JOHOR: Seramai 25 pegawai dan 530 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) naungan Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) terlibat dalam Perbarisan Perintah Ulung Panglima 3 Div Ke-28, Mej Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad.
Perbarisan tempur statik ini diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) yang turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan 3 Div serta 28 Kenderaan tempur pelbagai varian.
Panglima 3 Div didalam perutusannya menerapkan elemen Man, Machine dan Method yang sejajar dengan kehendak Panglima Medan Barat Tentera Darat dan Panglima Tentera Darat. Perutusan beliau yang menyeru kerjasama tanpa mengira pangkat untuk bersama-sama memelihara kekuatan dan ketangkasan 3 Div sebagai hala tuju utama demi memastikan 3 Div sentiasa relevan seiring dengan perkembangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya dan Tentera Darat (TD) khasnya.
“Keunggulan organisasi bukan sekadar terletak pada kelengkapannya akan tetapi terletak kepada setiap peranan warga demi memastikan keberkesanan pasukan”.
“Setiap anggota perlu cekap kendalikan peralatan masing-masing dan bukan bergantung kepada golongan pakar sahaja, sinergi antara kemahiran, ilmu dan sikap perlu diterapkan”.
“Saya yakin dan percaya Teras 3M mampu mengukuhkan kekuatan dan keberkesanan 3 Div akan tetapi ia bergantung kepada kebersamaan dan perpaduan semua warga 3 Div, maka saya menyeru agar semua warga 3 Div mendalami dan menjadikan mandat ini sebagai panduan” tegas beliau dalam Perintah Ulungnya yang diadakan di Padang Kawad Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) pada 22 Apr 2024.
Di masa yang sama beliau turut berpesan kepada semua warga 3 Div agar terus menjaga tingkah laku, sentiasa berdisiplin, menjiwai dan menyanjung tinggi seragam yang dipakai serta memartabatkan ilmu yang telah diperolehi oleh setiap lapisan dalam misi memartabatkan 3 Div sebagai ketumbukan utama di dalam TD.
Berikut adalah intipati Perintah Ulung Panglima 3 Divisyen Ke-28:
Elemen MAN (Manusia)
* Keunggulan organisasi terletak pada anggota, bukan sekadar kelengkapan.
* Setiap peranan, walau kecil, penting dalam memastikan keberkesanan pasukan.
* Penekanan kepada pendidikan, latihan berterusan, dan pemupukan kepimpinan di semua peringkat.
* Kepentingan rasa tanggungjawab terhadap aset dan kelengkapan.
* Menolak budaya tangguh senggaraan. Aset perlu sentiasa siap digerakkan.
* Mengajak semua anggota memupuk budaya setia, amanah dan semangat kekitaan.
Elemen MACHINE (Mesin)
* Penekanan kepada kelengkapan moden dan strategik.
* Setiap anggota perlu cekap kendali peralatan masing-masing – bukan hanya bergantung kepada golongan pakar.
* Pentingnya penjagaan, penyelenggaraan berkala dan penggunaan optimum bagi setiap peralatan.
* Senjata peribadi perlu dijaga rapi sebagai simbol kecekapan dan profesionalisme anggota.
* Sinergi antara kemahiran, ilmu dan sikap (SKA) perlu diterapkan.
Elemen METHOD (Metod)
Gabungan MAN + MACHINE hanya berkesan jika berpandukan METHOD yang betul.
Setiap anggota perlu faham dan patuh kepada doktrin, dasar dan prosedur seperti:
* Perlembagaan (Perkara 132)
* Dasar Pertahanan Negara (DPN)
* Kertas Putih Pertahanan (KPP)
* SKN 2.0, Army4NextG, SD2
* Manual ATM & TD, SOP, PLPTD (ARTEP), kursus kerjaya
* Eks peringkat pasukan hingga multilateral
* Tegasan agar semua anggota mendalami dan melaksanakan method-method ini secara profesional dan konsisten.
Turut hadir, Panglima Briged Pertama Infantri Malaysia (1 Bgd), Brig Jen Zamri Othman, Panglima 4 Bgd (Mek), Brig Jen Wan Mohd Faizal Shahrin Wan Mohamad Fablillah, Panglima 7 Bgd, Brig Jen Zulhelmi Masdar dan Komander Artileri Divisyen 3 Divisyen, Brig Jen Datuk Khairul Izan Muhammad Suffian.
Gambar : Kpl Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Syfikrullah Mazlan