KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan menyatakan bahawa Tentera Darat (TD) bersedia untuk menyertai sebarang misi pengaman antarabangsa termasuk kemungkinan dikerah ke Gaza, Palestin.
“TD sentiasa bersiap sedia menyumbang tenaga jika diaturgerakkan pergi ke Gaza, Palestin dan bergantung kepada keputusan kerajaan selain penilaian mengenai keberkesanan serta tahap keselamatan misi berkenaan.
“Malaysia mempunyai banyak rekod dalam misi pengaman yang diadakan diperingkat global dan TD sentiasa bersedia diaturgerakkan apabila diperlukan.
“Kita telah terlibat dalam banyak operasi pengaman sejak tahun 1960 bermula di Congo, Somalia, Bosnia dan kemboja,” tegas PTD ketika diwawancara semasa Majlis Penutup Persidangan IPACC, IPAMS dan SELF Tahun 2025 di hotel terkemuka sekitar ibu negara pada 25 Sep 2025.
Commanding General of United State Army Pasific Command (USARPAC), Gen Ronald Clark yang turut menjadi hos dalam persidangan ini memuji TD atas kepimpinan dalam menganjurkan persidangan itu yang turut menonjolkan kejayaan menerusi Latihan Serangan Eksesais Keris Strike yang diadakan baru-baru ini sebagai tonggak utama kerjasama keselamatan serantau.
Tambahnya lagi, Amerika Syarikat dan TD mempunyai sejarah kerjasama yang dibina diatas asas kepercayaan, saling menghormati dan visi bersama untuk rantau Indo-Pasifik yang selamat dan terjamin.
Persidangan ini semenangnya turut menarik minat penglibatan daripada negara negara lain seperti Australia, Kanada, Chile, Perancis, Mongolia, Indonesia, India, Fiji, Singapura, Tonga, Sri Lanka, Bangladesh, Maldives, Filipina, Korea Selatan dan beberapa negara lain.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofo Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Syfiqrullah Mazlan & Pbt Amir Hamzah Mohd Yusri