Bersama PemimpinSemasa

68 Tahun RAJD Terus Komited Tabur Khidmat Bakti

KUALA LUMPUR: Ketua Jurutera merangkap Pengerusi Kor Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Mej Jen Dato’ Pahlawan Ir Hj Chapiti Hj Redzuan mengucapkan terima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) dan Panglima Tentera Darat (PTD) di atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan untuk RAJD menjayakan tugas dan tanggungjawab sama ada kepada tentera mahupun rakyat.

Beliau berkata, RAJD dengan kerjasama agensi awam telah bersama menyumbang khidmat bakti memperkemas pusat-pusat kuarantin melalui penglibatan OP PENAWAR selain membantu Sekatan Jalan Raya (SJR) dan proses nyahcemar bagi menangani penularan pandemik COVID-19.

“Selain itu, dalam OP MURNI, RAJD juga telah menghulurkan bantuan-bantuan kejuruteraan kepada penduduk yang menghadapi kesan bencana alam dengan kerjasama agensi pengurusan bencana negara (NADMA) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) seperti memasang jambatan sementara jenis Compact Bailey di tiga lokasi iaitu Raub, Maran dan Lenggong sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat serta meningkatkan hubungan kerjasama di antara tentera, agensi awam dan rakyat.

“Warga RAJD yang terlibat menguruskan projek-projek seperti pembangunan baharu dan menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) ke arah yang lebih selesa perlulah peka dengan kualiti dan keperluan semasa agar kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan tertinggi dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya kekal terpelihara,” jelas beliau.

Pengerusi RAJD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) RAJD Ke-68 di Padang Kawad Batu Kentonmen pada 22 Apr 2021.

Tambahnya lagi, usaha membantu menyediakan bekalan air bersih dan melaksanakan kerja-kerja pemasangan paip di kawasan-kawasan yang terjejas telah memberi manfaat kepada penduduk di beberapa kawasan yang terlibat dan secara tidak langsung juga telah menaikkan nama RAJD.

“Di samping itu, Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP) telah dianugerahkan Geoinovation Award oleh Environmental Systems Research Institute (ESRI) Malaysia setelah memainkan peranan penting dalam membangunkan aplikasi Operation Dashboard Geographic Information System (GIS) kepada ATM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Namun tanpa komitmen dan kesungguhan warga RAJD yang terlibat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi, sasaran anugerah pencapaian Accountability Index Monitoring System (AIMS) dan Pusat Tanggungjawab Terbaik 2020 Kementerian Pertahanan pastinya tidak dapat dicapai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata rancangan penubuhan secara ADHOC Markas RAJD  Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD), RAJD Div dan penubuhan nukleas dua buah skuadron RAJD Medan melengkapkan formasi di Div dan Bgd yang merupakan rancangan masa kini untuk memperkukuhkan penstrukturan pasukan bagi membolehkan RAJD beroperasi di dua wilayah seiring dengan pembangunan TD.

“Bagi rancangan perolehan pula, RAJD pastinya akan menambah lagi keupayaan dan kesiagaan dalam menjayakan tugas yang diberi apabila bakal memperoleh tambahan aset-aset baharu seperti Plant Transporter 30 ton, Wheel Loader Back Actor, Track Excavator (Med), Bridging Crane dan Logistic Support Bridge (LSB) yang dijangka diterima pada penghujung 2021 hingga penghujung 2022, jelas beliau.

Sebelum mengakhiri ucapan, Pengerusi RAJD menyeru agar semua peringkat warga RAJD sentiasa berusaha dan fokus untuk meningkatkan kesiapsiagaan serta kompetensi dalam pelaksanaan tugas seharian.

“Bagi merealisasikan aspek pengukuhan ini, tumpuan perlulah diberi kepada usaha meningkatkan kesiagaan, keselamatan di dalam menjayakan operasi, projek-projek dan latihan, tadbir urus, pengurusan serta rancangan logistik yang rapi.

“Setiap lapisan warga RAJD perlu sentiasa positif dan menghindarkan diri daripada budaya serta tingkahlaku yang negatif,” tambahnya.

Terdahulu, Pengerusi RAJD menerima tabik hormat dari kontijen perbarisan diketuai oleh Lt Kol Shahrizan Yahya dari BGSP.

Seramai 15 pegawai dan 137 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri daripada empat detasmen iaitu detasmen pertama dan kedua adalah dari 91 Rejimen Bantuan RAJD, detasmen ketiga adalah gabungan antara Jabatan Arah RAJD, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan dan Markas RAJD Pakar (Askar Wataniah).

Manakala, detasmen terakhir adalah gabungan Markas RAJD Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), BGSP dan Skuadron Ke-11 RAJD (Mekanize).

Turut hadir, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, Brig Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar, Pengarah BGSP, Brig Jen Surveyer Dr Mohd Zamri Mohamad Rabab dan Komander Jurutera Medan Barat, Brig Jen Ir Abdul Hamid Mohd Isa.

Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button