KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, menjelaskan bahawa kejayaan anak-anak dalam bidang akademik adalah hasil daripada kesungguhan mereka sendiri, disertai dengan usaha dan sokongan ibu bapa serta bimbingan pemimpin yang sentiasa memberi dorongan. Beliau berkata demikian dalam majlis yang berlangsung di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 13 Ogos 2025.
Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan bahawa latihan yang diberikan akan memberi pendedahan kemahiran dan pengalaman sebenar di pasaran kerja, seterusnya membantu mereka bersedia untuk mendapatkan pekerjaan tetap.
Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ini diwujudkan sebagai satu bentuk dorongan dan pengiktirafan kepada anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antara program utama Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang bersifat ikonik termasuklah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan (AKP), Bantuan Pengajian Tinggi di universiti awam, dan bantuan pengajian di institusi luar negara.
Penganjuran majlis ini selaras dengan usaha Yayasan LTAT untuk memperkasakan anak-anak warga ATM melalui pelbagai program berimpak tinggi seperti Sentuhan Elit SPM, e-Perkasa SPM, STEM, K²T, Simpanan Pendidikan MADANI serta Bantuan Pengajian Tinggi.
Majlis anjuran Yayasan LTAT ini mengiktiraf seramai 246 penerima, termasuk anak-anak anggota ATM dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan yang cemerlang dalam SPM serta berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam dan luar negara.
Majlis ini mencerminkan iltizam berterusan Kementerian Pertahanan dan Yayasan LTAT dalam memastikan anak-anak warga ATM mendapat asas pendidikan yang kukuh demi masa depan yang gemilang.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaafar; Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; serta Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Azizan Ariffin (TUDM).
Oleh: Pbt Nanatasha Ngadan
Gambar: Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan