Tag: Dato’ Mohammad Ab Rahman

  • 40 Tahun Mej Jen Dato’ Hj Ghazali Hj Ismail Mengabdikan Diri Dalam Tentera

    40 Tahun Mej Jen Dato’ Hj Ghazali Hj Ismail Mengabdikan Diri Dalam Tentera

    PAHANG: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman mewakili Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mantan Ketua Unit Projek Khas, Jabatan Peguam Negara, Mej Jen Dato’ Hj Ghazali Hj Ismail diatas khidmat bakti jiwa dan raganya selama 40 tahun lima bulan perkhidmatan di dalam Tentera Darat (TD) amnya dan Kor Risik Diraja (KRD) khasnya.

    “Keupayaan beliau memegang pucuk pimpinan tinggi di agensi awam wajar dijadikan contoh bagi anggota KRD.

    “Beliau juga mempunyai kredibiliti untuk memimpin dan menjaga kepercayaan sivil khususnya dalam Badan Penasihat Undang-undang Negara,” jelas TPTD.

    TPTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Hj Ghazali Hj Ismail di Padang Kawad, Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 12 Mac 2021.

    Mengimbas keperibadian Mej Jen Dato’ Hj Ghazali Hj Ismail, beliau mula menyertai tentera di Maktab Tentera Diraja dan telah ditauliahkan pangkat Lt M pada 27 Apr 1981.

    Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pengarah KRD, Kol Perisikan di Cawangan Perisikan Markas Tentera Darat, Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan di Southeast Asia Regional Centre For Counter-Terrorism (SEARCCT) dan jawatan terakhir beliau selaku Ketua Unit Projek Khas, Jabatan Peguam Negara.

    Selain itu, dalam perjalanan kerjayanya, beliau telah menyertai misi pemerhati UNTAC di Cambodia dan telah menghadiri pelbagai kursus di luar negara seperti di India, Australia, United Kingdom dan China.

    Seterusnya, dalam ucapan Mej Jen Dato’ Hj Ghazali Hj Ismail, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada TPTD dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal kerana hadir ke Perbarisan Penghargaannya.

    “Saya amat terharu atas pengorbanan setiap lapisan anggota KRD kerana bersusah payah merancang dan memastikan perbarisan pada pagi ini berjalan dengan tertib dengan jayanya,” jelas beliau.

    Tambah beliau lagi, sebagai anggota KRD ketahuilah dalam apa jua landasan yang diberikan, pasti ada ilmu dan pengalaman baharu yang boleh kita perolehi.

    Perbarisan perhargaan ini dilaksanakan dalam norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) melibatkan seramai 12 pegawai dan 94 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Ibrahim Mohamed dari MK Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

    Simbolik acara diakhiri dengan Street Lining mengikut SOP bagi mengelak penularan COVID-19.

    Turut hadir, Asisten Ketua Staf Perisikan, Markas Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Mej Jen Mohd Anuar Mohamad Ali dan Panglima 4 Bgd, Brig Jen Zaidan Atan.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon

  • Smart Pole Tingkat Capaian Internet dan Pemantauan Keselamatan Kem Tentera

    Smart Pole Tingkat Capaian Internet dan Pemantauan Keselamatan Kem Tentera

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain meyempurnakan pelancaran Projek Smart Pole yang merupakan salah satu acara sempena sambutan Hari Tentera Darat (HTD) Ke-88 di Kem Perdana Sg Besi pada 2 Mac 2021.

    Smart Pole ini merupakan sebuah projek mempertingkatkan capaian internet dan pemantauan keselamatan kem, hasil kolaborasi Tentera Darat (TD)  bersama Syarikat Platinum Core Solutions Sdn Bhd dan rakan kongsinya dari Syarikat Kenari Maluri Group Sdn Bhd.

    Secara amnya ia merupakan Projek Tanggungjawab Sosial Korporat yang menyediakan kemudahan capaian internet (WiFi) kepada warga kem serta penyediaan televisyen litar tertutup (CCTV) dan pencahayaan lampu limpah bagi memudahkan pemantauan kawalan keselamatan kem.

    Projek ini merupakan inisiatif yang mendukung Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Pengerusi Platinum Core Solutions Sdn Bhd, Dato’ Ir Hj Mohd Zaini Abdullah, Pengerusi Kenari Maluri Group Sdn Bhd, Datuk Tun Hasnul Azam Dato’ Seri Tun Hamzah serta penglibatan minima pegawai kanan dan anggota Lain-Lain Pangkat.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi