Assistance (OSA) sebagai simbolik perkukuh diplomasi pertahanan antara kedua buah negara.

    Terdahulu, Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan Majlis Penerimaan UAV yang disaksikan oleh Duta Besar Jepun, H.E Shikata Noriyuki dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan yang mewakili Panglima Angkatan Tentera bertempat di Auditorium Binary, Kompleks Haigate ATM pada 22 Sep 2025.

    Perolehan tersebut telah dipersetujui ketika Mesyuarat Jemaah Menteri pada 1 Dis 2023 agar Malaysia menerima bantuan daripada Jepun dalam bentuk geran bagi pembelian peralatan yang tidak ada kaitan dengan persenjataan bernilai 400 juta yen bersamaan RM 12.63 juta di bawah program Bantuan Keselamatan Rasmi (Official Security Assistance (OSA)).

    Ketetapan ini membawa kepada termeterai perjanjian Exchange of Notes (EN) di antara Kerajaan Malaysia dengan Japan International Cooperation System (JICS) pada 16 Dis 2023.

    Sumbangan ini membuktikan hubungan kukuh di antara Malaysia-Jepun dalam kerjasama pertahanan strategik bagi memastikan Malaysia dapat memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan di samping memperjelas usaha Kerajaan Jepun dalam menyokong kestabilan serantau khususnya dalam aspek pemantauan maritim, kawalan sempadan dan operasi keselamatan.

    MENHAN berkata, inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kesiagaan ATM, malah membuktikan komitmen Jepun dalam memastikan keamanan dan kestabilan terus terpelihara.

    Melalui perolehan ini ATM menerima sebanyak 14 unit UAV yang diagihkan kepada Tentera Darat (enam unit), Tentera Laut Diraja Malaysia (enam unit) dan dua unit kepada Markas ATM di bawah tanggungjawab Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan.

    Selain itu, melalui bantuan ini, ATM dijangka menerima sumbangan lain seperti Bot Penyelamat dan Road Cleaning Truck (RCT) secara berfasa yang bakal diserahkan pada 1 Okt 2025 di Pangkalan Udara Jugra.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin Hj Ludin, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Nur Hafis Abdul Karim TUDM, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Inspektor Jeneral Bahagian Inspektorat Tentera Darat, Mej Jen Hj Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid.

    Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & LKpl Syfiqrullah Mazlan

    situs slot gacor

    situs togel

    link slot

    situs slot gacor

    toto slot

  • Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati

    Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan merasmikan Majlis Penutup Tilawah Al-Quran Peringkat TD dan Pertandingan Nasyid Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat bertempat di Dewan Serbaguna Kem Terendak pada 17 Jul 2025.

    Majlis dimulakan dengan gimik perasmian keputusan Tilawah Al-Quran TD dan Pertandingan Nasyid BAKAT Darat, diikuti pengumuman keputusan pertandingan oleh Ketua Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD), Brig Jen Mohd Jihadi Hj Ahmad selaku Pengerusi Jemaah Hakim.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderahati kepada para pemenang yang disempurnakan oleh Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri To’ Puan Seri Hjh Hartiah Hamzah bagi kategori Qariah dan Nasyid BAKAT Darat.

    Johan bagi kategori Qariah Lain-Lain Pangkat (LLP) dimenangi oleh PW I (FoS) Marfuah Md Ali dari Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) manakala naib johan disandang oleh Kpl Azmazura Ibrahim dari Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) dan tempat ketiga disandang oleh Pbt Intan Nurliyana Ariffin dari Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD).

    Johan bagi kategori Qariah BAKAT pula dirangkul oleh Puan Nurul Syafiqah Mat Isa dari PMTTD manakala naib johan disandang oleh Puan Norsalsabila Mohamed Salleh dari PMBTD dan tempat ketiga dimenangi oleh Puan Zulaiha Abu Zairi dari 10 Briged (Para) (10 Bgd (Para)).

    Bagi kategori Qariah Saudara Muslim, Puan Siti Sumayyah Mit Anchat dari PLDTD diumumkan sebagai johan manakala naib johan disandang oleh Puan Nur Qaseh Kamikus Abdullah dari 10 Bgd (Para) dan tempat ketiga jatuh kepada Puan Nurul Izzati Atiqah Abdullah dari PMTTD.

    Selesai kategori qariah, PTD menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kategori Qari Pegawai yang mana johan dimenangi oleh Mej Ahmad Faizal Abdul Manaf dari PMBTD manakala naib johan disandang oleh Lt Khairul Anuar Mohammad Pisol dari 10 Bgd (Para) dan tempat ketiga diraih oleh Lt Mohamad Imran Mohamad Rusni dari 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK).

    Dalam kategori Qari LLP, johan dirangkul oleh PW II Muhammad Riduan Mohd Yusof dari PMBTD manakala naib johan disandang oleh Kpl Mohamad Hafizul Azam Harun dari PMTTD dan tempat ketiga disandang oleh Kpl Muhammad Harith Hishamudin dari 10 Bgd (Para).

    Seterusnya, johan kategori Qari Saudara Muslim disandang oleh Bdr Roland Rikit dari PMBTD manakala naib johan dimenangi oleh Pmd Aimang Mikail Ngumbang dari Pemerintahan Logistik Tentera Darat dan tempat ketiga disandang oleh SSjn Bidin Tazjudin Abdullah dari PMTTD.

    Keputusan penuh menyaksikan PW II Muhammad Riduan Mohd Yusof dari PMBTD dinobatkan sebagai Johan Qari Keseluruhan manakala Puan Nurul Syafiqah Mat Isa dari PMTTD merangkul Johan Qariah Keseluruhan dan PMBTD  telah diumumkan sebagai Juara Keseluruhan Majlis Tilawah Al-Quran TD bagi tahun 2025.

    PTD dalam ucapannya menegaskan bahawa setiap detik yang dilalui dalam majlis ini adalah lambang kecintaan kita terhadap kitab suci Al-Quran yang menjadi sumber petunjuk, penyuluh kehidupan dan rahmat kepada seluruh umat.

    “Tilawah Al-Quran bukan hanya acara tahunan yang bersifat ritual semata-mata tetapi ianya adalah manifestasi kepada kesungguhan kita dalam menyemarakkan budaya membaca, memahami dan menghayati.

    “Dengan penghayatan sebenar terhadap majlis-majlis keagamaan ini seluruh warga TD akan terus terpelihara, diberkati dan diberi kekuatan untuk terus berbakti kepada negara tercinta,” ujar PTD.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, Panglima 21 GGK, Mej Jen Ahmad Suhaimi Mat Wajab dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Anwar Soib.

    Gambar: Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan

  • Majlis Ibadah Korban Peringkat TD Tahun 2025/1446H

    Majlis Ibadah Korban Peringkat TD Tahun 2025/1446H

    KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim bersama isteri, Datin Haslinda Mohd Ali menyempurnakan Majlis Ibadah Korban Peringkat Tentera Darat (TD) Tahun 2025/1446H di Padang Kawad Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (PP RAMD) pada 10 Jun 2025.

    Majlis dimulakan dengan simbolik penyerahan pisau sembelihan oleh TPTD kepada Ketua Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD), Brig Jen Hj Mohd Jihadi Hj Ahmad sebelum diteruskan dengan penyembelihan sebanyak lapan ekor lembu.

    Ibadah korban ini dilakukan bagi memperkasakan semangat pengorbanan dalam kalangan anggota selain memperingati sejarah Nabi Ibrahim A.S yang mengorbankan anaknya demi mentaati perintah Allah.

    TPTD kemudian turut mengagihkan daging korban kepada warga TD, golongan asnaf, wakil rumah anak yatim dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

    Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan, Pbt Raja Khairul Husaini Raja Roslan & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusof

  • Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Peringkat TD Tahun 2025

    Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Peringkat TD Tahun 2025

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Jemaah Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Wira Hartiah Hamzah telah menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) Tahun 2025 anjuran Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD) bertempat di Surau An-Nur Kem Segenting pada 18 Mac 2025.

    Objektif acara ini adalah untuk menggalakkan warga TD yang beragama islam supaya dapat membudayakan bacaan al-quran dengan betul selain memartabatkan al-quran sebagai lambang kesucian umat islam.

    Terdahulu, sejurus ketibaan PTD acara dimulakan dengan tazkirah ringkas serta bacaan ayat-ayat suci al-quran yang dipimpin oleh Pengarah Agama MK TD, Kol Mohd Jihadi Hj Ahmad disusuli dengan menyampaikan cenderahati program Tadarus al-quran kepada 70 peserta yang mewakili setiap formasi dan 10 ahli BAKAT yang diiringi oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar.

    Selain itu, PTD dan isteri turut berkesempatan hadir pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat TD, solat magrib dan isyak serta solat sunat tarawih berjemaah bersama warga TD.

    Dalam majlis yang sama, PTD turut menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan sumbangan AFFIN Bank, Geran Kerohanian sumbangan Tabung Zakat ATM dan Koperasi Tentera kepada Formasi TD.

    Turut diadakan adalah penyampaian sumbangan kebajikan kepada 15 warga TD yang menghidap penyakit kronik, 28 golongan asnaf, sumbangan kepada 10 saudara baharu dan tujuh sumbangan kepada Ahli BAKAT.

    Sumbangan ini diberikan sebagai tanda keprihatinan dalam membantu meringankan beban para penerima bagi menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan serta persiapan menyambut bulan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato Zaidan Atan.

    Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul dan LKpl Muhammad Nor Akram Halib

  • Perbarisan Penghargaan Mej Jen Hj Abdul Jalil Hj Ramli

    Perbarisan Penghargaan Mej Jen Hj Abdul Jalil Hj Ramli

    KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim mengucapkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Mej Jen Hj Abdul Jalil Hj Ramli atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi sepanjang 42 tahun menabur bakti kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam Kor Perkhidmatan Diraja (KPD).

    “Beliau telah mencurahkan keringat dan bakti serta mengorbankan seluruh jiwa raganya kepada perkhidmatan yang disayangi ini.

    “Ketokohan dan keterampilan beliau yang cemerlang ini wajar dicontohi oleh seluruh warga KPD untuk terus kekal cemerlang sebagai sebuah ketumbukan yang unggul dan kredibel,” ujar TPTD ketika berucap dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Hj Abdul Jalil Hj Ramli di Padang Kawad Rejimen 515 Askar Wataniah pada 29 Nov 2024.

    Perbarisan berkonsepkan statik ini terdiri daripada empat detasmen melibatkan seramai 15 pegawai dan 161 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KPD yang diketuai oleh Lt Kol Mohd Nazri Daud.

    Menelusuri latar belakang Mej Jen Hj Abdul Jalil Hj Ramli, beliau telah menyertai ATM pada 29 Jul 1982 dan ditauliahkan pangkat Lt M pada tanggal 29 Jul 1984 dan seterusnya memulakan kerjaya sebagai seorang Pegawai Muda di 6 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja.

    Antara jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau adalah sebagai Pegawai Memerintah 74 Batalion KPD, Pegawai Staf 1 Kor Perkhidmatan Markas Divisyen Ketiga Infantri (MK 3 Div), Pegawai Staf 1 Perkhidmatan Material Cawangan Logistik MK TD, Ketua Bahagian Pengurusan Wisma Perwira ATM, Kol Senggaraan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) dan jawatan terakhir beliau adalah sebagai Timbalan Panglima Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat (MPLTD).

    Acara kemudian diteruskan dengan sesi jamuan makan dan penyampaian cendera kenangan sebelum diakhiri dengan acara Street Lining sebagai simbolik penghargaan kepada Mej Jen Hj Abdul Jalil Hj Ramli.

    Turut hadir, Asisten Ketua Staf Logistik Pertahanan merangkap Pengerusi KPD, Mej Jen Dato’ Abdul Aziz Abu Hassan, Pengarah KPD, Brig Jen Muzafar Shah Mosam Shah dan Asisten Ketua Staf Logistik Tentera Darat, Brig Jen Abd Hafiz Ahmad.

    Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir & Pbt Nanatasha Ngadan

  • Program Solat Subuh Perdana Peringkat Tentera Darat

    Program Solat Subuh Perdana Peringkat Tentera Darat

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama-sama warga Tentera Darat (TD) sekitar Lembah Klang telah menghadiri Solat Subuh Perdana Anjuran Markas Tentera Darat (MK TD) bertempat di Masjid Khalid Al-Walid pada 11 Mac 2024.

    Program ini bertujuan meningkatkan semangat di kalangan warga TD yang beragama Islam dalam menyambut bulan Ramadan dimana ianya juga turut diadakan di semua peringkat briged dan formasi.

    Program kerohanian sebegini sejajar dengan Perintah Ulung PTD Ke-30 yang Pertama iaitu Pembangunan Modal Insan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Norsham Md Tap.

    #SubuhMacamJumaat

    Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi & LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas Solat Jumaat Sempena Hari ATM Ke-90

    Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas Solat Jumaat Sempena Hari ATM Ke-90

    KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mencemar duli ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Khutbah Khas Solat Jumaat Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-90 di Masjid Khalid Al-Walid pada 29 Sep 2023.

    Majlis dimulakan dengan ketibaan SPB YDP Agong disambut oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman.

    Acara diteruskan dengan bacaan yasin, tahlil dan khutbah khas yang dipimpin oleh Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Dato’ Hj Mohd Rashidi Bujai sebelum diakhiri dengan solat jumaat.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Ketua Staf ATM, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan pegawai-pegawai kanan ATM.

  • Majlis Khatam Al-Quran Peringkat TD Tahun 2023

    Majlis Khatam Al-Quran Peringkat TD Tahun 2023

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Datin Seri Ramlah Dawi menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Tentera Darat (TD) Tahun 2023 anjuran 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) di Masjid Iskandar pada 13 Apr 2023.

    Majlis diteruskan dengan PTD menyampaikan cenderahati program Tadarus Al-Quran kepada 70 peserta daripada tujuh formasi yang diiringi oleh Panglima 21 GGK, Mej Jen Nubli Hj Hashim dan diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa serta solat maghrib berjemaah.

    Turut hadir, pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • MK PLDTD Johan Keseluruhan Tilawah Al-Quran Peringkat TD

    MK PLDTD Johan Keseluruhan Tilawah Al-Quran Peringkat TD

    KUALA LUMPUR: Mej Muhammad Mushawwir Che Azuha daripada Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD), peserta tilawah bagi kategori Pegawai dengan catitan 96 markah dinobatkan sebagai johan keseluruhan Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Tentera Darat Tahun 2022 yang diadakan di Kem Wardieburn pada 19 Okt 2022.

    Naib johan pula disandang oleh Mej Hjh Salha Shakila Hj Alang Hasim dari Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) manakala tempat ketiga dirangkul oleh Kapt Zulkiflee Maxtar dari Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD).

    Keputusan Pertandingan Tilawah Al-Quran ini telah diumumkan oleh Ketua Jemaah Hakim, Kol Hasbullah Salleh sebelum pemenang keseluruhan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

    Bagi kategori Qari dimenangi oleh Sjn Muhammad Riduan Muhammad Yusof dari MK PLDTD dan diikuti naib johan yang dimenangi oleh LKpl Mohamad Hafizul Azam Harrun dari MK PMTTD manakala LKpl Yusof Mat Daud dari MK PMBTD berada di tempat ketiga.

    Seterusnya, johan bagi kategori Qariah jatuh kepada peserta daripada MK PMBTD iaitu Puan Adibah Hajar Limat, diikuti Puan Hasmina Shuib daripada MK PLDTD yang dinobatkan naib johan dan tempat ketiga dimenangi oleh peserta daripada MK PMBTD iaitu Puan Nooraini Ropli.

    Keputusan johan bagi kategori Qari Saudara Muslim pula dimenangi PW II Muhammad Syawal Angkapok dari MK PMBTD, diikuti naib johan yang dirangkul oleh Kpl Muhd Syarul Aizad Abdullah dari MK PMTTD dan tempat ketiga jatuh kepada PW I Muhammad Rasyid Richard Abdullah dari MK PLDTD.

