Category: MK Medan Barat

  • 41 Tahun Lt Jen Pertama Berbangsa Cina Curah Bakti

    41 Tahun Lt Jen Pertama Berbangsa Cina Curah Bakti

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-31, Jen Dato’ Azhan Hj Md Othman menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng atas dedikasi dan khidmat bakti beliau selama 41 tahun bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam Rejimen Renjer Diraja (RRD).

    Menurut beliau, Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng merupakan seorang pemimpin yang berpegang teguh pada prinsip ‘respect is earned through service, not skin colour’, sekali gus membuktikan bahawa penghormatan diperolehnya adalah melalui pengorbanan dan khidmat yang ikhlas tanpa mengira latar belakang.

    “Beliau terus cekal memimpin anggota di barisan hadapan sebelum melonjak ke tampuk kepimpinan strategik negara, seterusnya meninggalkan satu legasi kepimpinan yang bukan sahaja dihormati di dalam negara malah mengharumkan nama TD dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

    “Kejayaan Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng yang dianugerahkan Penuntut Keseluruhan Terbaik dan Akademik Terbaik bagi beberapa kursus dalam dan luar negara menjadi bukti bahawa disiplin, dedikasi dan komitmen tinggi mampu melahirkan kecemerlangan yang luar biasa,” ujar PTD semasa Perbarisan Penghargaan Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng yang berlangsung di Padang Kawad 1 RRD pada 13 Jan 2026.

    Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat itu terdiri daripada empat detasmen melibatkan seramai 23 pegawai dan 256 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) RRD diketuai oleh Lt Kol Salrafeehasleizad Salih.

    Menelusuri latar belakang Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng, beliau telah ditauliahkan pada 12 Dis 1986 dengan menyandang pangkat Leftenan Muda dan seterusnya menempuh keseluruhan spektrum perkhidmatan ketenteraan termasuk penugasan di medan operasi semasa era Operasi Menentang Pengganas Komunis yang menuntut keberanian serta pengorbanan tertinggi.

    Berpegang pada falsafah ‘train for war, because in real battle there is no runner-up’, beliau turut mencipta sejarah apabila menjadi pegawai berbangsa Cina pertama dinaikkan ke pangkat Lt Jen sekali gus mencerminkan komitmen terhadap kesiapsiagaan tempur dan profesionalisme.

    Majlis diteruskan dengan sesi jamuan makan serta penyampaian cenderahati sebelum diakhiri dengan acara Street Lining sebagai simbolik penghargaan dan perpisahan kepada Lt Jen Datuk Johnny Lim Eng Seng.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Mohd Azmurin Mat Khalip dan Pengerusi Rejimen Renjer Diraja, Brig Jen Shamsor Hj Jaafar.

    Gambar: LKpl Muhammad Syfiqrullah Mazlan, Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri

  • Panah Jaguh 2023 Uji Kesiagaan GAPU

    Panah Jaguh 2023 Uji Kesiagaan GAPU

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan telah mengadakan lawatan ke Eksesais Panah Jaguh (EPJ) Tahun 2023 di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok pada 6 Okt 2023.

    Eks ini merupakan latihan tembakan tahunan Sistem Pertahanan Artileri Pertahanan Udara bagi menguji tahap kesiagaan pasukan Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) melibatkan elemen Tentera Darat seperti Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD), Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (12 RAMD (Mek)), Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (24 RAMD) dan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD) serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    Antara sistem persenjataan yang diuji adalah Meriam 35mm Oerlikon dan Misil Starstreak.

    Simulasi serangan udara ini merupakan tindakan bagi menghindar serangan udara musuh dan telah dipertontonkan dengan menggunakan pesawat kawalan jauh sebagai sasaran.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithnain (TLDM), Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin Kassim TUDM.

    Gambar: Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • 44 Tahun Pengabdian PAT Dalam ATM

    44 Tahun Pengabdian PAT Dalam ATM

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM mengucapkan terima kasih kepada warga Tentera Darat (TD) atas kejayaan perbarisan penghargaan yang diberikan kepadanya.

    “Kesegakan dan kekemasan perbarisan memperlihatkan semangat yang tinggi serta tahap disiplin yang amat membanggakan.

    “Saya amat menghargai segala usaha, masa dan komitmen yang telah diberikan dan sudah tentu ianya akan disimpan sebagai satu kenangan manis buat kami berdua,” jelas PAT.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera Ke-21 di Dataran Panglima Tentera Darat (PTD) pada 27 Ogos 2023.

    Tambah PAT lagi, beliau akan menyerahkan tampuk pemerintahan ATM kepada PTD, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman pada 6 Sep 2023.

    “Penyerahan tugas ini bakal merekodkan tempoh hampir 44 tahun pengabdian saya dalam ATM amnya dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khasnya.

    “Tempoh tiga tahun lapan bulan dan empat hari menjalankan tugas sebagai PAT merupakan pengalaman amat berharga dan pelbagai rintangan serta cabaran dapat diharungi dengan lancar berkat sokongan kerjasama segenap lapisan warga ATM,” katanya.

    Beliau percaya keutamaan dan tanggungjawab setiap PAT masih kekal dan tidak banyak berubah namun apa yang berubah adalah pengharapan serta cabaran dalam membentuk naratif baharu.

    “Kebijaksanaan kepimpinan TD yang ada pada hari ini akan dapat mendukung ATM memacu kejayaan, khususnya dalam merealisasikan reformasi Angkatan Masa Hadapan seperti mana yang telah dipersetujui bersama,” tegas PAT.

    Terdahulu, ketibaan PAT dan isteri, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hjh Tengku Muhaini Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah disambut oleh PTD dan isteri, Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi untuk menerima Tabik Hormat daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

    Perbarisan Perhargaan Tentera Darat Kepada PAT Ke-21 ini melibatkan dua segmen iaitu segmen gimik perbarisan dan segmen perbarisan tempur.

    Perbarisan tempur melibatkan 12 detasmen berkekuatan seramai 45 pegawai dan 1,130 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD), Lt Kol Mohd Shahrul Nizam Hamidon dan Terbang Lintas Hormat oleh dua buah Agusta A109 yang membawa bendera ATM dan bendera TD serta diiringi oleh tiga buah helikopter MD 530G diketuai oleh Mej Ramakrishnan Samugam.

    Perbarisan diserikan lagi dengan deklamasi sajak istimewa bertajuk ‘Gempur Wira Teruntuk Satria’ hasil nukilan PW I Marzelan Md Jusoh yang disampaikan oleh Mej Mohd Ramle Hj Mustafa Kamal dan Sjn Siti Nuraini Jasnim.

    Majlis kemudian diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan acara Street Lining di mana PAT dan isteri diarak dengan menaiki ACV 300 Adnan sebagai simbolik tanda penghargaan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

  • Tahlil Dan Doa Selamat Meraikan PTD Ke-29

    Tahlil Dan Doa Selamat Meraikan PTD Ke-29

     

    KUALA LUMPUR: Warga Tentera Darat (TD) di sekitar Lembah Klang menghadiri Majlis Tahlil Kesyukuran dan Doa Selamat sempena pelantikan Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bertempat di Wisma Perwira TD pada 22 Mac 2023.

    Majlis dimulakan dengan bacaan yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Pengarah Agama Markas Tentera Darat (MK TD), Kol Hasbullah Salleh sebelum diteruskan dengan solat sunat tarawih.

    Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat merangkap pemangku Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Perdana Menteri Santuni Warga Tentera Darat Zon Utara

    Perdana Menteri Santuni Warga Tentera Darat Zon Utara

    KEDAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengiringi Perdana Menteri (PM), Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob meluangkan masa meraikan anggota Tentera Darat (TD) sempena Majlis Jamuan Makan Malam Bersama Warga TD Zon Utara bertempat di Dewan Zainal SP, Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani pada 2 Nov 2022.

    Seramai 300 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berserta keluarga hadir memeriahkan majlis.

    PM dalam ucapannya menekankan kepentingan kerjasama dan semangat setiakawan antara warga tentera dalam segala aspek.

    “Keprihatinan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan anggota tentera amatlah menjadi keutamaan bagi menjamin kedaulatan negara terus terpelihara daripada sebarang ancaman”, ujar PM.

    Pelbagai inisiatif juga telah disalurkan kepada TD ketika beliau memegang tampuk kepimpinan Kementerian Pertahanan sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri.

    PM kemudian mengakhiri sesi lawatan dengan beramah mesra bersama warga TD yang hadir dan menyampaikan sumbangan berupa peralatan keperluan harian.

    Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Haji Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Mohd Akib Hj Yusof serta pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly

    #KesejahteraanWargaTD

  • Warga Tentera Darat Terus Diberi Perhatian

    Warga Tentera Darat Terus Diberi Perhatian

    KELANTAN: Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Muhammad Haffizudeain Jantan mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyantuni warga Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd), Kem Desa Pahlawan pada 1 Nov 2022.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Panglima 8 Bgd, Brig Jen Abu Hassan Assha’ari Kamis @ Shaffiee.

    Lawatan kemudian diteruskan ke Dewan Sri Pahlawan bagi sesi beramah mesra dan jamuan makan tengah hari sekaligus menyampaikan sumbangan kebajikan kepada warga 8 Bgd yang memerlukan, diikuti penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan dan Penyampaian Komputer Riba.

    Sumbangan kebajikan melibatkan seramai lima orang yang didahului oleh Kpl Afindi Che Ahmad dari Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) yang mengalami penyakit SLE with Lupus Nephritis Class V dan SLE with Multi Organ Involvement (Renal, Joint, Hematological).

    Kpl Mohamad Zuhadi Mat Jusoh dari Skuadron Semboyan Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 SSB) pula mengalami kecederaan patah tulang pinggul, patah lengan kanan, kecederaan otak dan kecederaan hati akibat daripada kemalangan jalan raya pada 19 Apr 2021 yang lalu.

    Sumbangan turut diberikan kepada tiga anak warga 8 Bgd, didahului adik Nur Qistina Airis, berusia lima tahun anak kepada Kpl Mohd Azhar Ahmad dari 16 RAMD yang menghidap kanser mata sebelah kanan (Right Eye Retinoblastoma) dan menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

    Manakala anak Kpl Muhammad Fadli Sulong dari 15 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Askar Wataniah (AW) iaitu Muhammad Irfan Firdauss Muhammad Fadli berusia sembilan tahun mengalami masalah kekurangan sel darah merah dan pencairan darah yang cepat (Beta Thalassemia Major).

    Penerima terakhir bagi sumbangan kebajikan merupakan anak perempuan PW II Muhamad Hakim Hood dari Bateri Charlie (C Bti) Rejimen Ke-52 Artileri Diraja (52 RAD) iaitu Nur Izz Zoffia Hayfa berusia tiga tahun mengalami masalah jantung terbalik (Dextrocardia Situs Ambigous) serta masalah hati (Billiary Atresia) yang membawa kepada pembedahan pemindahan hati.

    Sempena lawatan Menteri Kanan Pertahanan, beliau turut berkesempatan menyampaikan anugerah kepada lima anak warga 8 Bgd yang merekodkan pencapaian cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

    Usai penyampaian anugerah tersebut, beliau juga menyampaikan sumbangan komputer riba kepada tujuh orang anak warga 8 Bgd yang sedang melanjutkan pelajaran di IPTA.

    Turut hadir, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Tuan Mohamad Farizal Tuan Dir

    #KesejahteraanWargaTD

  • TD Komited Kebajikan Warga 4 Bgd Di Temerloh

    TD Komited Kebajikan Warga 4 Bgd Di Temerloh

    PAHANG: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain meluangkan masa bertemu dan melakukan lawatan kebajikan ke atas warga Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd (Mek)) bertempat di Dragon Park, Rejimen Ketujuh Artileri Diraja (7 RAD), Temerloh pada 15 Ogos 2022.

    PTD memulakan lawatan dengan menyantuni SSjn Noorain Othman dari Markas Stesen Staf Temerloh (MSST) yang mengalami masalah Darah Kuning Rendah dan kerap pengsan sejak tahun 2005.

    Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) tersebut turut mengalami masalah Idiopathic Thrombocytopenic Purpura pada tahun 2011 yang mengakibatkan sakit sendi sewaktu mengandung anak kedua sebelum dirujuk ke Pakar Perubatan Hospital Kem Terendak.

    PTTK kemudian disahkan menghidap masalah Systemic Lupus Erythematous pada tahun 2019 dan menjalani rawatan susulan di Klinik Pakar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

    PTD meneruskan lawatan ke atas anak-anak kepada Sjn Tan Yahya Tuan Kechik iaitu adik Tuan Muhammad Ilman yang menghidap Asma Kronik dan adik Tuan Muhammad Ahnaf yang menghidap penyakit Hipospadia iaitu saluran kencing tidak normal.

    Kedua-dua anak PTTK kini sedang menjalani rawatan berkala di Klinik Pakar Kanak-Kanak dan Pakar Surgeri HOSHAS.

    PTD mengakhiri lawatan dengan menyampaikan bantuan kepada veteran TD iaitu Kpl (B) Ramli Salleh yang kehilangan kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar dalam Op BINA 2 pada tahun 1977.

    Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian sumbangan barangan elektrik berupa peti sejuk dan mesin basuh kepada pasukan bawah naungan 4 Bgd (Mek) yang terdiri daripada Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD (Mek)), 7 RAD, Kompeni Keempat Ordnan Diraja (Mekanize) (4 KOD (Mek)), Skuadron Ke-11 Rejimen Askar Jurutera Diraja (Mekanize) (11 Skn RAJD (Mek)) dan MSST sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di mana perkakasan berkenaan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara setiap pasukan.

    Program ini bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menumpukan peningkatan kualiti hidup warga TD.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf (AKS) Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman, Panglima 4 Bgd, Brig Jen Dato’ Zahari Mohd Ariffin dan Komander Artileri Divisyen (KAD) 3 Div, Brig Jen Norazman Ismail.

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly

  • TPTD Rasmi Program Dinamik Insani Siri 1/22

    TPTD Rasmi Program Dinamik Insani Siri 1/22

    MELAKA: Seramai 40 peserta dan 15 fasilitator di bawah formasi Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) terlibat dalam Program Dinamik Insani (PDI) Siri 1/2022 yang dirasmikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman bertempat di Tanjung Bidara pada 24 Mei 2022.

    PDI ini merupakan salah satu program tumpuan Tentera Darat (TD) yang bertujuan untuk memupuk sikap tanggungjawab terhadap tugas dan cintakan keluarga di samping menerapkan nilai-nilai Islam berteraskan ‘amar makruf, nahi mungkar’.

    Dalam ucapan TPTD, beliau berharap agar program ini dapat memberikan impak yang besar kepada setiap anggota yang menyertainya dan membantu organisasi TD membentuk sebuah ketumbukan yang disegani bukan sahaja dari segi fizikal, malah merangkumi nilai-nilai murni kerohanian.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Datuk Hamzah Hj Ali kepada TPTD sebagai tanda penghargaan di atas kesudian menyempurnakan perasmian program.

    Pelaksanaan aktiviti seumpama ini mendukung Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dan seiring dengan tema Hari TD Ke-89 iaitu ‘Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’.

    Turut hadir, Pemangku Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Brig Jen Mohamad Suria Mohamad Saad.

    Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime

  • Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan Teraju PMBTD

    Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan Teraju PMBTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 20 Jan 2021.

    Majlis ini menyaksikan Mej Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dinaikkan pangkat ke Lt Jen dan menjawat jawatan Panglima PMBTD Ke-22.

    Acara diteruskan dengan Penganugerahan Pisau Tentera Darat kepada lapan pegawai kanan TD didahului PMB TD, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima 4 Div, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran dan Ketua Jurutera merangkap Pengerusi Kor RAJD, Mej Jen Dato Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzuan.

    Selain itu, turut menerima anugerah yang sama ialah Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Mej Jen Dato’ Hj Zawawi Hj Adam, Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU), Brig Jen Zainal Mohd Noor, Panglima Briged Artileri Roket, Brig Jen Zulmajdi Yunus dan Komander Jurutera PMBTD, Brig Jen Ir Abdul Hamid Mohd Isa.

    Acara diteruskan dengan upacara menandatangani Nota Serah Terima Tugas PMB TD di antara Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) yang juga merupakan Mantan Panglima PMB TD Ke-21, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman dengan PMB TD yang baharu.

    Dalam ucapan PMB TD, beliau menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan kepada beliau untuk meneraju PMBTD sebagai PMB TD Ke-22.

    Tambahnya lagi, beliau berkata 3P + 5T yang digariskan dalam Perintah Ulung PTD akan sentiasa dijadikan landasan dan panduan bagi warga PMBTD dalam merealisasikan hasrat mewujudkan pemerintahan medan barat yang Credible,Versatile dan Responsive.

    Turut hadir, Ketua Staf TD, Mej Jen Dato’ Subari Hj Tomo, Asisten Ketua Staf (AKS) OPLAT, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail, dan AKS Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • 91 Rej Bantuan RAJD Bina Jambatan Bailey

    91 Rej Bantuan RAJD Bina Jambatan Bailey

    PAHANG: Seramai dua pegawai dan 31 anggota Lain-Lain Pangkat dari pasukan 91 Rejimen Bantuan Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) membina jambatan Bailey Compact di Kampung Lechar bagi menghubungkan Perumahan Makmur Lechar Jaya, Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar, Pekan Ulu Dong dan Bandar Raub pada 7 Jan 2021.

    Jambatan yang sedia ada telah runtuh akibat hakisan tanah runtuh dan arus deras Sungai Dong pada 3 Jan yang lalu, justeru itu anggota 91 Rej Bantuan RAJD telah di atur gerakkan bagi memasang panel jambatan sementara (Bailey Bridge) bagi menggantikan jambatan Jalan Lenchar di Ulu Dong untuk memudahkan penduduk setempat.

    Tentera Darat (TD) telah mengatur gerakkan Jambatan Compact Bailey 200 daripada Kem Batu Kentomen pada 6 Jan yang lalu di mana Jambatan tersebut yang di pasang oleh 91 Rej Bantuan RAJD ini adalah merupakan peralatan yang sesuai dipasang samada sementara ataupun secara kekal khususnya menghubungkan jalan yang terputus.


    Gambar: Saifun Hakimi Zainon