JOHOR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Sultan Ibrahim bertitah kepada Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin supaya membatalkan cadangan pembelian pesawat helikopter Blackhawk lama yang berusia lebih 30 tahun.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat second hand Skyhawk. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam keranda terbang? Awak fikirlah sendiri.
“Saya percaya semua ini berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas Jeneral yang menjadi Salesman malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak menjual drone,” tegas baginda.
YDP Agong mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat dengan perolehan aset tentera supaya membuat pembelian dan penilaian dengan betul mengikut harga pasaran dan kehendak pengguna bukannya mengikut cakap ejen sahaja.
Lima tahun lepas baginda pernah menegur tentang pembelian bot untuk komando pada harga lima juta sedangkan YDP Agong boleh mendapatkan bot yang lebih baik pada harga tidak sampai dua juta ringgit.
“Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya, jika tidak mahu dengar cakap saya selepas ini saya tidak akan tegur lagi,” tegas YDP Agong ketika menyampaikan titah sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke- 60 bertempat di Kem Iskandar, Mersing pada 16 Ogos 2025.
Selain itu, baginda juga menegur tentang pemakaian Beret Kehormat dan Lencana Kehormat pada pakaian seragam tentera kerana ianya dipakai menunjukkan kemahiran serta kelayakan pemakainya yang sebenar bukan dipakai untuk melawa sahaja.
Contoh seperti YDP Agong sendiri yang lulus Latihan Special Forces dan Payung Terjun di Fort Bragg, USA dan baginda layak untuk memakai lencana tersebut pada pakaian seragam tentera.
“Jika awak hanya penerima Lencana Kehormat, ianya hanya boleh dipakai pada acara tersebut sahaja bukan untuk melawa pada setiap hari,” tegur baginda.
Terdahulu, ketibaan YDP Agong disambut MENHAN, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar lalu menerima tabik hormat daripada ketua perbarisan.
Seramai 18 pegawai dan 173 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat didalam perbarisan yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Rejimen 22 Komando, Kol Mohd Nizam Moladi.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 21 GGK, Mej Jen Dato’ Shuhaimi Mat Wajab dan Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.
Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, LKpl Muhammad Syafiqrullah Mazlan dan Pbt Tuan Farizal Tuan Dir