    Johan bagi kategori Qariah Saudara Muslim dimenangi oleh Puan Siti Sumayyah Anchat dari 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) manakala naib johan dirangkul oleh SSjn Puteri Zulaikha Emin peserta daripada MK PLDTD dan tempat ketiga jatuh kepada Puan Nurul Izzati Atiqah Abdullah dari MK PMTTD.

    “Adalah diingatkan bahawa warga Tentera Darat hendaklah meningkatkan penghayatan syiar Islam dan menjadikan Al-Quran sebagai panduan dan pedoman dalam kehidupan.

    “Sesuai dengan tema majlis tilawah pada tahun ini iaitu ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ yang membawa maksud sentiasa meletakkan Allah dalam segala perkara serta menjadi asas dalam mengekalkan iman dan takwa.

    “Ini menunjukkan bahawa warga TD hendaklah berusaha menjadi umat yang cemerlang dengan menjadikan profesion tentera ini sebagai wasilah untuk berjaya di dunia dan akhirat,” ujar Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato Seri Zamrose Mohd Zain.

    Selain diperdengarkan dengan alunan suara daripada johan keseluruhan tilawah, hadirin turut disajikan dengan Persembahan Pentas Irama (PENTARAMA) Sel Agama MK TD.

    Majlis kemudian berakhir dengan penyampaian cenderahati kepada PTD dan jamuan makan.

    Turut hadir, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi bersama isteri, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama isteri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad bersama isteri, Panglima 21 GGK, Mej Jen Nubli Hj Hashim bersama isteri dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi

  • TD Komited Kebajikan Warga 4 Bgd Di Temerloh

    TD Komited Kebajikan Warga 4 Bgd Di Temerloh

    PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain meluangkan masa bertemu dan melakukan lawatan kebajikan ke atas warga Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd (Mek)) bertempat di Dragon Park, Rejimen Ketujuh Artileri Diraja (7 RAD), Temerloh pada 15 Ogos 2022.

    PTD memulakan lawatan dengan menyantuni SSjn Noorain Othman dari Markas Stesen Staf Temerloh (MSST) yang mengalami masalah Darah Kuning Rendah dan kerap pengsan sejak tahun 2005.

    Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) tersebut turut mengalami masalah Idiopathic Thrombocytopenic Purpura pada tahun 2011 yang mengakibatkan sakit sendi sewaktu mengandung anak kedua sebelum dirujuk ke Pakar Perubatan Hospital Kem Terendak.

    PTTK kemudian disahkan menghidap masalah Systemic Lupus Erythematous pada tahun 2019 dan menjalani rawatan susulan di Klinik Pakar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

    PTD meneruskan lawatan ke atas anak-anak kepada Sjn Tan Yahya Tuan Kechik iaitu adik Tuan Muhammad Ilman yang menghidap Asma Kronik dan adik Tuan Muhammad Ahnaf yang menghidap penyakit Hipospadia iaitu saluran kencing tidak normal.

    Kedua-dua anak PTTK kini sedang menjalani rawatan berkala di Klinik Pakar Kanak-Kanak dan Pakar Surgeri HOSHAS.

    PTD mengakhiri lawatan dengan menyampaikan bantuan kepada veteran TD iaitu Kpl (B) Ramli Salleh yang kehilangan kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar dalam Op BINA 2 pada tahun 1977.

    Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian sumbangan barangan elektrik berupa peti sejuk dan mesin basuh kepada pasukan bawah naungan 4 Bgd (Mek) yang terdiri daripada Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD (Mek)), 7 RAD, Kompeni Keempat Ordnan Diraja (Mekanize) (4 KOD (Mek)), Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanize) (11 Skn RAJD (Mek)) dan MSST sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di mana perkakasan berkenaan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara setiap pasukan.

    Program ini bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menumpukan peningkatan kualiti hidup warga TD.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf (AKS) Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman, Panglima 4 Bgd, Brig Jen Dato’ Zahari Mohd Ariffin dan Komander Artileri Divisyen (KAD) 3 Div, Brig Jen Norazman Ismail.

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly