KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tentera Darat (TD) dan Penganugerahan Sayap Juruterbang bertempat di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 13 Ogos 2025.
Seramai 54 pegawai dinaikkan pangkat didahului oleh Brig Jen Rizuan Abu Bakar yang dinaikkan ke pangkat Mej Jen dan kekal menjawat jawatan Ketua Pengarah Tadbir, Markas Tentera Darat – Cawangan Sumber Manusia (MK TD – CSM).
Majlis turut menyaksikan pemakaian pangkat ke atas Brig Jen Ir. Ts. Dr. Hj Shahril Hj Ahmad yang turut dinaikkan pangkat ke Mej Jen dan kekal menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik, Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (MK PMBTD).
Selain itu, tiga pegawai dinaikkan pangkat dari Kol ke Brig Jen melibatkan Kol Khairuddin Zakaria, Kol Kaharudin Katan dan Kol Ahmad Kassim Daud, manakala Kol Datuk Hj Mohd Ajib Ismail dinaikkan pangkat Brig Jen (Sukarela).
Kenaikan pangkat ini turut melibatkan dua pegawai ke Kol dan seorang dilantik sebagai Kol (Kehormat), manakala enam pegawai dinaikkan pangkat Lt Kol diikuti seorang Lt Kol (Senarai Tugas Ikhtisas) serta seorang Lt Kol (Sukarela).
Seterusnya, empat pegawai dilantik sebagai Mej (Kehormat), seorang Mej (Sukarela), tujuh Kapt (Sukarela), tiga Lt (Sukarela), tiga Lt M serta 19 anggota LLP dinaikkan pangkat Lt M (Sukarela).
Dalam majlis yang sama, lima pegawai menerima Penganugerahan Sayap Juruterbang TD iaitu Kapt Zamir Harith Zulkefli (RAMD), Kapt Aiman Farid Jaafar (KPTD), Kapt Muhamad Syahir Azmi (KAGAT), Kapt Ilham Zulkarnain Fauzey (RGK) dan Lt Harith Zakwan Rusman (RS).
PTD dalam ucapannya menzahirkan tahniah kepada semua penerima kenaikan pangkat dan Sayap Juruterbang TD serta mengingatkan bahawa kepimpinan bukan soal pangkat tetapi tanggungjawab.
Beliau menekankan kepentingan karakter dan sikap yang baik dalam membina kepercayaan di samping memberi peringatan terhadap peningkatan kes pelanggaran disiplin yang mencerminkan kelemahan kawalan dan budaya kerja.
PTD mengakhiri ucapan dengan menggesa para pemimpin agar tampil ke hadapan untuk membetulkan keadaan serta merakamkan penghargaan kepada para isteri anggota yang menjadi benteng kekuatan dan semangat keluarga.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri