NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (TLPM) Lelaki Siri 202/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 18 Mei 2025.
“Jangan sia-siakan pengorbanan dan segala titik peluh yang telah gugur untuk mendapatkan gelaran sebagai seorang anggota tentera.
“Janganlah saudara-saudara diibaratkan seperti kata bidalan “Air surut kapar hilir bersama, air pasang ia tersangkut,” yang membawa maksud, segala usaha yang terhasil dari pengorbanan kita amat mudah untuk dilupakan dan ditinggalkan.
“Didiklah mereka ini untuk menjadi seorang warga Tentera Darat yang kredibel, versatile dan efisen kerana ia adalah amanah yang perlu dijaga terutamanya kepada pemerintah,” tegas PTD.
Seramai 1,319 PM berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan termasuk Ijazah, Diploma, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Sijil Teknikal Malaysia (STM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Perbarisan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada PM terbaik serta penganugerahan Pisau TD kepada dua individu yang telah mengharumkan nama negara dan mempamerkan keberanian luar biasa.
Sjn Severinus Sapitin telah berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak yang hampir lemas di kawasan Sungai Meroli, Ranau, Sabah. Manakala SSjn Muhammad Nizam Samsul Anuar pula bertindak berani dan pantas memberi rawatan awal kepada mangsa kemalangan jalan raya di Simpang Tiga Lahar Yooi, Seberang Perai Utara, Pulai Pinang. PTD berbesar hati untuk menyampai anugerah khas dan kenaikan pangkat kepada Kedua-dua Pegawai Tidak Tauliah (PTT) Kanan ini.
Turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Mohamad Fauzi Tengku Ibrahim.
Gambar: Lkpl Muhammad Nor Akram Halib, Pbt Nanatasha Ngadan, Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan dan Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan