Category: Semasa

  • Kampung Angkat MADANI Perkukuh Ikatan TD dan Masyarakat

    Kampung Angkat MADANI Perkukuh Ikatan TD dan Masyarakat

    JOHOR: Tentera Darat (TD) terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat melalui pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di daerah Muar menerusi pelbagai projek penambahbaikan kemudahan komuniti.

    Projek yang dilaksanakan termasuk kerja penyenggaraan dan menceriakan Masjid Al-Hakim di Kampung Parit Keroma serta naik taraf balai raya dan kemudahan infrastruktur di Kampung Parit Jamil bagi manfaat penduduk setempat.

    Kerja-kerja senggaraan dan pembinaan ini telah siap sepenuhnya dilaksanakan oleh pasukan 8 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (8 Skn RAJD) dan Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD).

    Dalam program tersebut, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman telah merasmikan kedua-dua projek dan diikuti dengan penyampaian sumbangan Bakul Rahmah kepada 10 penerima yang layak.

    PTD menegaskan bahawa penglibatan TD dalam pembangunan masyarakat membuktikan komitmen berterusan pasukan untuk sentiasa bersama rakyat selari dengan aspirasi kerajaan.

    Inisiatif ini mencerminkan komitmen TD dalam menyokong pembangunan sosial setempat selain mempererat semangat patriotik dan perpaduan dalam masyarakat.

    Gambar: Kpl Kenny Roy Jellis, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Meor Danish Aniq Mohd Faizul

  • Pemerkasaan TD Menerusi Pengukuhan Teras Keupayaan – Perintah Ulung PTD Ke-31

    Pemerkasaan TD Menerusi Pengukuhan Teras Keupayaan – Perintah Ulung PTD Ke-31

    MELAKA: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31, Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menjelaskan dengan lebih terperinci tentang amanat dan hala tuju Tentera Darat (TD) semasa menyampaikan Perintah Ulung beliau di Dataran Parawood, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (Para) pada 4 Feb 2026.

    Perkembangan pesat teknologi dunia telah mempengaruhi kaedah peperangan masa kini, justeru itu TD tidak boleh ketinggalan jauh ke belakang dan perlu segera melangkah untuk menghadapi konsep peperangan masa hadapan yang berteraskan teknologi moden.

    PTD menegaskan bahawa asas perancangan dan pemerkasaan keupayaan TD perlu diperkukuhkan secara tersusun berpandukan dokumen strategik pertahanan negara seperti Kertas Putih Pertahanan (KPP), Strategi Keselamatan Negara (SKN), Angkatan Masa Hadapan (AMH) serta Strategi Domain Daratan (SD²) sebagai teras pertimbangan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan.

    Dalam amanatnya, beliau turut menyentuh cabaran dalaman yang sedang dihadapi organisasi ketika ini.

    “Tentera Darat sedang dilanda badai gelora sehingga berlakunya defisit kepercayaan kepada kita semua dan saban hari kita dikecam dan dicemuh bagaikan tiada penghujungnya.

    “Segala keringat, jasa dan pengorbanan serta darah merah yang tumpah mengalir dan nyawa-nyawa terkorban sehingga isteri menjadi balu, anak-anak kehilangan bapa tersayang dalam mempertahankan kedaulatan bumi tidak lagi menjadi sanjungan dan tidak mendapat pujian.

    “Inilah yang dikatakan akibat nila setitik, rosak susu sebelanga, akibat kecurangan sekumpulan sejarah taat setia dan gagah setia puluhan tahun menjadi hitam.

    “Defisit kepercayaan masyarakat adalah cabaran dalaman terbesar yang perlu kita semua hadapi.

    “Tepatlah pada masanya untuk kita melaraskan kembali arah tuju organisasi ini agar tidak terus terpesong dalam kecelaruan yang mengaburi kita semua,” tegasnya.

    Tambah PTD lagi, beliau berkeyakinan bahawa bersama-samanya masih ramai yang terus taat setia, jujur, amanah dan masih ramai yang rela berkorban apa sahaja demi tanah air tercinta ini.

    Beliau menggariskan dua prinsip yang wajib dipegang sebagai kompas penentu arah sebagai panduan dalam setiap keputusan dan ukuran dalam setiap tindakan.

    Prinsip pertama adalah Identiti Kita Sebagai Warga TD dan prinsip yang kedua merupakan Etos Kepahlawan dan Ikrar Kesatria.

    Terdahulu, PTD menerima tabik hormat dalam perbarisan tempur melibatkan seramai 240 pegawai dan 2,160 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah 18 RAMD (Para), Lt Kol Mohd Ashafiq Abdul Aziz yang merangkumi kekuatan daripada 10 Bgd (Para), 21 GGK serta 3 Div sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan dan semangat kebersamaan warga TD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mej Jen Dato’ Ahmad Shuhaimi Mat Wajab dan Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Datuk Khairul Anwar Soib.

    Gambar: Kpl Kenny Roy Jellis, Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Meor Danish Aniq

  • Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman Terajui Kepimpinan ATM

    Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman Terajui Kepimpinan ATM

    KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman dinaikkan pangkat Jen serta menjawat jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-24 berkuatkuasa pada 1 Feb 2026.

    Pelantikan PAT Ke-24 adalah signifikan buat ATM pada ketika ini, di mana institusi pertahanan negara berhadapan cabaran besar untuk memperkukuh semula keyakinan rakyat serta memelihara kredibiliti organisasi.

    Dalam landskap keselamatan semasa yang semakin kompleks, kepimpinan tertinggi ATM bukan sahaja dituntut berwibawa dari sudut operasi, malah berperanan sebagai pemacu nilai dan prinsip profesionalisme ketenteraan.

    Peranan ini menjadi lebih kritikal apabila ATM kini berada dalam fasa penilaian dan pembaharuan institusi, khususnya dalam memperkukuh aspek tatakelola, akauntabiliti dan integriti kepimpinan.

    Justeru, pelantikan baharu ini membawa mandat penting untuk menetapkan hala tuju yang jelas, berteraskan ketelusan, disiplin serta pematuhan kepada nilai-nilai teras perkhidmatan ketenteraan.

    Terdahulu, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan acara pemakaian pangkat Jen kepada Lt Jen Datuk Hj Malek Sulaiman dalam Majlis Pelantikan PAT Ke-24 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan Malaysia pada 3 Feb 2026.

    Sebagai PAT Ke-24, kepimpinan yang ditampilkan bukan sekadar berfungsi melalui struktur perintah, tetapi turut bertunjangkan autoriti moral yang mampu menyatukan seluruh warga ATM.

    Pendekatan kepimpinan melalui teladan, ketegasan terhadap salah laku, serta sokongan terhadap sistem semak dan imbang dilihat sebagai asas penting dalam memulihkan kekuatan dalaman organisasi.

    Pelantikan ini juga dilihat sebagai peluang strategik untuk melaksanakan penetapan semula institusi (institutional reset) yang menyeluruh, meliputi budaya kerja, sistem pengurusan dan amalan kepimpinan.

    Tumpuan terhadap pembinaan semula kepercayaan dalaman dan luaran diyakini mampu memperkukuh kesiapsiagaan ATM sebagai sebuah pasukan pertahanan yang profesional, berintegriti dan dihormati.

    Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman merupakan lulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King’s College London, Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM memulakan tugas sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom pada 1985 serta telah ditauliahkan pada 11 Dis 1987 dengan pangkat Lt M.

    Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, PAT Ke-24 telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang wibawa dimana beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf serta jawatan terakhir beliau ialah PMB TD.

    Berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki, pelantikan ini diyakini akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, di samping memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.

    Pelantikan PAT Ke-24 ini membawa mesej jelas bahawa ATM kekal komited untuk terus memperkukuh peranan sebagai institusi pertahanan negara yang berteraskan integriti, profesionalisme dan tanggungjawab kepada rakyat.

    Pelantikan baharu ini diharap dapat memacu ATM ke arah masa depan yang lebih kukuh, diyakini dan berwibawa di peringkat nasional serta antarabangsa.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Tuan Hj Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM dan Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri.

    Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Meor Danish Aniq Mohd Faizul

  • Dato’ Khairul Azmizal Naik Pangkat Lt Jen Sebagai PMB TD

    Dato’ Khairul Azmizal Naik Pangkat Lt Jen Sebagai PMB TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD) yang berlangsung di Ruang Tamu Pejabat PTD pada 3 Feb 2026.

    Majlis dimulakan dengan upacara pemakaian pangkat ke atas Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal yang dinaikkan pangkat ke Lt Jen serta dilantik menjawat jawatan sebagai PMB TD yang baharu.

    Terdahulu, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal berkhidmat sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pucuk pimpinan Tentera Darat atas kepercayaan yang diberikan dan bertekad untuk memberikan perkhidmatan terbaik demi kecemerlangan Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat.

    Majlis diteruskan dengan Acara Serah Terima Tugas PMB TD oleh Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman kepada Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal menerusi acara menandatangani Nota Serah Terima Tugas dan Penyerahan Tongkat Kuasa disaksikan oleh PTD. Acara ini sekali gus menjadikan Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal sabagai PMB TD Ke-26.

    Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman akan bertukar keluar ke perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia bagi mengisi jawatan sebagai Panglima Angkatan Tentera.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.

  • Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Rasmi Mulakan Tugas TPTD

    Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Rasmi Mulakan Tugas TPTD

    KUALA LUMPUR: Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad yang dilantik sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Ke-28 telah memulakan tugas secara rasmi sebagai TPTD baharu di Wisma Pertahanan pada 30 Jan 2026.

    Beliau telah mengambil alih tugas daripada mantan TPTD Ke-27, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dalam upacara Serah Terima Tugas yang berlangsung di Wisma Perwira TD pada 28 Jan 2026 dengan disaksikan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman.

    Terdahulu, ketibaan TPTD disambut oleh Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar sebelum dimulakan dengan sesi perkenalan melibatkan Ketua Bahagian dan Cawangan serta staf pejabat TPTD.

    Acara diteruskan dengan istiadat simbolik meletakkan bendera dan gambar rasmi TPTD sebagai tanda beliau secara rasmi memegang jawatan tersebut.

    TPTD kemudiannya masuk ke pejabat beliau buat kali pertama secara rasmi sebelum diteruskan dengan sesi bergambar.

    Sejurus selesai acara, TPTD turut mengadakan kunjungan hormat kepada PTD bersempena memulakan tugasnya secara rasmi.

    Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Projek Jiwa MADANI Erat Hubungan ATM dan Komuniti Cheng

    Projek Jiwa MADANI Erat Hubungan ATM dan Komuniti Cheng

    MELAKA: Kementerian Pertahanan meneruskan usaha memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat melalui pelaksanaan Projek Jiwa MADANI (PJM) di Masjid An-Najwan, Cheng pada 27 Jan 2026.

    Antara pengisian utama PJM kali ini ialah kerja baik pulih dan senggaraan pagar Tanah Perkuburan Islam Masjid An-Najwan yang dilaksanakan hasil kerjasama ATM bersama pihak masjid.

    Inisiatif tersebut bukan sahaja meningkatkan aspek keselamatan dan keceriaan kawasan perkuburan, malah mencerminkan keprihatinan ATM terhadap keperluan komuniti setempat.

    Program seterusnya diserikan dengan ucapan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Hj Rais Datuk Wira Yasin sebelum ucapan utama oleh MENHAN.

    Majlis turut menyaksikan penyerahan mock-up cek bernilai RM50,000 bagi projek senggaraan tersebut kepada Pengerusi Masjid An-Najwan sebagai simbolik pelaksanaan PJM di kawasan berkenaan.

    Selain itu, MENHAN turut menyampaikan sumbangan Bakul Rahmah kepada 15 penerima asnaf sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan.

    PJM ini membuktikan ATM bukan sahaja berperanan menjaga keselamatan negara, malah sentiasa komited membantu masyarakat melalui pendekatan kebersamaan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Azhan Hj Md Othman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.

    Gambar: Pbt Muhammad Adam Adham Che Abdullah & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran

  • Kem Terendak Terima Suntikan Inisiatif Kebajikan ATM

    Kem Terendak Terima Suntikan Inisiatif Kebajikan ATM

    MELAKA: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan Lawatan Kerja ke Kem Terendak bagi menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi aspek pendidikan, kesihatan, utiliti dan penjanaan ekonomi keluarga tentera.

    Ketibaan beliau di Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (MK 3 Div) disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman sebelum menghadiri taklimat pengoperasian yang memberi gambaran menyeluruh mengenai pengisian sepanjang lawatan tersebut.

    Antara fokus utama lawatan ialah pemerkasaan pendidikan digital apabila MENHAN menyampaikan 3,270 unit komputer riba sumbangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada 38 Sekolah Dalam Kem (SDK) ATM.

    Selain itu, beliau turut menyempurnakan peruntukan senggaraan SDK ATM berjumlah RM25 juta bagi tahun 2026 serta bantuan pendidikan kepada anak warga ATM termasuk pelajar OKU dan pesakit kronik.

    “Pendidikan anak-anak warga ATM akan terus diberi keutamaan sebagai pelaburan jangka panjang demi kesejahteraan warga pertahanan negara,” tegas MENHAN ketika berucap di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak pada 26 Jan 2026.

    Dalam aspek kesihatan pula, beliau diberi taklimat mengenai Projek Pembangunan Hospital ATM baharu bernilai RM320 juta yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Hospital berkapasiti 150 katil itu dijangka siap pada tahun 2029 dan bakal menyediakan perkhidmatan perubatan am, kepakaran serta pergigian kepada warga ATM, veteran dan komuniti setempat.

    MENHAN seterusnya meninjau tapak projek dan menyempurnakan upacara pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan.

    Lawatan tersebut turut merangkumi projek naik taraf sistem retikulasi air Kem Terendak yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan bekalan air yang lebih stabil, selamat dan mampan kepada seluruh warga kem.

    Lawatan diakhiri dengan tinjauan kebajikan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Jalan Kenanga, di mana beliau diberi taklimat berkaitan kerja senggaraan perumahan sebelum menyempurnakan simbolik penyerahan peruntukan senggaraan RKAT Negeri Melaka bagi tahun 2026 serta meninjau sendiri keadaan kediaman anggota.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.

    Gambar: Pbt Muhammad Adam Adham Che Abdullah & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran

  • 41 Tahun Lt Jen Pertama Berbangsa Cina Curah Bakti

    41 Tahun Lt Jen Pertama Berbangsa Cina Curah Bakti

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31, Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng atas dedikasi dan khidmat bakti beliau selama 41 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD).

    Menurut beliau, Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng merupakan seorang pemimpin yang berpegang teguh pada prinsip ‘respect is earned through service, not skin colour’, sekali gus membuktikan bahawa penghormatan diperolehnya adalah melalui pengorbanan dan khidmat yang ikhlas tanpa mengira latar belakang.

    “Beliau terus cekal memimpin anggota di barisan hadapan sebelum melonjak ke tampuk kepimpinan strategik negara, seterusnya meninggalkan satu legasi kepimpinan yang bukan sahaja dihormati di dalam negara malah mengharumkan nama TD dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

    “Kejayaan Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng yang dianugerahkan Penuntut Keseluruhan Terbaik dan Akademik Terbaik bagi beberapa kursus dalam dan luar negara menjadi bukti bahawa disiplin, dedikasi dan komitmen tinggi mampu melahirkan kecemerlangan yang luar biasa,” ujar PTD semasa Perbarisan Penghargaan Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng yang berlangsung di Padang Kawad 1 RRD pada 13 Jan 2026.

    Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat itu terdiri daripada empat detasmen melibatkan seramai 23 pegawai dan 256 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) RRD diketuai oleh Lt Kol Salrafeehasleizad Salih.

    Menelusuri latar belakang Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng, beliau telah ditauliahkan pada 12 Dis 1986 dengan menyandang pangkat Leftenan Muda dan seterusnya menempuh keseluruhan spektrum perkhidmatan ketenteraan termasuk penugasan di medan operasi semasa era Operasi Menentang Pengganas Komunis yang menuntut keberanian serta pengorbanan tertinggi.

    Berpegang pada falsafah ‘train for war, because in real battle there is no runner-up’, beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi pegawai berbangsa Cina pertama dinaikkan ke pangkat Lt Jen sekali gus mencerminkan komitmen terhadap kesiapsiagaan tempur dan profesionalisme.

    Majlis diteruskan dengan sesi jamuan makan serta penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan acara Street Lining sebagai simbolik penghargaan dan perpisahan kepada Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Azmurin Mat Khalip dan Pengerusi Rejimen Renjer Diraja, Brig Jen Shamsor Hj Jaafar.

    Gambar: LKpl Muhammad Syfiqrullah Mazlan, Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri

  • Majlis Kesyukuran Iringi Lantikan PTD Ke-31

    Majlis Kesyukuran Iringi Lantikan PTD Ke-31

    KUALA LUMPUR: Warga Tentera Darat (TD) sekitar Lembah Klang hadir mengimarahkan Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena pelantikan Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31, Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman yang diadakan di Masjid Muhammad Al-Fateh pada 8 Jan 2026 bagi memohon keberkatan agar kepimpinan baharu dapat melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.

    Majlis dimulakan dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat yang dipimpin oleh pegawai agama sebelum diteruskan dengan Solat Isyak berjemaah.

    Program ini menjadi wadah mengeratkan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan pegawai dan anggota.

    Penganjuran majlis ini turut mencerminkan penekanan TD terhadap nilai kerohanian, profesionalisme dan tadbir urus sebagai teras kepimpinan organisasi.

    Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri

  • Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman PTD Ke-31

    Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman PTD Ke-31

    KUALA LUMPUR: Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman yang dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31 telah memulakan tugas secara rasmi sebagai PTD baharu di Wisma Pertahanan pada 6 Jan 2026.

    Pelantikan tersebut selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) Ke-631 yang bersidang pada 19 Nov 2025 dan diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 1 Dis 2025.

    Terdahulu, Menteri Pertahanan, Dato‘ Seri Mohamed Khaled Nordin berbesar hati menyempurnakan acara pemakaian pangkat PTD Ke-31 kepada Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman yang dinaikkan pangkat dari Lt Jen ke Jen.

    Seterusnya, ketibaan PTD Ke-31 di perkarangan Wisma Pertahanan disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim bagi menerima Tabik Hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota LLP diketuai oleh Mej Khairul Fakhzan Zainol Abidin dan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

    Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman kemudiannya dibawa ke pejabat beliau untuk diperkenalkan kepada pegawai dan anggota LLP sebelum diakhiri dengan sesi menandatangani Nota Mula Tugas PTD.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.

    Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, LKpl Muhammad Syfiqrullah Mazlan & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri