KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain meyempurnakan pelancaran Projek Smart Pole yang merupakan salah satu acara sempena sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-88 di Kem Perdana Sg Besi pada 2 Mac 2021.
Smart Pole ini merupakan sebuah projek mempertingkatkan capaian internet dan pemantauan keselamatan kem, hasil kolaborasi Tentera Darat (TD) bersama Syarikat Platinum Core Solutions Sdn Bhd dan rakan kongsinya dari Syarikat Kenari Maluri Group Sdn Bhd.
Secara amnya ia merupakan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat yang menyediakan kemudahan capaian internet (WiFi) kepada warga kem serta penyediaan televisyen litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan lampu limpah bagi memudahkan pemantauan kawalan keselamatan kem.
Projek ini merupakan inisiatif yang mendukung Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pengerusi Platinum Core Solutions Sdn Bhd, Dato’ Ir Hj Mohd Zaini Abdullah, Pengerusi Kenari Maluri Group Sdn Bhd, Datuk Tun Hasnul Azam Dato’ Seri Tun Hamzah serta penglibatan minima pegawai kanan dan anggota Lain-Lain Pangkat.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi