Tag: Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan

  • Penuhi Kriteria, Syarat Kenaikan Pangkat – PTD

    Penuhi Kriteria, Syarat Kenaikan Pangkat – PTD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan syabas dan tahniah kepada pegawai kanan Tentera Darat (TD), pegawai sukarela, tauliah kehormat serta pegawai sukarela baharu Askar Wataniah (AW) yang dianugerahkan dan dinaikkan pangkat.

    “Kenaikan pangkat ini merupakan tanggungjawab yang diberi kepada mereka yang telah memenuhi kriteria ditetapkan oleh perkhidmatan untuk terus menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.

    “Adalah menjadi kewajipan bagi pemimpin untuk terus melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi kepentingan organisasi yang dicintai ini,” pesan PTD.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 10 Jan 2024.

    Seramai 30 pegawai kanan TD dinaikkan pangkat didahului dengan Lt Kol Norazan Omar (Bersara) yang dinaikkan ke pangkat Kol (Sukarela) dan menjawat jawatan sebagai Komander Rejimen 515 (AW).

    Kemudian diikuti pemakaian pangkat Kol (Kehormat) melibatkan Dato’ Sri Hj Zulkifli Hj Ya’acob yang menjawat jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pahang dan Sr Hazri Hassan sebagai Pengarah Pemetaan Negara (Tentera).

    Seterusnya, seramai 24 pegawai dipakaikan pangkat Lt Kol yang mana lima daripadanya Lt Kol (Tugas Ikhtisas), lima pegawai Lt Kol (Sukarela) dan seorang pegawai Lt Kol (Kehormat) sebelum diakhiri dengan pemakaian pangkat Mej (Kehormat) ke atas dua pegawai serta seorang lagi pegawai dipakaikan pangkat Lt (Sukarela).

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Hj Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

    Gambar: LKpl Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Fokus Utama MINDEF 2024 Mencapai Visi Malaysia

    Fokus Utama MINDEF 2024 Mencapai Visi Malaysia

    KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan perancangan dan hala tuju Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) serta hasratnya selaku peneraju kementerian ketika menyampaikan Perutusan Tahun Baharu Tahun 2024 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 9 Jan 2024.

    Dalam amanat MENHAN, beliau memfokuskan lima fokus utama yang menjadi tunjang kepada perutusan tahun ini seperti Fokus Pertama, Memastikan sistem pertahanan negara bukan sahaja sentiasa dalam keadaan bersedia tetapi dihormati kawan dan lawan, Fokus Kedua, Membangunkan dan mengemas kini perancangan pertahanan yang lebih terkini, Fokus Ketiga, Kebajikan dan pembangunan kapasiti, Fokus Keempat, Patriotisme sebagai benteng pertahanan terbaik negara dan Fokus Kelima, Malaysia dan keamanan sejagat.

    MENHAN seterusnya menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara KEMENTAH dengan Institut Integriti Malaysia dimana objektifnya untuk membantu dan menyokong satu sama lain dalam program-program kesedaran, advokasi, penyelidikan dan pengukuhan mengenai dasar, nilai integriti, tata kelola dan antirasuah dalam sektor awam juga sektor korporat di Malaysia. Seterusnya sebagai usaha sama dalam penglibatan sektor awam dan sektor korporat bagi menjadi ahli kepada Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM).

    Majlis ini juga menyaksikan pelancaran Imej Korporat baharu bagi KEMENTAH yang mencerminkan MINDEF ke arah pemodenan. Reka bentuk tersebut melambangkan KEMENTAH sebagai kementerian yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai sepunya seperti integriti, cekap dan profesional dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

    Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul

     

     

  • Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB Agong XVI

    Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB Agong XVI

    KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hjh Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli ke Majlis Santapan Beradat Menjunjung Kasih SPB YDP Agong XVI di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 8 Jan 2024.

    Majlis Santapan Beradat ini merupakan acara rejimental yang diadakan bertujuan untuk memuliakan baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM sempena tamatnya pemerintahan beliau sebagai pentadbir negara selama lima tahun yang bermula dari tahun 2019 sehingga 2024.

    Terdahulu, keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman dan isteri, Puan Sri Datin Seri Ramlah Dawi.

