KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein secara rasmi memulakan tugas selaku pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 1 Sep 2021.
Sebaik tiba di Dataran Wisma Pertahanan pada jam 0900, Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 1 Sep 2021.
Beliau seterusnya menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai tiga pegawai dan 61 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Abdul Hafizi Abdul Halim.
Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KEMENTAH sebelum melangkah masuk ke pejabatnya.
Terdahulu, pelantikan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2021 yang lalu, disusuli dengan Istiadat Angkat Sumpah dan Jawatan yang disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 21.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.
Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Saifun Hakimi Zainon