KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada para penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang merupakan salah satu bentuk penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan anggota tentera khususnya semasa era darurat menentang komunis.
Majlis penganugerahan yang berlangsung di Dewan Tuanku Permaisuri Hajah Aminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) pada 30 Sep 2025 menyaksikan seramai 1,087 penerima dari negeri Kedah termasuk veteran, balu serta waris veteran menerima PJM dalam dua sesi berasingan iaitu 568 orang pada sebelah pagi dan 519 orang pada sebelah petang.
Menurut PTD, penganugerahan ini merupakan inisiatif Kerajaan Malaysia sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berkhidmat mempertahankan keamanan serta kedaulatan tanah air, khususnya ketika Darurat Kedua.
Pingat tersebut dianugerahkan kepada anggota ATM yang berkhidmat semasa darurat atau operasi menentang komunis, terlibat dalam misi berisiko tinggi di kawasan konflik, serta boleh diberikan secara anumerta kepada waris yang telah meninggal dunia.
“Pingat ini melambangkan keberanian, pengorbanan dan kesetiaan kepada negara serta menjadi simbol bahawa jasa para veteran sentiasa dihargai dan dikenang oleh seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau.
Penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara institusi ketenteraan dan komuniti veteran, malah membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Fazal bin Hj Abdul Rahman, Ketua Pengarah JHEV ATM, Mej Jen Dato’ Hj Semaon Hj Marjuki dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Norsham Md Tap.
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib