Tag: HUT KPTD

  • Citra Wira Merah Gambarkan Keterampilan KPTD

    Citra Wira Merah Gambarkan Keterampilan KPTD

    KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Brig Jen Dato’ Hj Mislan Anuar mahukan semua warga KPTD menghayati bait-bait yang terkandung dalam lirik lagu Citra Wira Merah yang merupakan lagu tema sempena sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) KPTD Ke-67.

    Citra Wira Merah ini bermaksud cerita Polis Tentera yang menggambarkan keterampilan anggota KPTD yang gagah dan penuh dedikasi serta integriti demi menunaikan amanah yang dipikul sebagai Polis Tentera.

    “Mesej yang ingin disampaikan melalui lagu ini adalah mendidik semua warga KPTD melaksanakan tugas dengan penuh komited selain membina kesatuan dan rasa bangga di atas tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan di kalangan warga KPTD.

    “Selain itu, ianya menzahirkan imej positif kepada warga TD dan masyarakat umumnya serta semua penugasan dilakukan dengan ikhlas yang mana dapat memberi gambaran sebenar tugas KPTD,” jelas Pengerusi KPTD.

    Beliau berkata demikian dalam ucapanya semasa sambutan HUT KPTD Ke-67 serta Pelancaran Lagu dan Muzik Citra Wira Merah bertempat di Dewan Tuanku Fauziah, Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT) pada 12 Nov 2020.

    Tambahnya lagi, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada anggota KPTD yang bertugas sebagai Frontliner OP PENAWAR yang telah terlibat sejak mula hingga Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan hingga ke hari ini.

    “Seramai 10 pegawai dan 224 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) KPTD telah bertugas sebagai Frontliner meliputi tugas Sekatan Jalan Raya (SJR), Rondaan Mobile Patrol Vihicle (MPV) Perintah Kawalan Diperketat (PKPD),” katanya.

    Sambutan HUT KPTD pada kali ini berbeza dari sebelumnya kerana berlandaskan norma baharu akibat penularan wabak pandemik COVID-19 dan pematuhi SOP sebagai mana yang telah di tetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Selain itu, beliau turut menegaskan kepada Pegawai Memerintah untuk memberi perhatian dalam menentukan anggota memenuhi keperluan untuk melayakkan anggota dinaikkan pangkat setelah enam tahun perkhidmatan.

    Beliau juga menggalakkan anggota LLP untuk melanjutkan pelajaran keperingkat Ijazah Sarjana Muda bagi membolehkan anggota ditauliahkan sebagai pegawai di bawah skim Pegawai Senarai Tugas Khas.

    Terdahulu dari itu, turut diadakan acara Interaksi Pengerusi KPTD bersama Pegawai Memerintah dengan cara atas talian melalui persidangan video.

    Turut hadir, Provos Marsyal Tentera Darat (TD), Brig Jen Azman@norazman Hj Selamat, Pengarah KPTD, Kol Muhammad Raffi Abdul Kadir, Timbalan Komandan Institusi Pegawai Kanan TD, Kol Inderjit Sigh Bachan Sigh dan Pegawai-pegawai Memerintah.

  • MMR HUT KPTD Erat Hubungan Silaturrahim

    KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Brig Jen Hj Mislan Anuar menyempurnakan Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Sempena Hari Ulang Tahun (HUT) KPTD Ke-64 serta meraikan pegawai yang tamat perkhidmatan dan akan menamatkan perkhidmatan di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia pada 22 Dis 2017.

    Majlis dimulakan dengan acara bergambar bersama pegawai-pegawai dining out seterusnya Pengerusi KPTD beredar ke Dewan Utama dan diakhiri dengan acara memotong kek HUT KPTD serta penyampaian cenderahati.

    Majlis yang penuh istiadat ini merupakan adat serta budaya rejimental yang diamalkan sejak sekian lama bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim yang telah terjalin di antara bekas-bekas Pengerusi KPTD bersama pegawai-pegawai walaupun mereka telah bersara.

    Turut hadir Pengarah KPTD, Kol Azman Hj Selamat, Ketua Cawangan Siasatan Jenayah, Kol Abd Wahab Geoh dan Pegawai Memerintah Wisma Perwira KPTD, Lt Kol Nozri Senawi.

    Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya

    [srizonfbalbum id=115]

  • 63 Tahun KPTD Teguh Bersama TD

    KUALA LUMPUR: Seramai 15 pegawai dan 179 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) diketuai Lt Kol Khairul Zaman Hj Bahari terlibat dalam Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KPTD ke-63 yang disempurnakan oleh Pengerusi KPTD, Brig Jen Dato’ Mohd Nasser Murad bertempat di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera Diraja (PULAPOT) pada 12 Nov 2016.

    Dalam ucapan Pengerusi KPTD, beliau memberi penekanan terhadap keadaan keselamatan dunia pada masa kini yang semakin mencabar dan ancaman telah berubah menjadi kompleks terutamanya melibatkan keganasan militan Daesh kerana ancaman ini semakin menular ke dalam negara serta berani merekrut rakyat tempatan untuk berjuang atas nama Islam dan syahid.

    “Saya menyeru kepada semua warga KPTD agar tidak terpengaruh dengan dakyah serta penipuan kumpulan ini dan jangan sesekali terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan kumpulan militan ini dalam apa jua bentuk pun, tegasnya.”

    Terdahulu, Pengerusi KPTD menyampaikan  Pingat Perkhidmatan Setia kepada 14 anggota LLP, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati KPTD Tahun 2016 kepada Sjn Billage Anak Nakang di atas pencapaiannya memperolehi pingat emas dalam Kejohanan Silat 6th Southeast Asia Championship Malaysia dan Kpl Norina Damnoen yang berjaya memperolehi pingat emas dalam acara lompat kijang ketika mewakili ATM dalam Kejohanan Olahraga MAKSAK Kebangsaan.

    Turut hadir, Penasihat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah Negeri Sembilan, Brig Jen Datuk Mohd Shahrom Mohammad, Pengarah KPTD, Kol Hj Kamarudin Hj Mustapha, Pengarah Kolej Pegawai Tidak Tauliah Akademi Tentera Darat, Kol Hj Mislan Anuar dan pesara-pesara KPTD.