    Acara kemudian dimulakan dengan perarakan masuk lima Panji-Panji SPB iaitu Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    KDYMM SPB YDP Agong XVI telah diputerakan pada 30 Jul 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan, Pahang merupakan paduka putera sulung Sultan Ahmad Shah, Sultan Negeri Pahang dan baginda meneruskan pengajian dalam bidang ketenteraan di The Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom dari tahun 1978 hingga 1979.

    Seperti kelazimannya, sebagai pewaris takhta, SPB YDP Agong XVI telah didedahkan dengan bidang ketenteraan sejak dari awal lagi, komitmen baginda dalam bidang ketenteraan sangat terserlah sehingga dilantik sebagai Lt M, Royal Military Academy, Sandhurst, United Kingdom dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.

    Baginda juga adalah Kapt bagi pasukan Kor Kavalri Diraja Malaysia dan dilantik menjadi Lt Kol, Rejimen 505 Askar Wataniah (AW) pada 1 Mei 1999. Sifat kepimpinan baginda dalam bidang ketenteraan sentiasa dikagumi sehingga dilantik menjadi Kol, Rejimen 505 AW pada 1 Jun 2000 dan kemudian menjadi Brig Jen Komander Rej 505 AW pada 1 Apr 2004.

    Dalam bidang sukan, baginda amat meminati polo, bola sepak dan hoki malah baginda bukan sahaja aktif di dalam negara malahan juga di luar negara. KDYMM SPB YDP Agong XVI pernah mengetuai pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England serta mengambil bahagian dalam pertandingan di Singapura, Filipina, Brunei, Argentina, Amerika Syarikat, Sepanyol, Belgium dan Thailand.

    Kehebatan baginda dalam sukan polo terbukti apabila berjaya merangkul pingat emas pada temasya Sukan SEA Ke-12 di Singapura pada tahun 1983.

    Turut hadir, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • HARI PERTAMA MENHAN BAHARU

    HARI PERTAMA MENHAN BAHARU

    KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin secara rasminya telah memulakan tugas sebagai MENHAN yang baharu di Wisma Pertahanan pada 15 Dis 2023.

    Sebaik sahaja ketibaan beliau disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman sebelum menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD).

    Selain itu, beliau diperkenalkan kepada Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan awam seterusnya memasuki pintu masuk VIP Wisma Pertahanan dengan mengakseskan Kad Kerja Wisma Pertahanan sebagai tanda bermulanya hari pertama beliau di Wisma Pertahanan.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

  • MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS MENHAN

    MAJLIS SERAH TERIMA TUGAS MENHAN

    KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin sebagai MENHAN yang baharu bertempat di Aduditorium Wisma Pertahanan pada 13 Dis 2023.

    Acara dimulakan dengan menandatangai nota serah terima tugas dan diakhiri dengan acara street lining yang diiringi oleh warga Kementerian Pertahanan di Dataran Wisma Pertahanan.

    Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Darat, Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Ashgar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Zulhelmy Ithain.

  • PTD Meraikan Deepavali Peringkat Tentera Darat

    PTD Meraikan Deepavali Peringkat Tentera Darat

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isteri, Datin Hartiah Hamzah menyaksikan Sambutan Majlis Deepavali Peringkat Tentera Darat di Dewan Dato’ Jamil Ahmad pada 8 Dis 2023.

    Sambutan ini diadakan bagi meraikan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berbangsa India di samping dapat mengeratkan lagi jalinan persahabatan warga TD berbilang bangsa yang telah terjalin.

    Acara dimulakan dengan gimik membuat kolum yang disempurnakan oleh PTD sebagai simbolik meraikan perayaan Deepavali.

    Seterusnya, acara dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan seperti pertunjukan tarian masyarakat India serta nyanyian lagu.

    Selain itu, PTD turut menyempurnakan penyampaian duit raya kepada anak-anak pegawai dan anggota yang hadir.

    Sebelum mengakhiri majlis, PTD menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (Tamil) Kem Askar Melayu serta kepada lima anggota sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai kanan TD.

  • Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD

    Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD

    KUALA LUMPUR: Seramai enam pegawai kanan Tentera Darat (TD) dinaikkan pangkat yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan di Penthouse, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1 Dis 2023.

    Majlis dimulakan dengan Mej Jen Dato’ Razali Alias dinaikkan pangkat ke Lt Jen serta menjawat jawatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), manakala seramai tiga pegawai dinaikkan pangkat dari Brig Jen kepada Mej Jen dan dua pegawai dari Lt Kol dinaikkan pangkat ke Kol.

    Dalam ucapan PTD, beliau mengucapkan tahniah kepada pegawai kanan yang dipakaikan pangkat pada hari ini dan menegaskan bahawa pangkat yang dianugerahkan bukanlah satu keistimewaan namun ianya adalah berdasarkan kecemerlangan dan kriteria yang telah ditetapkan oleh perkhidmatan. Tambahnya, pemakaian pangkat ini seharusnya menyuntik semangat dan motivasi serta terus menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Dr Zulkeffki Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

    Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Perutusan Perintah Ulung PTD Ke-30

    Perutusan Perintah Ulung PTD Ke-30

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan Perbarisan Perutusan Perintah Ulung PTD di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi pada 31 Okt 2023 selepas dilantik sebagai pemerintah tertinggi Tentera Darat (TD).

    Perutusan yang disampaikan menekankan tiga objektif utama iaitu Kesiapsiagaan, Kemampanan Organisasi dan Sahsiah Keperwiraan yang ingin dicapai melalui Sinergi 3M (Man, Machine and Method).

    PTD juga menggariskan lima teras utama iaitu Sumber Manusia, Inovasi Peperangan Bersama, Agenda Pengukuhan Keupayaan, Gagasan Tentera dan Rakyat serta Anjakan Diplomasi Pertahanan.

    Perbarisan melibatkan seramai 55 pegawai serta 1,509 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terdiri daripada 16 detasmen mewakili semua Kor dalam Tentera Darat, satu detasmen 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), satu detasmen Briged Ke-10 (Para) (10 Bgd (Para)) dan satu detasmen Terbang Lintas Hormat Pesawat Agusta 109 LOH dan MD 530G Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) turut menyaksikan gimik penyerahan Perutusan PTD.

    Penyempurnaan Perutusan PTD Ke-30 ini merupakan satu platform yang akan membawa TD seiring dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mencapai aspirasi Angkatan Tiga Puluh (Force 30).

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai kanan TD.

  • Penyerahan Aset Meningkatkan Tahap Kesiapsiagaan TD

    Penyerahan Aset Meningkatkan Tahap Kesiapsiagaan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Tentera Darat Siri 3/23 di Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi pada 31 Okt 2023.

    Aset-aset yang diserahkan melibatkan Kenderaan Jenis B (KJB), Peralatan Perairan, Senjata dan Peralatan Elektronik bagi suku ketiga tahun 2023.

    Aset-aset yang diterima berjumlah 661 unit terdiri daripada Trak 3 Tan GS Kargo, Unmanned Aerial System, Ambulan Medan, Kenderaan Pembawa Senjata AGL, Special Operation Vehicle, Assault Boat, Trailer Boat, Rubber Inflatable Boat, Logistic Support Bridge, Mortar 60mm, Night Vision Goggle dan Laser Range Finder dengan jumlah keseluruhan perolehan bernilai RM96,344,306.00.

    Majlis penyerahan ini semestinya memaparkan TD sentiasa mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara disamping memberikan bantuan terutama semasa negara ditimpa bencana alam.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Haji Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan dan pegawai kanan TD.

  • Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD

    Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan, menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat melibatkan seramai 26 pegawai Tentera Darat (TD) di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 30 Okt 2023.

    Majlis didahului dengan pemakaian pangkat Brig Jen melibatkan Kol Abdullah Thani Abdul Rahim yang dinaikkan ke pangkat Brig Jen dengan menjawat jawatan sebagai Pengarah Cawangan Tenaga Kerja, Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA) – Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM).

    Seterusnya, seramai empat pegawai dinaikkan ke pangkat Kol, lima pegawai dinaikkan ke pangkat Lt Kol, 14 pegawai tugas khas dinaikkan ke pangkat Lt M dan dua pegawai kadet ditauliahkan ke pangkat Lt M.

    PTD menegaskan kepada pegawai kanan Tentera Darat (TD) yang baru dinaikkan pangkat agar sentiasa bermotivasi untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada perkhidmatan dan negara.

    “Berkat usaha serta kegigihan yang ditunjukkan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan, tuan-tuan diberikan pengiktirafan dengan kurniaan pangkat pada hari ini, jadi laksanakanlah tugas sebaik mungkin demi kecemerlangan organisasi”, ujar PTD.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat (KS TD), Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

    Gambar: Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir