Tag: Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan

  • YKRDM Tekad Membantu Warga KRD

    YKRDM Tekad Membantu Warga KRD

    KUALA LUMPUR: Pengasas Yayasan Kor Risik Diraja Malaysia (YKRDM), Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim merasmikan Majlis Pelancaran dan Makan Malam Amal YKRDM bertempat di hotel terkemuka pada 3 Sep 2023.

    YKRDM ditubuhkan pada 1 Sep 2021 hasil cetusan idea Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim yang prihatin berhubung perkara kebajikan veteran Kor Risik Diraja (KRD) dan keluarga selain kakitangan awam yang berkhidmat dengan KRD.

    Sehubungan itu, YKRDM mempunyai visi iaitu untuk menjadi sebuah yayasan yang mampan dalam memberikan bantuan tanpa batasan waktu melalui misi khusus iaitu memperkasakan aktiviti sokongan sebagai tanggungjawab sosial kepada kumpulan sasar.

    Yayasan ini juga akan menumpukan kepada aspek bantuan kesihatan, kebajikan, pendidikan, kemahiran dan juga peningkatan sosio ekonomi.

    Terdahulu, majlis dimulakan dengan nyanyian lagu KRD dan jamuan makan malam amal sambil diiringi oleh nyanyian daripada Weststar Band.

    Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan perasmian yang disampaikan oleh pengasas bersama YKRDM, Tan Sri Mohd Ikmal Opat Abdullah yang diiringi Presiden Kelab Veteran Kor Risik Diraja Malaysia (KVRM), Mej Jen Datuk Hamzah Ali.

    Pelancaran YKRDM diteruskan melalui gimik sebagai simbolik penubuhan yayasan dan penyampaian sumbangan daripada penyumbang-penyumbang kepada YKRDM sebelum diakhiri dengan acara bergambar.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan mewakili Pengerusi KRD, Mej Jen Datuk Razali Alias, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKRDM, Datuk Hj Kamarudin Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pemegang YKRDM, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Zahar Hashim.

    Gambar: Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • HUT KRD Ke-53: Together Let’s Strive For A Better Future, For A Better Kor Risik Diraja – Pengerusi KRD

    HUT KRD Ke-53: Together Let’s Strive For A Better Future, For A Better Kor Risik Diraja – Pengerusi KRD

    PAHANG: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal optimis dan yakin bahawa KRD akan menjadi sebuah entiti perisikan kelas pertama dengan mandat dan sokongan daripada kerajaan serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam meningkatkan keupayaan dan pembangunan kor.

    Pengerusi KRD menekankan kepelbagaian dimensi landskap geostrategik semasa, serantau dan antarabangsa telah merealisasikan beberapa inisiatif seperti penubuhan Tim Nukleus Batalion 166 Risik Tentera Darat (Bn 166  Risik TD) bagi meningkatkan tahap kesiagaan kor untuk menghadapi pelbagai ancaman baharu yang lebih kompleks.

    Susulan itu juga, perolehan aset Unmanned Aircraft System (UAS) dapat meningkatkan lagi pengawasan udara di peringkat operasi daratan di semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

    Terdahulu, Pengerusi KRD menerima tabik hormat dan memeriksa Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD melibatkan empat detasmen berkekuatan seramai 15 pegawai dan 185 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Lt Kol Janie Ratib dari Tim Nukleus Bn 166 Risik TD dengan diiringi pancaragam gabungan platun tambor Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) dan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD (Mek)) pada 6 Dis 2022.

    Perbarisan kemudian diteruskan dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan KRD yang disempurnakan oleh Pengerusi KRD ke atas sembilan pegawai dan 13 anggota LLP.

    Anugerah kecemerlangan turut disampaikan bagi kategori sukan melibatkan seramai empat pegawai dan lapan anggota LLP yang merangkul johan dalam perlawanan bola jaring di peringkat TD manakala naib johan di peringkat ATM.

    Sejurus tamat perbarisan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal  sempat menyantuni mantan-mantan Pengerusi dan Pengarah KRD serta veteran-veteran KRD yang hadir dalam sambutan tersebut.

    Usai perbarisan, sambutan HUT KRD diserikan lagi dengan acara memotong pulut kuning dan jamuan makan sebelum Pengerusi KRD beredar meninggalkan majlis.

    Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Dato’ Mohd Razali Alias, Group Managing Director of Weststar, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, mantan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Dato’ Sri Abdul Hadi Hj Hussin (B), Presiden Kelab Veteran Risik Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Mohd Zahar Hj Hashim (B) dan pegawai-pegawai kanan KRD.

    Gambar: Kapt Mursyideen, PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime & Pbt Mohammad Fadzil Akirul