NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Hafizuddeain Jantan menyampaikan sijil penghargaan kepada sembilan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat (TD) sebagai tanda pengiktirafan atas komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan sehingga berjaya memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang tinggi dalam pengajian masing-masing ketika Majlis Jamuan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Tentera Darat Siri 202/2024 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 18 Mei 2025.
Untuk maklumat saban tahun TD akan menghantar sekurang-kurangnya 50 pegawai dan anggota LLP untuk mengikuti pengajian secara sepenuh masa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam atau luar negara bertujuan untuk meningkatkan keupayaan intelektual warga TD seiring dengan aspirasi organisasi dalam membangun Angkatan Masa Hadapan (AMH) yang kredibel, profesional dan berpengetahuan tinggi.
Mendahului senarai dua anggota Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan), PW II Mohd Azlan Nordin mengikuti pengajian Bachelor Education Teaching English As a Second Language With Honours di Universiti Pendidikan Sultan Idris manakala SSjn Muhammad Redzuan Zainuddin Diploma Pengurusan Perpustakaan dan menerima Vice Chancellor’s Award dari Universiti Teknologi Mara Merbok, Kedah.
Seterusnya empat anggota Kor Kesihatan Diraja, Sjn Izhan Hisham Ismail yang mengikuti pengajian Diploma Lanjutan Perioperatif di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Perak, Sjn Husairol Hussin dan Sjn Mohd Alfee Firdaus Ruslan bidang Perawatan Nefrologi di ILKKM Alor Setar, Kedah manakala Sjn Siti Maliah Syeikh Alwee Diploma Lanjutan Penjagaan Diabetes di ILKKM Johor Bharu.
Tiga anggota dari Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja turut menerima sijil penghargaan dari PTD iaitu Sjn Mohamad Nazid Mukhtar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Premier Ibrahim Sultan serta menerima pelbagai anugerah dan biasiswa Menteri Pendidikan Tinggi bagi meneruskan pengajian ke Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Automasi Industri), Sjn Muhammad Zawawi Mohd Kharis Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan di Politeknik Sultan Hj Ahmad Shah dan Kpl Mohamad Syazwan Abdul Aziz pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automatif) di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.
Melalui anugerah yang diberikan ini menjadi inspirasi kepada semua Perajurit Muda dan seluruh warga TD yang lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kerjaya demi menaikkan nama organisasi.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Mohamad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Malek Razak Sulaiman, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.
Gambar: LKpl Muhammad Nor Akram Halib, Pbt Nanatasha Ngadan, Pbt Muhammad Syfiqrullah Mazlan dan Rjr Raja Khairul Husaini Raja Roslan