Tag: Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman

  • Fasiliti Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Dinaik Taraf

    Fasiliti Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Dinaik Taraf

    KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan 50 Buah Ambulans Domestik Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Panglima-panglima Perkhidmatan di Padang Kawad Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 28 Mac 2023.

    Penyerahan ambulans domestik ini merupakan pelan jangka panjang kerajaan dalam meningkatkan kesiagaan ATM selaras dengan Kertas Putih Pertahanan di bawah strategi Angkatan Masa Hadapan sekaligus memperkasakan kebajikan warga ATM termasuk kakitangan awam KEMENTAH.

    Perolehan secara berperingkat ini disempurnakan bagi menggantikan ambulans domestik yang sedia ada agar keupayaan penyampaian kualiti perkhidmatan kesihatan dapat dipertingkatkan.

    Majlis penyerahan ini dilihat menyokong teras pertama dan ketiga dalam Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 iaitu Peningkatan Kesiagaan dan Keupayaan Pertahanan Dalam Melindungi Kepentingan Negara serta Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan.

    Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha KEMENTAH, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Lt Jen Dato’ Dr Zulkeffeli Mat Jusoh dan pegawai-pegawai kanan ATM.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

     

  • Hari Pertama PTD Ke-29

    Hari Pertama PTD Ke-29

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman secara rasminya memulakan tugas sebagai PTD yang baharu pada hari pertama di Wisma Pertahanan pada 23 Mac 2023.

    Sejurus tiba di perkarangan Wisma Pertahanan, PTD menerima tabik hormat lalu memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Azham Mohamad dengan diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

    Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman telah mengambil alih tugas sebagai PTD Ke-29 daripada PTD Ke-28, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain pada 22 Mac 2023 di Auditorium Wisma Pertahanan disaksikan Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM.

    Seterusnya, beliau diiring oleh Ketua Staf Tentera Darat merangkap pemangku TPTD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi ke pejabatnya untuk diperkenalkan kepada pegawai dan anggota LLP sebelum diakhiri dengan menandatangani Nota Mula Tugas PTD.

    Turut hadir, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan pegawai-pagawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir dan Saifun Hakimi Zainon

  • Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman Dilantik PTD Ke-29

    Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman Dilantik PTD Ke-29

    KUALA LUMPUR: Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dilantik sebagai Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-29 yang baharu dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Panglima Tentera Darat disaksikan Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan di Auditorium Wisma Pertahanan pada 22 Mac 2023.

    Dalam majlis tersebut, mantan PTD Ke-28, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyerahkan tugasnya kepada Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkuatkuasa mulai hari ini selepas memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) Ke-25 sejak 19 Dis 2020 yang lalu.

    Terdahulu, acara pemakaian pangkat Jen kepada Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman disempurnakan oleh MENHAN yang disaksikan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM.

    MENHAN mengucapkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain atas sumbangan khidmat bakti dan kegigihan beliau sepanjang perkhidmatan sehingga dapat meningkatkan kesiagaan TD melalui perolehan aset-aset baharu.

    “Sikap beliau yang tegas dan sentiasa mengutamakan tugas telah membawa TD sebagai sebuah angkatan yang kredibel dan dipercayai rakyat untuk memelihara keamanan serta kedaulatan negara,” jelasnya.

    Mengimbas keperibadian PTD Ke-29, Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman merupakan anak kelahiran negeri Kelantan yang ditauliahkan sebagai Pegawai Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1 Jul 1987 dan telah berkhidmat dalam TD selama lebih 36 tahun.

    Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau ialah Pegawai Memerintah Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Panglima Latihan Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.

    Turut hadir, Timbalan MENHAN, Tuan Hj Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Rahman Ayob, Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Mohammad Fadzil Akirul