KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) dan Penganugerahan Sayap Penerbangan di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 26 Okt 2021.
Seramai 24 pegawai kanan dinaikkan pangkat didahului Brig Jen Baharuddin Ahmad yang dinaikkan pangkat daripada Brig Jen ke Mej Jen dan menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf (AKS) – Cawangan Operasi dan Latihan (OPLAT).
Acara diteruskan dengan pemakaian pangkat ke atas Brig Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri yang menjawat jawatan sebagai Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) dan Brig Jen Dato’ Pahlawan Ir Anhar Anuar menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan, MK ATM yang turut dinaikkan ke pangkat Mej Jen.
Selain itu, seramai lima pegawai TD dinaikkan pangkat dari Kol ke Brig Jen, manakala kenaikan pangkat dari Mej ke Lt Kol seramai 16 pegawai dan disusuli dengan Penganugerahan Sayap Juruterbang TD melibatkan tiga pegawai Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).
Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan syabas serta mengatakan bahawa kenaikan pangkat dan penganugerahan sayap penerbangan ini merupakan satu pencapaian dalam perkembangan karier profesional yang wajar disyukuri.
“Kegagalan memikul amanah yang diberi akan membawa implikasi yang buruk, bukan sahaja dalam kehidupan ini tetapi juga kehidupan di kemudian hari.
“Keperibadian serta kepimpinan Baginda Rasulullah SAW yang terkenal dengan sifat jujur, amanah, tabligh dan fathonah serta kebijaksanaannya wajar dicontohi agar kita juga berupaya menjadi pemimpin terbaik untuk organisasi yang dicintai ini,” tegas beliau.
Tambahnya lagi, hayati dan rencanakanlah kesemua tonggak yang telah diperkenalkan berdasarkan kapasiti dan tanggungjawab kerja kalian sama ada sebagai seorang pemerintah, staf mahupun jurulatih dalam usaha membawa TD ke mercu kejayaan.
“Mengambil kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasangan para pegawai yang dinaikkan pangkat di atas sokongan serta dorongan yang diberikan sepanjang perjalanan kerjaya pasangan masing-masing,” jelas PTD.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Muhammad Ab Rahman dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Gambar: Riffat Mohd Yusof